Cari Blog Ini

Selasa, 23 November 2010

BUAT INSAN BERGELAR BAKAL ISTERIKU


Salamualaikum wa rahmatullah wa barakaatuh.. salam sejahtera buat yg bukan beragama Islam. Alhamdulillah. Sekian lamanya menyepi dari mencoret blog sendiri, akhirnya tergerak hati ni untuk mencoret sedikit dalam blog yg telah lama berhabuk, bersawang. Huhu
Coretan kali ni khas buat bakal zaujah yang ketika ini lena di ulit intan di alam mimpi.. (udah tido daaa.. hehe) entah kenapa mata ni sukar untuk dilelapkan malam ni. Aku rasa begitu syahdu je malam ni. Entah la. Tak tau apa dah jadi pada diriku ini. Sejak kebelakangan ini, aku selalu je termenung memikirkan masa hadapan. Risau dengan hari-hari yang bakal aku lalui. Lebih-lebih pulak, tak lama lagi akan bergelar seorang suami. Besar tanggungjawab tu. Hendak melayarkan bahtera pernikahan ke destinasi yang indah. Pasitnya banyak gelora ombak yang perlu aku redahi. Macam bersajak la pulak.huhu..
Wahai bakal zaujah,
Ketahuilah olehmu bahawa aku ini hanyalah seorang lelaki miskin yang tak punya apa-apa harta. Hanya punya sebuah kereta Kenari saja. Kerjaku begitu sibuk. Tak mengenal waktu (namun, waktu solat tak pernah terabai tau.. huhu) terkadang aku tak balik rumah dek kerana menyiapkan kerja yang telah diamanahkan. Namun, ku kena bersabar kerana itu telah lumrah alam pekerjaanku.
Masaku banyak dihabiskan bersama kerja. Siang ke pejabat. Petang pulang. Terkadang malam terpaksa datang semula ke pejabat untuk menyiapkan kerja-kerja urgent. Pun begitu, setelah kita bernikah nanti, akan ku pastikan diriku ada masa bersamamu. Walau tak banyak, sedikit pun cukup. Dan ku harapkan kau mengerti akan hal itu.
Jika sekiranya aku terpaksa pulang lewat ke rumah, janganlah kau merajuk hati, marahkanku kerana kerja balik lambat. Bukan aku sengaja untuk pulang lewat. Keadaan memaksa aku pulang lewat.
Duhai bakal zaujah,
Telah pun kau sedia maklum. Aku ini seorang yang seringkali lupa. Lupa akan perkara-perkara yang penting kadangkala. Kalau time ingat, memang aku ingat sedalam-dalamnya. Tapi, bila aku lupa, perkara yang baru kau sebutkan pun aku boleh jadi lupa. Jadi, janganla marah-marah. Andai aku terlupa, ingatkanlah aku. Andai aku tersalah, betulkanlah aku. Moga itu akan menambah lagi rasa cinta antara kita bila sudah berumahtangga nanti.
Dan terakhir, sedikit doa ku nukilkan buat insane bergelar bakal zaujah.

 
Ya Allah ya Rahman,
Ampunila segala dosa-dosaku. Dan kau ampunkanlah dosa kedua ibu bapaku, dosa guru-guruku, doa kaum keluarga & keturunanku, ampunkanlah dosa bakal isteriku, (Khalidah Nur bt Mohamed Aris), kedua ibu bapanya, guru-gurunya, sahabat-sahabatnya, serta sekelian muslimin muslimat, dan mukminin mukminat, sama ada yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia.
Ya Allah,
Aku serahkan jiwa dan ragaku kepadaMu dengan penuh rasa rendah diri. Ku mohon padaMu, tetapkan imanku, tetapkanlah hati ini dalam memilihnya sebagai pasangan hidupku. Teman seumur hidupku. Dunia dan akhirat. Berkatilah kehidupan kami ya Allah dalam mengharungi alam perkahwinan yang mencabar ini. Berilah aku kesabaran dalam menghadapi ujianMu ya Allah.
Oh Tuhanku,
Aku bermohon sembah mengharapkan keredhaanMu. Redhailah kehidupanku setelah bergelar suami. Jadilaknlah aku suami yang amanah dan bertanggungjawab dalam menjadi ketua rumahtangga ya Allah. Lapangkanlah dadaku untuk menerima segala kelebihan dan kekurangan pasanganku nanti ya Allah. Rapatkanlah hati kami untuk saling mencintai keranaMU ya Allah. Suburkanlah hidup kami dengan nur Islam. Suburkalah jiwa kami dengan ketakwaan yang mendalam terhadapMu, agar nantinya lahir dari zuriat keturunan kami insan-insan yang soleh dan solehah.
Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,
Tunjukkan kami jalan kebenaran. Jalan yang telah Kau tunjukkan kepada Anbiya', shuhada' dan para auliya'. Iaitu jalan menuju ke syurgaMu yang kekal abadi. Tempat terbaik yang kau jadikan untuk hamba-hambaMu yang sabar dalam menjalankan amanahMu.
Ku bermohon padaMu ya Allah. Jadikanlah aku penawar pada isteriku tatkala dia dilanda resah dan gelisah. Begitu juga aku. Jadikanlah dia insan yang solehah. Yang dapat menjadi guru terbaik buat anak-anak kami. Semoga dengan ini, keluarga yang kami bina berkekalan hingga ke jannahMu.
Wahai Tuhan Yang Maha Mendengar segala rintihan segala makhluk,
Prkenankanlah doaku ini ya Allah, Tuhan semesta alam.
Amiin ya Rabbal 'alamiin…

