Cari Blog Ini

Jumaat, 10 Januari 2014

PERCUKAIAN DALAM ISLAM : ADAKAH MUSLIM TURUT DIKENAKAN CUKAI???

Di dalam keghairahan kerajaan serta segelintir golongan agamawan dan intelektual yang menyokongnya, membahaskan tentang kebolehan dan kebaikan cukai, mereka sering mengetengahkan dalil mengenai tindakan Saidina Umara l-Khattab r.a yang dikatakan mengenakan cukai, bagi ‘menghalalkan’ apa jua cukai yang dikenakan ke atas rakyat marhaen. Oleh kerana hal ini dikemukakan oleh golongan agamawan dan para intelektual yang ada nama yang juga berkelulusan tinggi, maka tidak sikit bahkan ramai di kalangan umat Islam yang mempercayai hujah mereka tanpa melakukan penyelidikan yang lebih terperinci sebelum menerima hujah tersebut. Moga artikel ini sedikit sebanyak dapat merungkai dan memberikan sedikit pencerahan kepada khalayak umum tentang perkara ini.

Keharaman Cukai (Maks/ Usyur)
Sebenarnya, banyak hadith yang membicarakan tentang keharaman cukai. Antaranya adalah hadith yang diriwayatkan oleh Ad-Darimiy, Ahmad dan Abu Ubaidah, dari Uqbah bin Amir, bahawa dia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Tidak akan masuk syurga orang yang memungut cukai.” Abu Muhammad mengatakan bahawa yang dimaksudkan dalam hadith tersebut adalah Asyar. Asyar atau Asyir adalah orang yang memungut 1/10 (10%) dari barang/komoditi yang dibawa dari luar negara. Muslim bin Musbih r.a. menuturkan bahawa dia pernah bertanya kepada Ibnu Umar r.a, “Apakah anda pernah mengetahui bahawa Umar r.a pernah mengambil usyur dari kaum Muslimin?” Ibnu Umar menjawab, “Tidak. Aku tidak pernah mengetahuinya.
Ibrahim bin Muhajir berkata, “Aku pernah mendengar Ziyad bin Hudair r.a berkata, ‘Sesungguhnya akulah orang pertama yang memungut usyur dalam Islam.’ Lalu aku bertanya, ‘Siapakah yang kalian kenakan usyur tersebut?’ Lalu dia menjawab, ‘Aku tidak mengenakan usyur ke atas seorang Muslim dan mu’ahid pun.’ Aku bertanya lagi, ‘Lalu kepada siapa yang engkau kenakan usyur?’ Dia menjawab, ‘Pedagang-pedagang ahlul harb (kafir harbi) sebagaimana mereka mengenakan usyur atas kita jika kita mendatangi (masuk ke wilayah)mereka.’
Ya’qub bin Abdurrahman Al-Qariyyi dari bapanya berkata, Umar bin Abdul Aziz pernah menulis surat kepada Adi bin Arthah, “Hilangkan dari manusia beban fidyah, hilangkan dari manusia beban hidangan dan hilangkan juga dari manusia beban cukai, kerana ia bukan sahaja cukai tetapi merupakan bukhsi (pengurangan) sebagaimana yang dinyatakan Allah, “Janganlah kalian mengurangkan (tabkhasu) bagi manusia hak-hak mereka dan janganlah kalian membuat kejahatan di muka bumi dengan membuat kerosakan.” [Surah Hud : 85]. Kerana itu, siapa sahaja yang memberikanmu sedekah, maka terimalah dan siapa sahaja yang tidak memberikannya kepadamu, maka Allah lah yang Maha Mencukupi.” Quraiz bin Sulaiman juga berkata, “Umar bin Abdul Aziz pernah menulis surat kepada Abdullah bin Auf al-Qariyyi yang mengatakan, ‘Pergilah ke suatu rumah yang ada di Rafah yang dipanggil sebagai baitul maks (rumah cukai), hancurkan rumah tersebut dan bawalah ke laut, campakkannya dan jangan ditinggalkan sedikit pun (sisanya).’
Kelima-lima atsar di atas diriwayatkan oleh Abu Ubaid di dalam kitab al-Amwal. Abu Ubaid berkomentar, “Makna hadith-hadith yang kami sebutkan yang di dalamnya terdapat orang yang memungut cukai, dibencinya cukai dan tindakan tersebut dianggap salah, kerana asal kewujudannya (cukai) itu adalah di zaman Jahiliyyah. Hal itu (pemungutan cukai) banyak dilakukan oleh segenap raja-raja Arab an non-Arab. Praktik mereka adalah memungut 1/10 dari harta para pedagang jik mereka bertemu dengannya. Kemudian hal itu dijelaskan oleh surat-surat Nabi SAW kepada penduduk kota-kota seperti  Tsaqif, Bahrain, Dumatul Jandal dan sebagainya yang telah memeluk Islam, di mana Rasulullah SAW bersabda, “Mereka tidak boleh dipaksa dan tidak boleh dipungut usyur.
Dengan demikian, kita memahami bahawa praktik tersebut (memungut cukai) terjadi sewaktu zaman Jahiliyah dan hadith-hadith yang membahaskan tentang masalah ini sangat banyak. Kemudian Allah SWT membatilkan praktik ini dengan kehadiran RasulNya dan Islam. Hadith yang diriwayatkan dari Rasulullah SAW serta atsar yang diriwayatkan kedua-dua Umar r.a di atas menunjukkan bahawa cukai tidak boleh (haram) hukumnya dipungut dari perniagaan orang-orang Islam dan ahlu zimmah walau sekecil mana pun, termasuklah komoditi yang diimport ke dalam negara Islam dan komoditi yang dieksport ke negara kafir (Darul Kufur). Hal itu telah dipraktikkan oleh Khalifah Umara l-Khattab r.a di mana beliau tidak memungut cukai sedikit pun dari pedagang Muslim dan ahlu zimmah. Tindakan Khalifah Umar ini didiamkan oleh para sahabat yang dengannya menjadi ijma’ sukuti (kesepakatan yang didiamkan)dan merupakan dalil syariah kepada kita semua.
Perlu difahami bahawa cukai(maks) adalah harta yang diambil dari komoditi yang melewati perbatasan negara, tidak kira sama ada keluar atau masuk menerusi sempadan negara. Rumah (bangunan) yang didirikan di perbatasan negara tersebut adalah baitul maks (rumah cukai – kastam pada masa kini). Cukai dari komoditi tersebut adalah berupa wang yang dipungut dari penjual di pasar-pasar atau item tertentu yang diambil oleh para pegawai negara dari penjualan komoditi-komoditi tertentu atau semasa komoditi tersebut memasuki kota. Bentuk jamak dari perkataan maks adalah mukus. Dalam bahasa Arab disebut makasa yang bermaksud jaba mal al-maksi (memungut cukai). Jadi maks bermaksud levi yang dikenakan ke atas barang perdagangan. Pengharaman terhadap aktiviti percukaian di dalam Islam adalah umum yang merangkumi umat Islam dan juga ahlu zimmah (orang kafir yang menjadi warganegara Khilafah).

