Cari Blog Ini

Selasa, 21 Jun 2011

Alexander Zulqarnain?

Setelah Penaklukan India dan Kemangkatan

Apabila mendapat tahu akan kelakuan tidak senonoh dilakukan oleh sebilangan gabenor dan askarnya sewaktu dalam perjalanan ke Susa, Alexander menghukum sebahagian mereka dengan hukuman mati. Ini adala sebagai pengajaran kepada yang lain agar tidak mengulangi kesilapan ini. Dan sebagai menghargai jasa para perajurit yang berjuang bersama-samanya, Alexander membayar hutang- hutang mereka dan mengumumkan bahawa mereka-mereka yang telah tua serta yang hilang keupayaan akan dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing. Mereka ini akan dibawa oleh Craterus. Walau bagaimanapun, mereka telah tersalah anggap akan tujuan Alexander ini. Mereka terus mengkritik tentang penyerapan budaya Parsi yang digunapakai Alexander dan langkah Alexander menyerap masuk pegawai-pegawai dan askar-askar Parsi ke dalam unit- unit Macedonia. Mereka terus mengadakan demonstrasi di bandar Opis selama tiga hari. Alexander gagal dalam usahanya memujuk para tentera yang berdemonstrasi itu.

Akhirnya, melihatkan kedegilan tentera Macedonia itu, Alexander menyerahkan tugas- tugas tentera Macedonia kepada tentera Parsinya. Ada juga sumber mengatakan bahawa ketua pemberontakan(demonstrasi) itu dihukum bunuh oleh Alexander. Melihatkan keadaan ini, tentera Macedonia yang berdemonstrasi memohon maaf dan mereka diampunkan. Petangnya, Alexander mengadakan perhimpunan secara besar-besaran dan dihadiri oleh ribuan askarnya di mana mereka makan bersama-sama.
Demi mewujudkan keharmonian berkekalan sesama askarnya yang berbillang bangsa, Alexander mengadakan perkahwinan beramai-ramai antara pegawai tingginya dengan wanita-wanita bangsawan Parsi. Pun begitu, tidak banyak dari perkahwinan itu dapat berlanjutan melebihi setahun. Alexander juga mencuba untuk memasukkan elemen-elemen Parsi dalam tentera Greeknya termasuklah melatih sepasukan rejimen Parsi dalam cara orang Macedonia.

Sementara itu, sewaktu Alexander kepulangannya, beliau mendapat tahu beberapa orang askarnya telah memecah masuk makam Cyrus The Great. Alexander menghukum mereka dengan memenggal kepala mereka kerana mereka cuma ditugaskan untuk menjaga makam tersebut, bukan menggeledahnya.
Selepas perjalanannya ke Ectabana untuk megambil harta karun tinggalan kerajaan Parsi di sana, Hephaestion, temannya paling rapat atau mungkin juga kekasihnya mati kerana sakit atau mungkin juga akibat diracun. Arrian melaporkan bahawa Alexander cukup terkesan dan menunjukkan kesedihannya yang teramat. Lalu, Alexander mengadakan upacara pengkebumian yang mahal untuknya dengan dihadiri oleh rakyat jelata. Upacara ini berlangsung di Babylon.

Setelah itu, Alexander merancang untuk menjelajah pelosok tanah Arab. Pun begitu, beliau gering lalu mangkat lantas tidak dapat meneruskan cita-cita tersebut. Kematiannya pada 10 atau 11 Jun 323 SM di istana Nebuchadnezzar II di Babylon pada usia yang muda iaitu tiga puluh dua tahun.

Kematiannya menimbulkan banyak spekulasi. Menurut sumber Plutarch, lebih kurang 14 hari sebelum kemangkatannya, Alexander pergi menghiburkan Laksamana Nearchus. Beliau meluangkan malam dan keesokan harinya meminum arak bersama Medius dari Larissa. Beliau mengalami demam yang kemudiannya bertambah teruk sehingga tidak dapat bercakap. Tenteranya begitu risau akan kesihatannya. Atas desakan dan keizinan Alexander, mereka meracunnya. Dua hari berikutnya, Alexander pun mangkat.