Khamis, 24 Jun 2010

Agghhhhh.... Tensionnyeee....

salamuaalaikum wa rahmatullah wa barakatuh.. salam 1Malaysia.. salam ukhwah fillah.. salam mahabbah ila rahmah.. salam sejahtera kepada semua umat manusia yg masih bernafas & bernyawa.. yg masih menghirup udara segar di bumi Allah ini..

dah lame aku tak update blog ni. maklumla kan, banyak sangat kerja yg mesti dibereskan sampai tak ada masa nak berblog & berkarya.. huhu.. sibukla sangat.. tapi memang sibuk pun.. balik kerja pun sampai malam.. awal pagi.. mane tak nye, hari-hari kerja menimbun.. lepas satu, satu kena selesaikan. begitulah lumrah bagi seorang pekerja macam aku ni.. selalu saja diberikan tugasan oleh insan bergelar 'bos'. hehe

dalam sebulan ni, aku banyak pressure kerja. dan dah menjadi kelaziman sejak ketiadaan ibu, aku tiap-tiap minggu balik kampung. melihat, menjengah, menziarah, dan segala 'men' lagi la kan. yela kan. isteri bapak aku alias mak aku dah tak ada. dah kembali menghadap Tuhan Yang Esa. bila dah tak ada. kenala balik selalu. tengok-tengok keadaan orang tua. nak jadi anak soleh la katakan.. huhu.. lagi pulak, aku belum kahwin kan.. pape pun, bapak mesti diutamakan..

hari ni, aku tension lagi dengan kerja. sakit kepala fikirkan macam mana nak settlekan kerja ni. bos tau siap je. nak tonggang tebalik ke, dia bukan kisah. yang penting, kerja mesti mau siap juga..

nasib baik la aku ni jenis tak suka melawan, kalo tak, dah lama aku pecat diri aku sendiri a.k.a melawan bos. hehe.. kerjaku sebagai GIS Executive betul-betul buat aku macam robot. kerja siang malam tak kira masa. bengang gak la aku. kerja tak ada sistem. semua benda nak kejar. yang sakitnya aku gak. bos yang kaya. tapi, tula lumrah pekerjaan yang mesti aku terima. lain la aku jadi bos. tapi, jadi bos lagi pening memikirkan hutang-hutang yang berlambakan. kena fikir flow duit keluar masuk. fuuhh.. letihnyee..

dalam pada aku sibuk ni, sempat gak aku melayan blog aku sendiri. macam syok sendiri pun ade gak la. tapi, inilah hakikat yang kita kena tempuh & fikirkan bersama. selagi kita hidup, tak lari dari kerja, kerja, kerja. sampaila kita menghadap Ilahi. dan paling penting, pekerja wajib yang kita kena lakukan sebagai manusia, terutama yang beragama Islam, mengingati Tuhan, yakni Allah. menjalankan perintah agama. solat. menunaikan rukun Islam. mengukuhkan rukun Iman. dan berjuang di jalan Allah walau dengan cara apa sekali pun. asalkan tidak melanggar batas2 syariat yang ditetapkan. dan aku memilih jalan ini. menggunakan medium blog sebagai salah satu cara berdakwah di jalanNya.. ingat, mati tu tak kenal waktu, tak kenal usia, tak kenal siapa. kalau dah sampai seru, maka datanglah malaikat Izrail mencabut nyawa. andai tak banyak amal di dunia, maka, azab siksalah menanti. andai kuat beramal dengan penuh keikhlasan, Insyaallah, nikmat syurga menanti di sana..

ok la. aku pun dah penat. nak rehat. jadi, renung2kanla kata2ku yang seciput tu. moga ada manfaatnya untuk kita semua... wallahu a'alam...