Hujah Orang yang Membenarkan Cukai
Ada pihak yang berhujah bahawa boleh mengenakan cukai ke atas kafir zimmi atau kafir harbi secara mutlak berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Ubaid. Memang ada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Ubaid di dalam kitabnya al-Amwal. Hadith tersebut berbunyi, dari Harb al-Tsaqafi dari datuknya (yakni ayah ibunya) dari Nabi SAW bahawa baginda bersabda, “Tidaklah wajib atas kaum Muslimin usyur. Usyur hanyalah kewajipan atas orang-orang Yahudi dan Nasrani.” [HR Abu Ubaid]. Sesungguhnya hadith ini melalui diriwayatkan melalui tiga jalur. Di antaranya ada dua jalur yang diriwayatkan dari orang yang majhul (tidak dikenali/ tidak jelas). Satu jalur adalah riwayat dari Harb bin Abdullah al-Tsaqafi yang telah meriwayatkan hadith tersebut dari datuknya sedangkan di sana para perawi hadith tersebut tidak pernah mengatakan apa-apa. Mereka diam terhadap masalah tersebut.
Selain itu, hadith tersebut tidak diambil oleh seorang yang mujtahid pun. Tidak ada seorang pun dari mereka yang menggunakannya sebagai dalil baik dari pihak yang mengatakan ketidakbolehan mengambil pungutan tersebut mahupun dari pihak yang mengatakan kewajipan mengutip cukai 1/40 dari komoditi ahlu zimmah sebagai polisi politik. Sekiranya hadith tersebut benar menurut mereka sudah pasti mereka akan menggunakannya dan memakai hadith tersebut sebagai dalil. Dalam hal ini tiada seorang pun yang menyatakan kesahihan hadith tersebut.
Walaupun nas-nas di atas sangat jelas mengharamkan maks (cukai) ke atas muslim dan ahlu zimmah, namun ada pihak yang dengan beraninya berhujah bahawa cukai boleh dikenakan ke atas Muslim dan ahlu zimmah. Antara hujah yang paling banyak digunakan oleh mereka adalah tindakan Khalifah Umara l-Khattab yang mengenakan cukai ke atas Muslim dan non-Muslim. Mereka berhujah bahawa Umar r.a pernah mengenakan cukai sebanyak 1/40 terhadap komoditi Muslim, 1/20 dari komoditi ahlu zimmah dan 1/10 dari komoditi kafir harb.