Diodorus pula melaporkan bahawa Alexander mengalami sakit kuat akibat meminum begitu banyak arak bagi menghormati Hercules. Setelah itu Alexander mati dengan dahsyat sebagaimana yang dilaporkan oleh Arrian. Pun begitu, Plutrach menafikannya.

Kesemua sumber Plutarch, Diodorus, Arrian dan Justin menunjukkan kesepakatan bahawa Alexander mati akibat diracun. Ini berikutan pembunuhan aristokrat Macedonia, dan perlakuan salah yang dilakukan Alexander sepanjang beliau memerintah. Ada bukti mengaitkan Antipater sebagai perancang pembunuhan Alexander. Ini kerana beliau digugurkan dari menjadi orang penting kerajaan Macedonia. Tidak dilupakan, ibunya, Olympias turut dikaitkan dengan komplot pembunuhannya. Mengambil kira kedudukan Alexander di Babylon, dan memikirkan nasib yang menimpa Parmenion dan Philotas, Antipater merancang untuk meracun Alexander melalui budak suruhan yang menghidangkan wine, Iollas. Ada juga pendapat mengatakan bahawa Aristotle terlibat dalam komplot terbabit. Namun ia masih tidak dapat dibuktikan. Sebaliknya, ada percanggahan pendapat mengenai komplot racun tersebut di mana ia menyatakan bahawa, di zaman itu, tempoh 12 hari terlalu lama untuk racun tersebut berkesan, malah racun jenis itu mungkin tidak akan didapati di zaman itu. Walau bagaimanapun, pada tahun 2010, muncul teori baru mengatakan bahawa kematian Alexander mungkin disebabkan air beracun dari Sungai Styx yang mengandungi calicheamicin, kompaun berbahaya yang dihasilkan oleh bakteria yang wujud di dalam air.

Penyakit disebabkan oleh persekitaran seperti demam malaria atau demam typhoi juga dikatakan penyebab kematian Alexander. Dalam satu artikel yang dikeluarkan oleh New England Journal of Medicine pada tahun 1998 menyatakan;
attributed his death to typhoid fever complicated by bowel perforation and ascending paralysis, whereas another recent analysis has suggested pyrogenic spondylitis or meningitis as the cause.”

Sakit lain juga boleh menjadi penyebab kematiannya seperti acute pancreatitis atau virus West Nile. Teori alam juga boleh mengaitkan tentang kesihatan Alexander semakin menurun disebabkan oleh kempen perangnya yang terlalu lama, di samping  ketagihan alkohol dan kecederaan yang dialami termasuk satu kecederaan yang dialami dalam kempen peperangan di India yang mengancam nyawanya. Selain itu, kekecewaan yang ditanggung setelah kematian Hephaestion turut menyumbang kepada kematiannya. Kemungkinan lain juga mungkin disebabkan oleh pengambilan berlebihan ubat-ubatan yang mengandungi hellebore yang mana boleh mengakibatkan kematian jika diambil secara berlebihan.


Batu Babylonian astronomical mencatatkan kematian Alexander


Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wassalam...

Alexander Zulqarnain?

Penaklukan Ke Atas India

Silver 'victory coin' ditempa pada 322 SM setelah berlakunya perang Hydapes
Atas: Alexander memperoleh mahkota dari dewa Nike
Bawah: Alexander menyerang Porus di atas gajahnya

Setelah kematian Spitamenes dan perkahwinannya dengan Roxana (Roshanak dalam bahasa Bactria), Alexander berlapang dada untuk mengalihkan perhatiannya ke atas India. Ini adalah bagi tujuan mengeratkan hubungannya dengan satrap (gabenor) yang mewakilinya di Asia Tengah. Alexander menjemput seluruh gabenor-gabenor bagi kerajaan Gahndara(kini sebahagain wilayah Pakistan) bagi menyerahkan wilayah mereka kepadanya.