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wassalam...

Rabu, 7 April 2010

MENCARI YANG HILANG

Salamualaikum wa rahmatullahi wa barakaatuh.. salam sejahtera buat yang bukan muslim. Semoga anda semua berada dalam keadaan yang baik dan sentiasa mendapat petunjuk dariNYA. Insyaallah.

Sebenarnya, saya sudah lama tak munculkan diri dalam ruang artikel ini. Ya. Memang sudah lama. Seingat saya, kali terakhir saya menulis artikel dalam blog yang buruk ini adalah pada bulan Disember 2009 lalu. Itu pun, artikel tersebut dipertik dari salah satu emel yang dikirimkan dari seorang rakan.

Dalam pada di tengah malam yang dingin ini, tiba-tiba saya mengenang kembali perjalanan hidup ini yang saya rasakan seperti ada sesuatu yang hilang. Yang semakin pudar warnanya. Seperti pudarnya warna baju akibat dicucu berkali-kali. Pun begitu, saya kira, bukan ia seperti pudarnya warna baju itu. Tetapi ia lebih seperti hilangnya pelangi di kaki langit pabila hari semakin cerah dan wap air di awan berkurangan.

Hidup ini penuh dengan ujian dan cabaran yang adakalanya kita tertewas dalam menghadapi ujian tersebut. Adakalanya kita Berjaya. Tapi, sebagai manusia biasa, kita tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Namun, terkadang kesilapan itu sukar untuk dimaafkan oleh insan lain. Cumanya, jika difikir-fikirkan, siapalah kita untuk tidak memaafkan dosa orang lain. Melainkan dosa itu sememangnya tidak dapat untuk dimaafkan. Itu pun, sekiranya kita berjiwa ihsan dan ada rasa belas, mungkin dosa sebesar mana pun akan tetap diampunkan. Wallahu a'alam.

Semestinya ramai yang tertanya-tanya, apa sebenarnya yang telah hilang? Seperti mana yang saya utarakan sebelum ini. Saya sedang kehilangan sesuatu? Benarkah? Cuba kita salami kembali perjalanan kehidupan kita selama ni. Sudahkah kita melunaskan hutang-hutang tertunggak yang belum sempat dibayar? Tak kiralah apa jua bentuk hutang itu. Yang paling penting adalah hutang kita dengan Allah Subhanahu wa taala. Jangan sekali-kali kita lupa untuk membayarnya. Macam mana kita boleh berhutang dengan Allah? Apa bentuk hutang-hutang itu?

Begini. Dalam hidup kita selama ini, pernah kah kita terlupa untuk menunaikan solat? Pernahkah kita meninggalkan puasa wajib di bulan Ramadhan? Adakah semua jenis zakat yang diwajibkan ke atas kita telah kita bayarkan? Dan jika dihitung semuanya, ternyata terlalu banyak hutang kita kepada Allah SWT. Benar bukan? Hutang-hutang inilah yang saya katakana tadi wajib dilunaskan terdahulu. Ini baru hutang dengan Allah SWT. Belum dicampur dengan hutang dengan manusia di dunia ini. Allahu. Banyaknya aku berhutang. Sungguh. Aku ini hambaMu yang lemah. Sering saja lalai dalam menunaikan amanahMu.

Dan perkara-perkara seperti inilah sebenarnya antara salah satu sebab dan punca mengapa begitu banyak masalah melanda diri kita hari ini. Bila mana kita terlupa atau sengaja tidak menunaikan hak-hak Allah, sedikit sebanyak kita akan lupa untuk menunaikan hak-hak manusia lain. Dan seterusnya lupa untuk melaksanakan hak-hak dan tanggungjawab yang telah dibebankan Allah kepada kita kepada makhluk lain di dunia ini. Sedikit sebanyak hati kita menjadi gelap dan akhirnya kita hanyut dibuai keenakkan dunia yang melalaikan.

Ini adalah sebahagian dari apa yang saya alami dan saya rasai sebagai seorang manusia, dan hamba Allah yang telah hidup selama 25 tahun lebih di dunia ini. Terlalu banyak dirasakan dosa saya selama saya bergelar manusia hidup dan bernafas di dunia ini. Terlalu banyak berbanding amal yang saya kerjakan.

Allahu.lemahnya diri ini.banyak sungguh maksiat yang aku kerjakan berbanding amal kebajikanku. Ya Allah. Selamatkan hatiku dari menjadi gelap dan hitam. Aku tidak mau menjadi hambaMu yang kufur akan segala nikmat yang Engkau kurniakan.