Merungkai Kekeliruan Mengenai Umar al-Khattab ra.
Mengenai riwayat yang mengatakan bahawa Khalifah Umar r.a mengenakan usyur 1/40 ke atas Muslim, 1/20 ke atas ahlu zimmah dan 1/40 ke atas kafir harbi, hal ini perlu difahami dengan benar kerana ia ada kaitan dengan hukum perdagangan yang dijalankan oleh Muslim dan dan hubungannya dengan ahlu zimmah dan kafir harbi. Mengenai cukai yang dikenakan ke atas Muslim dan ahlu zimmah, telah jelas dan terang akan nas-nas dan dalil yang terdapat di dalam al-Quran serta al-Hadith tentang pengharamannya. Dan jika kita memiliki akal fikiran yang waras, tidak mungkin seorang khalifah yang juga sahabat nabi SAW akan melakukan perkara yang diharamkan Allah dan RasulNya. Sementelah beliau adalah sahabat yang telah dijanjikan syurga oleh Allah melalui Baginda Rasulullah SAW. Dan juga tidak mungkin para sahabat yang berada di sekelilingnya akan membiarkan jika Umar melakukan perkara yang ditegah dan dilarang dalam Islam.
Sebenarnya, apa yang dikenakan oleh Khalifah Umar r.a ke atas umat Muslim itu adalah merupakan zakat yang wajib dikeluarkan ke atas setiap harta/komoditi perniagaan yang dijalankan. Dan apa yang diambil dari kafir harbi itu adalah suatu keharusan yang tidak dimestikan selayaknya sebagaimana yang kerajaan mereka kenakan ke atas barang dagangan umat Muslim jika melalui perbatasan mereka. Juga mengenai hal yang sama dilakukan ke atas ahlu zimmah pula tidak lain hanyalah sebahagian dari persetujuan dalam perjanjian damai yang perlu mereka berikan mengikut terma perjanjian yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Atau lebih tepat lagi yang dikatakan oleh mereka yang menyokong percukaian ke atas ahlu zimmah itu sebenarnya adalah kadar jizyah yang telah ditetapkan dan semestinya dibenarkan oleh syarak selama mana mereka tidak melanggari terma perjanjian damai tersebut.
Abu Ubaid menjelaskan dalam kitabnya, “Apa yang aku sukar fahami adalah berkaitan pungutan 1/20 oleh Umar ke atas ahlu zimmah. Jadi aku katakan bahawa mereka itu bukan Islam, kerana di dalam Islam, jika mereka adalah orang Islam, sudah tentu boleh dipungut sedekah (zakat). Mereka juga bukan penduduk Darul Kufur yang membolehkan kita pungut dari mereka jumlah yang sepadan sebagaimana yang mereka pungut dari kita. Jadi aku tidak tahu (harta) apakah itu sehingga aku mengkaji hadithnya, barulah aku mendapati bahawa beliau (Umar) sebenarnya telah memeterai perjanjian damai dengan mereka atas syarat ini (iaitu untuk mereka membayar 1/20 usyur) sebagai tambahan kepada jizyah juga kharaj atas tanah-tanah yang ada.”
Itu berkaitan dengan pedagang Muslim atau ahlu zimmah. Adapun yang berkaitan dengan pedagang kafir mu’ahid (kafir dari negara kufur yang ada perjanjian dengan negara Khilafah), maka boleh dipungut harta sesuai dengan apa yang dinyatakan dalam perjanjian antara kita dan mereka. Jika perjanjian tersebut membebaskan mu’ahid dari usyur masuk, maka mu’ahid berkenaan tidak perlu membayar apa-apa. Jika naskhah perjanjian menyataka jumlah tertentu (yang perlu dibayar) maka jumlah tersebut hendaklah dipungut dari mereka. Jadi kesimpulannya, pedagang kafir mu’ahid dikenakan usyur sesuai dengan apa yang dinyatakan oleh naskhah perjanjian yang dimeterai oleh Darul Islam dan Darul Kufur yang menjadi tempat tinggal mereka.
Ada pun ketentuan bagi pedagang kafir harbi sebenarnya, kita akan memungut usyur masuk daripada pedagang tersebut sesuai dengan apa yang dipungut daripada pedagang kita di negaranya. Jadi, jika ada seorang pedagang kafir harbi masuk ke negara kita dengan izin masuk khusus (pasport atau visa) maka kita memungut usyur sebanyak mana yang mereka pungut dari pedagang negara Islam (baik pedagang itu Muslim atau ahlu zimmah).
Hal ini bersandarkan riwayat dari Abu Mujlis Lahiq bin Humaid yang mengatakan, ‘Mereka bertanya kepada Umar, “Bagaimana kita harus memungut dari ahlu harbi (warganegara Darul Kufur) jika mereka memasuki wilayah kita?” Umar menjawab, “Bagaimana mereka memungut dari kalian jika kalian memasuki wilayah mereka?” Mereka menjawab, “(Mereka memungut usyur )1/10.” Lalu Umar pun berkata, “Kalau begitu, sebesar itu pula kalian memungut dari mereka.” [Hadith ini disebut oleh Ibnu Qudamah
Sumber : Sautun Nahdhah Bil: SN372, 3 Safar 1435H/ 6 Disember 2013, bertajuk "Benarkah Umar al-Khattab Mengenakan Cukai ke Atas Rakyat."
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wassalam...