Cari Blog Ini

Ahad, 24 Julai 2011

PUING-PUING FERGHANA BERSERAKAN

20 Julai 2011, ia mencatat sejarah
Sebuah lembah subur di Asia Tengah digegar gempa
Ferghana namanya
Suatu nama indah pada sebuah lembah

Suatu ketika ia menjadi saksi sejarah
Pada sebuah nama seorang pahlawan
Berdiri kukuh sebuah kota bernama Alexandria Eschate
Yakni Alexandria Paling Jauh
Ditegak oleh penguasa jaguh
Menjadi benteng serangan gasar

Hari itu menjadi saksi lagi
Gempa ukuran 6.1 magnitud
Puing-puingnya berserakan di serata
Ya Tuhan, sungguh ia kekuasaan-Mu
Menghidupkan jua mematikan adalah hak-Mu, ya Allah
Moga rakyatnya di sana tabah mengharungi semuanya
Amiin ya Rabbal ‘alaamiin…



















Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wassalam...

Isnin, 4 Julai 2011

Cyrus The Great - Bapa Parsi Kuno


Cyrus The Great atau Cyrus II adalah raja Parsi dari dinasti Achaemenid.  Beliau merupakan pewaris takhta Achaemenes, pengasas kepada kerajaan Parsi di bawah dinasti Achaemenid.  Sewaktu pemerintahannya, beliau berjaya menyatukan seluruh kerajaan-kerajaan kecil di Parsi dan membuatkan wilayah Parsi begitu besar, atau juga mungkin paling besar dalam sejarah peradaban dunia kuno. Wilayah kekuasaan di bawahnya terbentang luas dari barat daya Asia sehingga ke Eropah. Di Eropah, kekuasaannya meliputi Caucasus merentang ke barat sehingga Helenspont. Di timur kekuasaannya terbentang sehingga ke lembah Sungai Indus, India.

Cyrus merupakan anak kepada Cambyses I dan Mandane. Cambyses I adalah raja Anshan menggantikan ayahandanya yang mangkat. Beliau berkahwin dengan Madane dari Media sebagai mengeratkan hubungan antara dua kerajaan itu. Pun begitu, Astyages, raja Media menitahkan agar Cambyses tetap berada di bawah kekuasaannya.

Sewaktu kelahiran Cyrus, Astyages mendapat mimpi bahawa beliau akan dijatuhkan oleh cucunya itu. Baginda mengarahkan agar Cyrus dibunuh. Tugas itu diberikan kepada Harpagus. Harpagus tidak sampai hati menjalankan perintah itu lalu memerintahkan seorang askar upahan Astyages agar meninggalkan Cyrus di pergunungan bersempadan dengan Saspires, iaitu tempat tinggal askar tersebut. Namun, arahan itu tidak dapat dilaksanakan oleh askar tersebut. Dia dan isterinya bersimpati dengan nasib yang menimpa Cyrus lantas mengambil keputusan untuk membela sahaja bayi kecil yang tidak berdosa itu.

Sewaktu berusia sepuluh tahun, perilaku Cyrus tidak menampakkan beliau seorang anak seorang askar. Tingkah lakunya lebih bersifat kebangsawanan dan ini menimbulkan keraguan kepada Astyages. Astyages lalu menjemput Cyrus untuk diuji. Hasil dari ujian itu, Astyages mendapati bahawa mereka mempunyai pertalian darah. Baginda menjadi murka lalu menitahkan Harpagus agar menghadap baginda. Baginda menitahkan agar Harpagus memberikan penjelasan akan apa yang telah terjadi kepada cucunda baginda yang diperintahkan untuk dibunuh itu dahulu. Lantas Harpagus menceritakan akan kedudukan yang sebenarnya. Ini menambahkan lagi kemurkaan Astyages. Baginda menghelah Harpagus agar memakan hidangan dari daging anaknya sendiri.