Kenapa saya katakana saya lemah? Kerana apa yang saya lakukan selama di dunia ini tidak lebiha sekadar banyak berdiam diri terhadap kemaksiatan-kemaksiatan yang berlaku di depan mata. Pemandangan biasa yang sering dipertontonkan kepada manusia. Dan yang lebih malang bila mana orang yang lebih alim yakni mengetahui tidak lebih hanya sekadar mendiamkan diri tanpa berbuat sesuatu. Bila mana berlaku sesuatu yang menjelikkan diberitakan di kaca televisyen, orang-orang seperti ini (saya lah tu), tidak hanya mendiamkan diri, malahan lebih teruk banyak menuding jari ke arah pentadbiran kerajaan. Seringkali kerajaan dipersalahkan bila timbul isu-isu yang membabitkan hal-hal keruntuhan moral. Benarkah kerajaan mesti dipersalahkan 100%? Tapi, bagaimana pula dengan golongan alim dan warak ini? Mereka ini terlepaskah dari pertuduhan ini? Sekiranya mereka berbuat sesuatu demi mengurangkan kemaksiatan itu berlaku, maka mereka boleh dilepaskan. Namun, jika hanya berdiam diri, mereka ini( saya lah tu) memang patut dipersalahkan. Mereka bertanggungjawab jika keadaan itu mereka biarkan saja tanpa mengambil tindakan seperti menasihat dan sebagainya.

Kan sudah terbukti saya lemah. Jadi, apa sebenarnya yang hilang dalam diri saya ni? Ini hanyalah persoalan-persoalan biasa bagi mereka yang ingin mencari sesuatu dalam diri mereka yang telah hilang. Saya rasakan, jiwa nur Islam saya sudah semakin pudar sejak kebelakangan ini. Manakan tidak. Saya tidak banyak berbuat apa-apa tatkala masalah-masalah yang melanda umat kini kian meruncing. Lihat saja keadaan umat yang kian berantakan. Gejala keruntuhan moral di kalangan remaja dan dewasa kian menjadi-jadi. Maksiat yang berlaku di sana sini dilihat seolah-olah fenomena biasa di kalangan masyarakat. Keadaan ini tidak lebih seperti budaya kuning Barat yang semakin berat. Di mana letaknya nilai-nilai ketimuran kita? Di mana letaknya sopan dan santun kita.

Jawapannya mudah. Ia sudah semakin pudar dan semakin menghilang. Anak-anak yang semakin tiada adab terhadap ibu bapa semakin ramai lahir. Bagaimana ia berlaku? Kerana puncanya juga dari ibu bapa sendiri. Benarkah? Ya. Kerana ibu bapa sebelum kahwinnya hanya memikirkan tentang keseronokan hidup bersama (lelaki perempuan) dari memikirkan tentang ruh perkahwinan itu. Berapa ramai di kalangan ibu bapa ada memikirkan tentang membina sebuah perkahwinan berteraskan Islam yang sebenar? Begitu sedikit.

Namun, Alhamdulillah. Bila mana Allah timpakan musibah kepada sesebuah masyarakat itu, Dia mau menurunkan hikmah tersembunyi. Dan hikmahnya, semakin ramai pula golongan yang maukan Islam itu kembali dilaksanakan di dalam kehidupan masyakarat. Tinggal lagi ia mau diaplikasi oleh sekelian individu dalam sesebuah masyarakat itu atau tidak.

Akhir kalam, bersamalah kita bermuhasabah diri demi mencari apa yang hilang dalam diri kita ini agar ianya nanti akan kembali menghuni diri kita. Agar kita nanti tidak terus kehilangan nilai-nilai yang penting dalam diri kita. Wallahu a'alam.

Isnin, 5 April 2010

Mencari Cahaya Di hujung Lorong Kecil Itu

Di waktu malam sedang rancak berpesta

Dengan bunyian cengkerik di sekeliling

Bertemankan bulan purnama yg membulat di awanan

Aku berfikir sejenak

Menelusuri, mentelaah, dan mengkaji

Akan kelemahan diriku sendiri

Yang penuh dosa, noda dan alpa

Sering terlalai dibuai mimpi-mimpi dunia yang mengasyikkan

Hingga aku terlena tanpa sedar

Terlupa akan cobaan dan dugaan

Hanyut dipukul badai kehidupan

Tak pernah sekali ku meronta

Walau sekelilingku melihat penuh trauma

Padaku itu semua hanyalah sirna semata…


Hingga…

Suatu saat aku terbangun dari tidurku yang panjang

Merasa kekurangan semalam

Teraba-raba mencari cahaya

Gelap gelita sekelian pandangan

Aku teruskan langkah dalam terpaksa

Bagai si buta yang kehilangan tongkat saktinya

Hingga..

