Cari Blog Ini

Isnin, 6 Jun 2011

Komentar : "Secangkir Teh Pengubat Letih"

Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh. Selawat dan salam buat junjungan besar Muhammad Sallallahu 'alaihi wa salam, serta keluarga baginda, sahabat-sahabat baginda, para tabi'in, tabi' tabi'in, dan ulama' pewaris nabi. Salam sejahtera buat sahabat-sahabat bukan Islam walau di mana jua anda berada. Semoga kebaikan dan rahmat Islam itu kita perolehi walau di ceruk mana di bumi Allah ini kita berada.

Hari ni, baru sahaja selesai membaca sebuah buku nukilan Ustaz Hasrizal Abu Jamil, "Secangkir Teh Pengubat Letih". Aku baca buku ni selama tiga hari untuk menghabisi dan menghayati isi kandungan buku ini. Memang ku akui, buku ini membuat aku berfikir sejenak mengenai keadaan ummah ini selepas era kejatuhan Khalifah Uthmaniyyah. Buku ini berkisar tentang pengalaman penulis sendiri (Ustaz Hasrizal) ke Turki selama 21 kali dan membicarakan sudut pandang penulis berkenaan Turki dan menyorot sedikit keadaan sejarah saat ketika empayar kekhalifahan Bani Uthmaniyyah.

Menyingkap Zaman Kegemilangan Khalifah Uthmaniyyah

Sewaktu zaman kegemilangan kerajaan Islam Khalifah Uthmaniyyah, Islam begitu subur. Khalifah Bani Uthmaniyyah bermula sekitar 1299 masihi di mana Osman I, anak Ertuğrul. Ia bermula sewaktu kekaisaran Byzantin mula melemah dan berpecah kepada beberapa kabilah dan salah satu kabilah itu berada di  daerah Eskişehir, bahagian barat Anatolia atau kini Turki moden.

Sewaktu peperangan antara pihak Rom (dinasti Byzantin) dan pihak kesultanan Seljuk, Ertuğrul bersekutu dengan Seljuk. Ertuğrul berjaya memperoleh kemenangan dan kemudiannya, kesultanan Seljuk waktu itu menghadiah daerah Eskişehir kepada beliau. Apabila Ertuğrul meninggal dunia, Osman I menggantikan ayahandanya sehingga pada tahun 1299, beliau mengisytiharkan diri sebagai Khalifah pertama kerajaan Islam Bani Uthmaniyyah. Ini selepas kejatuhan kesultanan Seljuk.



Dengan tertubuhnya kerajaan Islam Bani Uthmaniyyah ini, ia menjadi pesaing kepada kerajaan-kerajaan Kristian di Eropah. Ia menjadi kuasa baru yang mengancam kekuasaan kerajaan Kristian Eropah dan membimbangkan kerajaan Kristian utama iaitu Kaisar Rom Byzantin. 
Kota Constantinople era pemerintahan 
Byzantin

Apabila Sultan Muhammaad Al-Fatih memerintah, bagindalah Sultan yang bertanggungjawab melenyapkan kekaisan Byzantin dengan menakluki kota Constantinople pada 1453 dan menukar namanya kepada Istanbul. Ia menjadi titik tolak kepada tersebarnya Islam ke Eropah. Islam berkembang ke serata dunia melalui Khalifah Islam Bani Uthmaniyyah. 

Pengembangan Empayar ini berlaku antara1453 - 1683. Ia merupakan suatu tempoh yang panjang. Selepas kejayaan penaklukan Constantinople, empayar Islam Uthmaniyyah berkembang hingga ke Balkan. Sepanjang abad ke-16, empayar Uthmaniyyah berkembang hingga ke Afrika Utara di barat dan Parsi di sebelah timur. Pada tahun 1514, Sultan Selim I mengalahkan tentera Parsi dalam peperangan Chaldiran di Anatolia bagi memastikan keselamatan empayar Uthmaniyah. Melalui Sultan Sulaiman al-Qanuni (Suleiman the Magnificent) atau Suleiman I, tentera Uthmaniyyah mara ke utara hingga ke Belgrade (1521), mengalahkan Hungary pada 1526 dan menyerang Vienna pada 1529.

Selepas kemangkatan Suleiman I pada 1566, empayar Uthmaniyyah mengalami kemerosotan. Ia berlaku kerana perebutan kuasa dan rasuah yang menyelubungi kekhalifahan Uthmaniyyah. Selepas kekalahan dalam peperangan di Vienna pada 1683, empayar Uthmaniyah mula merosot. Bermula dengan perisytiharan kemerdekaan oleh Hungary 1686 lalu mewujudkan kesatuan kerajaan bersama Austria, perpecahan sedikit demi sedikit mula berlaku. Abad ke-17 menyaksikan pengecilan wilayah Khalifah Uthmaniyyah. Kebangkitan dari Parsi yang menuntut kemerdekaan sedikit sebanyak melemahkan empayar Uthmaniyyah. Konspirasi bagi menjatuhkan Uthmaniyyah ini didalangi oleh umat Islam sendiri yang bersekongkol dengan Barat hinggalah kepada penggulingan Sultan Abdul Hamid II pada 1909 melalui konspirasi yang didalangi Yahudi. Emmanuel Carasso, seorang Yahudi warga Itali dan wakil rakyat Salonika (Thessaloniki) di Parlimen Othmaniyyah (Meclis-i Mebusan), Aram Efendi, wakil rakyat Armenia, Laz Arif Hikmet Pasha, anggota Dewan Senat yang juga pemimpin Armada Othmaniyyah, serta Arnavut Esat Toptani, wakil rakyat bandar Daraj di Meclis-i Mebusan. Sejak itu, baginda digantikan dengan sultan-sultan boneka sehinggalah Revolusi Turki berlaku pada 1924 oleh Mustafa Kamal Attarturk.