Astyages mula berlembut dengan Cyrus dan mengembalikannya kepada ibu bapa kandungnya yang sebenar, Cambyses I dan Mandane. Setelah dewasa, Cyrus berkahwin dengan Cassandane, puteri Pharnaspes yang berdarah Achaemenian. Melalui perkahwinan tersebut melahirkan empat orang cahaya mata, dua orang putera dan dua orang puteri iaitu Cambyses II, Atossa, Smersis dan seorang lagi puteri yang tidak diketahui namanya. Cyrus juga mempunyai seorang lagi puteri dari perkahwinannya yang lain iaitu Artystone. Pada 21 Mac 538 SM, Cassandane mangkat dan negara Parsi berkabung selama enam hari.

Walaupun Cambyses I mangkat pada tahun 551 SM, Cyrus memperoleh takhta lebih awal iaitu pada 559 SM atas kepercayaan yang diberikan ayahandanya. Beliau memegang gelaran Cyrus II, raja Anshan daripada Cambyses I. Namun, Cyrus tidak dapat menjadi raja yang bebas. Baginda perlu memperakui kekuasaan ke atas Media yang dikenakan kepada pemerintah sebelumnya.

Bagi membalas dendam ke atas Astyages atas kematian anaknya yang dibunuh oleh Astyages, Harpagus menghasut Cyrus untuk merancang satu pemberontakan ke atas kerajaan Media. Bermula pada tahun 553 SM, berlaku pula siri pertempuran antara tentera Cyrus dengan Media dan pertempuran pertama berlaku pada tahun 552 SM. Dalam pertempuran yang hebat itu, pakatan Cyrus dan Harpagus berjaya menawan kota Ectabana. Dengan jatuhnya kota Ectabana ini, secara tidak langsung kerajaan Media di bawah Astyages telah tumbang.

Ini membuatkan Arsames, bapa saudara Cyrus dari sebelah ibunya, menyerahkan kota Parsa yang di bawah kekuasaannya kepada Cyrus tanpa pertumpahan darah. Namun, beliau masih tetap berkuasa ke atas Parsa apabila dilantik menjadi satrap(gabenor) Parsa sementara anaknya, Hystaspes dilantik menjadi satrap bagi Parthia dan Phyrgia.

Setelah itu, Cyrus mula menyatukan dua kerajaan Anshan dan Parsa kepada sebuah kerajaan yang lebih tersusun. Astyages mula merancang strategi untuk merampas kembali kekuasaannya ke atas Media. Beliau lalu bersekutu dengan Croesus, iparnya, Nabonidus II dari Babylon dan Amasis II dari Mesir. Mereka berpakat demi merancang kepada satu pemberontakan terhadap raja baru Parsi, Cyrus II. Lydia memulakan serangan ke atas Parsi dengan menyerang Pteria di Cappadocia dan berjaya menawan seluruh penduduknya.
Sementara itu, pihak Cyrus menjemput penduduk Ionia yang merupakan sebahagian dari kerajaan Lydia agar memberontak terhadap pemerintah mereka. Permintaan itu ditolak mentah-mentah. Cyrus lantas menubuhkan satu pasukan bagi menentang kerajaan Lydia. Sewaktu kemaraan Cyrus dari Parsi menuju ke Lydia, pasukan tenteranya bertambah berikutan sokongan yang ditunjukkan oleh penduduk sekitar yang dilalui oleh tentera Parsi.

Pertempuran antara Parsi dan Lydia pun berlangsung di Pteria. Ramai tentera menjadi korban dalam pertempuran ini. Croesus berundur ke kota Sardis keesokan harinya. Croesus meminta bantuan dari sekutu-sekutunya. Namun, sehingga musim dingin, tiada satu pun bantuan diperolehi dari sekutunya itu.

Sementara itu, Cyrus meneruskan siri penaklukan ke atas Lydia dan berjaya menawan sau persatu kota yang menjadi jajahan takluk Lydia. Dalam pertempuran Thymbra bagi menawan kota Sardis, Harpagus menasihati Cyrus agar meletakkan pasukan unta di hadapan. Bau unta sememangnya tidak disukai oleh kuda-kuda Lydia dan menyebabkan kekacauan pada tentera Lydia. Kavalri Lydia ditumpaskan dan Cyrus beroleh kemenangan seterusnya berjaya menawan Lydia secara keseluruhannya. Croesus ditawan dan dihukum mati.