Aku terjumpa sekelumit cahaya di hujung lorong sempit itu

Bila ku tuju arahnya

Ku lihat begitu indah pandangannya

Serba putih manusia di sana

Bersih berseri cahaya

Damainya rasa bersama mereka

Dan aku tidak mau lagi berpaling

Berpaling kea rah lorong kelam nan suram itu lagi


Isnin, 29 Mac 2010

KENYATAAN YANG MENYAKITKAN

Semalam aku bermimpi lagi. Mimpi yang sama. Mengundang seribu satu persoalan. Berlegar-legar di segenap ruang minda. Menambah serabut di kepala yang sememangnya begitu serabut. Mimpi itu seolah-olah memberi petanda. Ya. Petanda yang sesuatu perkara bakal melanda hidupku seterusnya mungkin mengubah perjalanan hidup.

Bunyi nada dering telefon bimbitku mematikan lamunan. Terhenti buat sementara waktu. Ija ditalian. Ah. Apa pula dia ni. Macam ada hal besar saja.

"Assalamualaikum. Johan, aku ada berita tergempar untuk kau ni. Tapi aku harap kau dapat bertenang dan bersabar ya." Kata-kata Ija di talian benar-benar membikin dia tak keruan. "Ana. Ana kemalangan malam tadi. Sekarang masih di Hospital Serdang."

Benar ramalanku. Ana, kekasihnya terlibat dalam kemalangan sewaktu pulang dari majlis sempena ulang tahun rakannya, Jue. Jue atau Juliana merupakan sahabat baik Ana sejak di university lagi. Mereka rakan sekelas.

"Aku nak ke sana sekejap lagi. Kau dating ya." Ija mematikan talian. Aku terduduk di birai katil. Ya Tuhan. Bagaimana ini boleh berlaku? Ana. Bagaimana keadaanmu. Moga-moga kau taka pa-apa.

Bingkas aku menyiapkan diri. Membersih diri seadanya. Kemudian, mengenakan kemeja t yang baru dibeli semalam ketika keluar bersama Ana di Alamanda, Putrajaya.

Enjin kereta mengaum. Kereta Proton Persona 1.6 Manual yang ku beli sejak lima bulan lalu bergerak menuju ke destinasi. Hospital Serdang. Perjalanan memakan masa kira-kira sepuluh minit saja dari Kajang. Tempat kediamanku.

dalam perjalanan, fikiranku menerawang jauh. Teringat kembali kisah sewaktu aku dan Ana sama-sama menuntut ilmu di Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM dua tahun lalu. Kami menuntut di satu fakulti, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan. Dia mengambil jurusan Sains Politik sedang aku jurusan Sains Kemanusiaan. Kami mula berkenalan pada satu program anak angkat anjuran Majlis Perwakilan Pelajar dan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan di Kampung Tanjung Sepat, Banting. Aku merupakan salah seorang urusetia program dan dia merupakan antara peserta.waktu itu, aku di tahun dua sedang dia di tahun satu. Dia diletakkan di bawah jagaanku bersama keluarga angkat yang sama.

Kali pertama aku memandangnya membuatkan hatiku terpikat. Dia sememangnya gadis yang cantik. Wajahnya bujur sirih. Matanya agak sepet. Seperti anak Cina. Rambutnya dibiarkan panjang lepas ke bahu. Agak tinggi juga. Mempunyai lesung pipit yang dalam.

"Saya Suhana Alia bt Mohamad Ali, berasal dari Sagunting, Sabah. Saya belajar dalam jurusan Sains Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM. Bercita-cita menjadi penganalisis politik seperti pensyarah saya, Dr Agus Salim." Tutur bicaranya tidak menggambarkan dia dari Sabah. Lancer sekali.

Sejak itu, aku mula mendekatinya. Awalnya sebagai seorang rakan biasa. Kemudian, menjadi kekasih. "Abang Johan, kenapa abang suka berkawan dengan saya?" pertanyaan itu terpacul dari mulutnya pada suatu petang ketika kami sama-sama menelusuri pantai Morib.

"Abang jatuh hati pandang pertama sejak mula terpandang wajah Ana. Ana cantik." Wajahnya berona merah. Menahan malu. Aku hanya tersenyum.

"Eleh. Tipu la. Ana tak percaya. Masakan abang jatuh hati sedangkan ramai lagi perempuan di UKM tu lebih cantik dari Ana."