"Secangkir Teh Pengubat Letih"


Berkenaan dengan buku "Secangkir Teh Pengubat Letih", ia banyak mengupas mengenai isu-isu semasa di Turki moden dan pengalaman penulis, Ustaz Hasrizal ke sana. Bertemu sahabat dan berkenalan dengan warga Turki. beliau sedikit sebanyak mengupas isu semasa Turki lebih-lebih lagi berkenaan dengan isu pemakaian hijab di kalangan rakyat Turki dan bagaimana wanita Muslim di sana tabah dalam menjalani kehidupan di dalam sebuah negara pengamal dasar sekular yang begitu taksub dan fanatik.


Penulis menceritakan bagaimana warga Turki begitu tabah dan ramah dengan 'orang luar' sehingga sanggup mempelawa mereka ke kediaman tempat mereka tinggal. Penulis juga menceritakan tentang pengalaman bagaiamana dia kehilangan dompet akibat diseluk saku sehingga menemukannya semula di masjid. Sesuatu yang amat sukar untuk berlaku di Malaysia.


Mengupas isu berkenaan pemakaian hijab, menurut penulis, wanita Islam di sana begitu tegar dalam melaksanakan hukum Islam dari rela membuang hijab semata-mata menunaikan tuntutan diri. Sehinggakan ada segelintir wanita di sana menggantikan hijab dengan snow cap dan berbagai cara lagi untuk menutup kepala mereka dan membolehkan mereka menghadiri peperiksaan di sana. Di Turki, pemakaian tudung@hijab tidak mendapat restu pemerintah yang begitu sekular. Walaupun Turki diperintah oleh AKP pimpinan Erdogan yang menghala ke Islamik, namun, mereka seolah-olah tiada kuasa ke atas negara pemerintahan mereka. Ini kerana Turki diperintah oleh tiga kuasa yang mana parti pemerintah perlu mendapat mandat daripada dua kuasa lagi untuk melaksanakan sesuatu dasar. Seperti pemakaian hijab ini, pihak Tentera yang merupakan salah satu dari kuasa pemerintah begitu tegar melarang penggunaan hijab di universiti. Para pelajar di sana terpaksa membuka hijab sekiranya ingin menghadiri peperiksaan. Ini memaksa sebahagian pelajar terpaksa menyimpan hasrat untuk memperoleh segulung ijazah kerana lebih sayangkan iman mereka.


Begitu sabarnya orang Islam Turki menjalankan kehidupan seharian mereka. Menjalankan tanggungjawab sebagai Muslim walau dihalang dengan berbagai karenah birokrasi pihak penguasa di Universiti dan jabatan-jabatan kerajaan. Mereka tegar mempertahankan aqidah mereka dan begitu teliti dari segi pelbagai aspek hinggakan dari segi nama juga mereka begitu teliti. Saya masih terbayang akan tulisan Abu Saif mengenai perbualannya dengan bapa kepada sahabatnya tentang nama Mehmet dan Muhammad. Menurut beliau, mereka begitu menjaga keperibadian Rasulullah sehingga tidak menamakan anak mereka dengan nama Muhammad sebaliknya menukargantikan nama itu dengan nama Mehmet yang seerti juga dengannya. Mereka berkata, "Sekiranya kami menamakan dengan nama Muhammad tetapi perangainya buruk, sudah tentu ia akan seolah-olah menggambarkan yang nabi Muhammad itu seorang yang buruk akhlaknya di mata bukan Islam."


Aku berdoa moga Allah mengurniakan rahmat dan taufiq ke atas bumi Anatolia ini. Semoga suatu hari nanti, Islam di sana akan menag juga mengatasi kesekularan masyarakat dan pentadbirannya di sana nanti. Semoga Daulah Islamiyah akan tertegak kembali di kota Istanbul dan sinarnya menerangi dunia seluruhnya. Amiin.. InsyaAllah...

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wassalam...

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

saya beli dan baca buku ini sebelum berangkat ke turki. namun, ia tidak banyak membantu, terutamanya kerana ia ditulis berdasarkan pengalaman yang sudah lama (lebih 10 tahun) dan tidak relevan dengan keadaan semasa.

contoh :
USD100 yg ust hasrizal dakwa cukup untuk dibelanjakan bagi tempoh seminggu di sana, mungkin hanya cukup utk biaya makan, penginapan dan pengangkutan selama 2-3 hari.

turki sudah semakin maju dan terlalu banyak perubahan yg berlaku dengan pantas.

saya sedikit terkilan kerana membeli buku ini kerana direkemen oleh rakan2 yg mendakwa ia boleh membantu apabila mengembara di sana.

ternyata ia tidak begitu...