Kempen penaklukan di bahagian Asia Kecil dan sekitar kawasannya di Eropah diteruskan oleh pasukannya di bawah Mazares. Magnesia dan Priene berjaya ditawan namun, Mazares mati sebelum sempat menawan Ionia. Harpagus dihantar bagi meneruskan misi penaklukan yang ditinggalkan Mazares. Kota Lycia, Cicilia dan Pheonicia berjaya ditawan. Tahun 552 SM, Harpagus pulang ke Parsi setelah menyelesaikan misi di sana.
Kerajaan Susiana atau Elam berjaya ditakluk Cyrus pada tahun 540 SM. Kota Susa berjaya ditakluk. Desas-desus konflik antara Parsi dan Babylon meningkat apabila Nabonidus II mengarahkan agar patung-patung yang diletakkan di luar kota Babylon dibawa masuk ke dalam kota. Kejayaan serangan ke atas Opis yang menjadi kubu kuat pertahanan Babylon melemahkan Nabonidus. Kota Sippar berjaya ditawan tanpa perlu ada pertumpahan darah. Ini adalah hasil rundingan antara Cyrus dengan general perang Babylon yang tidak menginginkan pertumpahan darah berlaku.

Penaklukan ke atas Babylon berlaku hasil dari strategi mengalihkan aliran Sungai Furat ke takungan yang digali oleh Permaisuri Nitokris bagi menghalang serangan dari Media lama dahulu. Nabonidus berjaya ditawan dan dihukum. Dengan penaklukan ke atas Babylon ini, Cyrus menggelar dirinya sebagai ‘Raja Babylon, Sumer dan Akkadia, Raja Empat Penjuru Dunia’.

Cyrus The Great mengarahkan agar kuil-kuil di sekitar Babylon dibaikpulih dan orang-orang Yahudi yang sebelum ini diusir dari tempat mereka dikembalikan ke tempat asal mereka tanpa perlu membayar apa-apa kepada kerajaan Parsi. Lantas mereka menganggap Cyrus sebagai ‘Lord Mesiah’ atau ‘Utusan dari Tuhan’.

Polisi-polisi yang dilaksanakan Cyrus memberikan merit ke atas hak-hak asasi manusia. Di bawah polisi ini, semua rakyat di bawah kekuasaan Parsi, aktiviti keagamaan dibenarkan tanpa ada sekatan. Semua penduduk dan rakyat bebas menganuti agama kepercayaan mereka. Malah, rumah-rumah peribadatan mereka juga dibina dan dibaikpulih. Ini menyebabkan Cyrus disayangi oleh rakyat jelata dan dianggap oleh mereka sebagai ‘bapa’ mereka sendiri. Segala polisi yang dijalankan Cyrus ini turut termuat dalam 'Silinder Cyrus'.


Cyrus The Great akhirnya mangkat pada Disember 530 SM sewaktu bertempur dengan puak Massagetae di Syr Darya. Dengan ini, Cyrus tidak sempat menakluk Mesir yang dalam pada itu masih lagi menentang kekuasaannya. Perjuangannya ini diteruskan oleh pewarisnya, Cambyses II dan seterusnya adik Cambyses II iaitu Smerdis. Cambyses II memerintah selama tujuh tahun di mana sewaktu beliau memerintah, beliau berjaya menawan Mesir, Nubia dan Cyrenaica. Setelah itu, legasi empayar Achaemenid yang dijayakan Cyrus ini diteruskan oleh anak lelaki beliau yang kedua, Smerdis yang memerintah selama tujuh bulan sahaja dan seterusnya diteruskan oleh Darius I atau Darius The Great. 


Silinder Cyrus

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wassalam...