"Sungguh. Abang tak tipu. Kalau tak percaya, ambil lah kapak, belah dadaku. Kau akan lihat betapa namamu berada dalam hati ini." Ana ketawa kecil mendengar kata-kataku.

"Nakal." Dia tersenyum menampakkan baris gigi yang tersusun rapi. Putih berseri.menyerlahkan lagi keayuannya.

Tiiiittttt!!! Aku tersedar dari lamunan yang panjang. Sebuah kereta Perodua Myvi membunyikan hon kerana keretaku begitu rapat menghimpitnya di sebelah kiri. Aku mengucap panjang. Dadaku berombak kencang. Nyaris-nyaris saja aku kemalangan akibat terlalu khayal.

Papan tanda menunjukkan simpang ke Hospital Serdang berada 500 meter di hadapan. Aku memberikan isyarat ke kiri. Setelah pasti tiada kenderaan yang hampir di belakang, aku membelok ke kiri dengan berhati-hati. Dada-dadaku bagaikan berdebar-debar. Seolah-olah ada sesuatu yang tidak enak bakal ku dengari. Aku memikirkan nasib Ana.

"Johan. Keadaan Ana sangat kritikal!" kata-kata Ija membuatkan diriku cemas. Seorang doktor berada di situ. Ku rasakan dia adalah doktor yang merawat Ana.

"Benar kata kawan kamu tu. Keadaan pesakit amat kritikal. Hanya keajaiban boleh memberikannya nyawa. Berdoalah kepada Tuhan semoga dia sihat seperti sediakala." Dr T. Murugan. Itulah nama yang tertera pada lencana di bajunya.

"Apa yang boleh saya bantu tuan doktor?" aku cuba membantu setakat yang aku mampu. Tidak lama kelibat papa dan mama Ana kelihatan dari jauh. Tergambar wajah cemas mereka.

"Ana kehilangan banyak darah. Dia memerlukan penderma dari darah jenis AB positif. Ada sesiapa di sini yang mempunyai darah jenis AB positif?" Dr Murugan bertanya kepada yang ada di ruang menunggu di wad kecemasan itu.

"Kami ni ibu bapanya. Tuan boleh ambil darah kami berdua jika perlu." Bapa Ana bersuara. Dia begitu risau memikirkan keadaan anak tunggalnya itu.

"Sebelum saya memasukkan darah kepadanya, saya perlu memeriksa jenis darah tuan puan. Jadi, boleh ikut saya."

"Saya mau ikut sama doktor. Mungkin darah saya sama jenis dengannya." Johan cuba membantu sedaya mungkin.

"Baiklah. Semua ikut saya. Kita buat pemeriksaan darah."

Tuan Ali dan Puan Mariam, ibu bapa Ana serta aku mengikuti Dr Murugan. Kami mau mendermakan darah kami kepada Ana. Ana memerlukan pertolongan kami. Aku berdoa pada Allah moga Ana tidak mati. Aku begitu takut kehilangannya. Aku terlalu sayang padanya.

"Tuan doktor, keadaan pesakit bertambah tenat. Nadinya tidak berfungsi!" jururawat menerpa masuk ke bilik derma darah. Aku tersentak mendengar kata-kata jururawat itu. Aku seolah dapat merasakan yang Ana akan pergi meninggalkan aku. Dr Murugan bergegas ke bilik kecemasan apabila diberitahu jururawat itu.

"Maafkan saya. Dia telah tiada lagi. Harap kamu semua dapat bersabar." Kata-kata doktor benar-benar membuatkan diriku lemah. Aku terduduk di kerusi bilik. Ana, wanita pertama yang aku sayang kini telah tiada. Ya Allah. Terasa begitu berat ujianMu ini.

Papa dan mama Ana tidak dapat menahan tangis. Air mata berguguran menangisi pemergian anak kesayangan mereka. Anak tunggal hasil perkongsian mereka selama dua puluh tahun kini telah pergi menyahut seruan Ilahi.

"Pakcik, makcik. Jangan terlalu bersedih. Ini ujian Allah. Saya harap pakcik dan makcik dapat terima dengan berlapang dada. Kita semua adalah milik Allah. Tiada yang kekal di dunia ini melainkan Dia. Bersabarlah. Ada hikmah tersembunyi yang Allah nak tunjuk pada kita semua." Aku cuba menenangkan mereka. Walau dengan nada sebak, aku harus menegur mereka. Ku lihat Puan Mariam seolah tidak dapat menerima kenyataan itu. Tapi, aku faham. Sedangkan aku yang tiada ikatan yang sah pun sedih hati dengan pemergiannya, inikan pula dia. Ibu yang mengandungkannya sembilan bulan. Yang melahirkan dengan jerih payah. "Makcik,sudahlah tu. Kita doakan moga-moga dia ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. Sabar ye makcik."

"Benar kata dia Yam. Hidup ini mesti diteruskan walaupun tanpa dia." Tuan Ali bersuara. Dia faham benar akan perasaan isterinya itu. Namun, mereka mesti menerima kenyataan dengan berlapang dada.

Pihak polis telah pun tiba. Kelihatan dua orang anggota polis lengkap berpakaian rasmi menuju ke arah kami. Ada sesuatu yang ingin diberitahu.

"Encik Mohamad Ali dan Puan Mariam?" salah seorang dari mereka berbicara. Aku hanya memerhati sahaja. Menanti baris perkataan yang bakal dilontarkan.

"Ya saya. Ada apa tuan?" papa Ana menyahut. Dia berdebar-debar.

"Kami mau mengambil keterangan encik dan puan tentang kemalangan yang melibatkan anak encik dan puan. Saya ingin memaklumkan bahawa dalam kemalangan melibatkan anak encik, ia juga melibatkan seorang lelaki bernama Safuan bin Hamdan. Encik dan puan kenal lelaki ini?" angota polis bernama Kamal berpangkat Inspektor bertanya. Aku semakin keliru. Siapa Safuan ni pula? Tuan Ali dan Puan Mariam menggelengkan kepala. Mereka hanya kenal aku seorang sebagai teman lelaki Ana.

"Kami difahamkan Safuan yang memandu kereta anak encik dan dia didapati hilang kawalan ketika sedang memandu laju. Sebelum saya terlupa, adakah kereta Proton Perdana ini milik anak encik atau bukan?" Proton Perdana? Aku semakin keliru. Seolah-olah drama Gerak Khas pula.

"Anak saya memandu Proton Satria Neo. Apa nombor platnya, tuan?" Tuan Ali semakin tidak keruan. Dia bagai tidak percaya akan apa yang sedang didengarnya.

"WKT 2006. Encik tau kereta ini?" Tuan Ali terkesima. Itu adalah keretanya yang hilang dua bulan yang lalu bersama pemandunya. Dia telah membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Baru Bangi. Bagai tidak percaya.

"Itu kereta saya yang hilang dua bulan lepas, tuan. Setahu saya, kereta itu hilang bersama-sama pemandunya. Pemandu saya bernama Ahmad bin Sahlan. Dia sudah menjadi pemandu saya selama lima tahun. Ada tuan dapat berita darinya."

"Menurut maklumat yang saya terima, pihak polis ada menjumpai mayat seorang lelaki di pinggir hutan di Dengkil pada tiga hari lepas. Dari kad pengenalannya tertera, Ahmad bin Sahlan. Kami telah memaklumkan pada keluarganya dan mayatnya telah pun dituntut. Ada sesiapa berdendam dengan encik ke?" Inspektor Kamal menyoal lagi. Rakannya seorang lagi hanya diam memerhatikan soal siasat itu. Aku tak sangka ia sudah menjadi kes jenayah. Sememangnya aku tak pernah kenal Safuan bin Hamdan ini. Dari kad pengenalan yang ditunjukkan, usianya sebaya denganku. Tapi, dari raut wajahnya, aku seperti pernah melihat wajahnya.

"Encik. Saya rasa saya kenal lelaki ini." Aku tiba-tiba bersuara. Ya. Baru aku ingat. Lelaki inilah yang mengganggu Ana beberapa bulan lalu. Dia sememangnya menaruh harapan pada Ana tetapi tidak dilayan. Aku pernah menyelamatkan Ana dari gangguan lelaki itu. Waktu itu, Ana hampir-hampir mau dinoda lelaki terbabit. Tetapi aku sampai tepat pada masanya. Tak sangka, begini akhirnya kisah hidup Ana tamat.

"Lelaki ni lah yang cuba memperkosa Ana tiga bulan lalu tetapi berjaya saya selamatkan. Saya ada menyuruh Ana membuat laporan polis. Tapi Ana tidak mau. Ana malu. Saya hanya menuruti saja. Tak sangka ia boleh berlarutan begini." Aku bersuara lagi. Menjelaskan apa yang ingin diketahui pihak polis. "Jadi, bagaimana lelaki ini tuan? Dia selamatkah?"

"Dia juga terbunuh dalam kemalangan. Dan mayatnya belum dituntut oleh sesiapa lagi setakat ini." Rakan Inspektor Kamal bersuara.

"Jadi, kalau tak apa-apa lagi, saya beransur dulu. Saya kira, kes ini sudah selesai. Terima kasih atas kerjasama kamu semua. Assalamualaikum." Inspektor Kamal bersama rakannya beredar. Aku termenung. Masih tidak percaya akan semua ini. Ia seolah-olah mimpi.

"Johan. Kamu tak apa-apa? Pakcik mau menguruskan jenazah Ana." Tuan Ali mengajak aku ke kamar mayat. Aku tidak mau. Aku katakan padanya yang aku akan menyusul di rumah saja.

'Ana, mengapa semua ini berlaku padamu? Aku rasa bersalah kerana tidak dapat menyelamatkanmu. Maafkan aku sayang.' Maafkan aku. Tak semena-mena air mata bercucuran. Sudah lama ku tahan, tapi akhirnya ia keluar jua.

Tiba-tiba terasa bahuku disapa. Lembut ku rasa sapaannya. Aku menoleh seakan tidak percaya. 'Ana. Benarkah apa yang ku lihat.' Aku bagai tidak percaya. Ana ada di hadapanku. Meremang bulu romaku. Ana mengusap lembut bahuku sambil tersenyum.

'Abang, jangan ditangisi pemergian Ana. Ana telah bebas kini. Ana rasa gembira sekali. Ana mau mengadap Tuhan. Kalau abang bersedih, Ana lebih-lebih lagi. Abang lepaskanlah Ana pergi dengan aman. Semoga abang ketemu insan yang lebih baik dari Ana. Selamat tinggal sayang.'

Aku tersedar dari mimpi. Hanya sekadar mimpi. Tapi ia cukup terkesan dalam jiwaku. Jam menunjukkan pukul dua pagi. Ana telah selamat dikebumikan siang tadi. Wajahnya begitu mendamaikan ku rasa. Bagaikan bercahaya wajahnya.

'Semoga kau tenang di sana, sayang. Aku doakan kau bahagia bersama orang-orang yang beriman di sana.' Doaku di dalam hati.

Khamis, 4 Februari 2010

Ibuku Insan Mithali

Almarhumah ibu, Siti Radiah bt Mohamed


Ibuku seorang pejuang..
walau perjuangannya tidak dilihat orang kebanyakan
tetap terkesan pada orang sekelilingnya
saat dia pergi menyahut seruan Ilahi
bagai satu kehilangan pemimpin besar di dunia

Ibuku ibu mithali
walau tak pernah menang anugerah tiap kali maal hijrah
tapi pengorbanannya begitu besar dalam keluarga
tak terlihatan tapi tetap terkesan mendalam
mendidik anak-anak menjadi insan soleh
menjadi isteri yg taat pada suami
tak pernah merintih walau bagaimana jua keadaan susah hidupnya
dialah perwira keluarga

Ibu...
pemergiannya begitu terasa
menjadi kesayuan bila terkenangkan dirimu
kesedihan ini tetap terasa
kerana anakmu belum berjasa

____
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wassalam...

Rabu, 3 Februari 2010

Bondaku Pergi Jua

Bonda...

Terasa baru semalam aku bersamamu

Menghirup teh panas di beranda rumah

Bersama adinda dan ayahanda

Di satu petang senja nan merah


Bonda...

Masihku ingat di waktu kecilku

Kau belai daku penuh manja sekali

Memeluk tubuhku penuh kasih sayangmu

Mengajarkan ku ilmu sifir matematik

Mengajarku mengenal huruf rumi dan jawi

Agar aku menjadi anak pintar sekali


Bonda...

Saatku sedang membesar remaja

Kau ajarkanku kalimah suci

Kau berikanku sinar cahaya iman

Penyuluh jalan-jalan kegelapan

Memanduku ke arah kebenaran


Tapi kini...

Bondaku pergi menghadap ilahi

Tanggal 24 Januari 2010

Kau pergi kembali ke pangkuan Allah

Terasa belum puas ku dakap wajahmu

Belum sempat untuk ku berbakti denganmu

Masih lagi aku tidak sempat memohon ampun padamu

Sungguh aku banyak dosa denganmu

Sungguh ku rasa bersalah


Oh Tuhan...

Cucurilah rahmat dan kasih sayangmu

Payunglah bondaku di sana dengan payungan emas berkilauan

Sebagai hadiah atas jasanya di dunia

Berbakti sebagai bonda mithali

Dan menjadi kesenangan manusia di sekelilingnya



Sajak ini ku dedikasikan untuk almarhumah bondaku Siti Radiah bt Mohamed. Semoga ruhnya tenang di alam barzakh sana dan ditempatkan dikalangan orang-orang solehah.



Oleh : Johaneyz

3 Februari 2010, 17:18