Maharaja Ambhi (Omphis dalam bahasa Greek), penguasa bagi kerajaan Taxila(wilayah ini terbentang dari lembah Indus ke lembah Hydapes) menyerahkan kotanya tanpa pertumpahan darah. Pun begitu, sebahagian ketua puak gunung/ bukit tidak mahu menyerahkan kawasan mereka kepada Alexander. Ini termasuklah puak Aspasioi dan Assakenoi di wilayah Kambojas (dalam teks India disebut sebagai Ashvayanas dan Ashvakayanas).

Pada musim sejuk 327/326 SM, Alexander mengetuai sendiri peperangan menentang puak yang memberontak ini; puak Aspasioi lembah Kunar, puak Guraea lembah Guraeus, dan puak Assakenoi lembah Sawt dan Buner. Dalam pertemburan yang dahsyat itu, Alexander memenangi pertempuran melawan puak Aspasioi dengan mendapat luka yang parah akibat dipanah di bahu.

Setela it, Alexander mara bagi menghadapi puak Assakenoi. Puak ini memberi tentangan yang sengit di kubu pertahanan mereka di Massaga, Ora dan Aornos. Kubu Massaga tidak dapat ditawan dalam masa yang singkat. Beberapa hari pertempuran berlangsung hingga memakan korban yang tinggi. Alexander sendiri mendapat kecederaan yang serius dalam pertempuran ini. Menurut sumber Curtius, “Alexander bukan sahaja menyembelih keseluruhan populasi Massaga, malah beberapa bangunannya juga menjadi mangsa apabila turut dirobohkan.” Kejadian yang sama turut menimpa Ora, satu lagi kubu kuat pak Assakenoi. Ramai perajurit- perajurit Assakenoi yang terselamat berundur ke benteng mereka yang terakhir, Aornos. Alexander mengekori rapat puak Assakenoi ini dan berjaya mengalahkan mereka dalam pertempuran berdarah yang berlangsung selama empat hari.

Setelah berjaya menawan kubu Aornos yang strategik di atas bukit, Alexander meneruskan siri jelajahnya dengan menyeberangi Sungai Indus. Di seberangnya terdapat satu wilayah yang subur iaitu negeri Punjab yang diperintah oleh Porus. Dalam ‘Pertempuran Hydapes’ pada tahun 326 SM, Porus memberikan tentangan yang sengit sehingga kuda perang Alexander, Buchepalas mati dalam pertempuran tersebut. Pun begitu, Alexander tetap memenangi pertempuran tersebut. Ini membuatkan Alexander kagum dengan keberanian Porus. Atas sebab itu, Alexander menganugerahkan Porus kekuasaan ke atas wilayahnya sendiri dengan melantik beliau sebagai gabenor bagi wilayah Punjab dan beberapa kawasan yang beliau tidak miliki sebelumnya. Alasan sebenar Alexander berbuat demikian adalah disebabkan oleh politik. Disebabkan jajahannya terlal besar, beliau perlu melantik seseorang yang terbaik untuk dijadikan gabenor di wilayah India. Dan Porus adalah orang yang sesuai. Kemudian Alexander menamakan satu dari dua buah bandar iaitu bandar yang terletak berhadapan dengan Sungai Hydapes sebagai ‘Buchepala’ sebagai menghormati kuda tersebut yang berjasa membawanya sampai ke India sehingga terkorban dalam ‘Pertempuran Hydapes’. Satu lagi bandar adalah Nicaea (Kemenagan), kini dikenali sebagai Mong.

Di Timur kerajaan Porus, berdekatan dengan Sungai Gangga, terdapat sebuah lagi kerajaan Dinasti Nanda, sebahagian dari kerajaan Maghada dan Empayar Gangaridai di Bengal. Disebabkan rasa takut akan prospek untuk mengadapi sebuah lagi kerajaan India yang kuat, juga disebabkan keletihan kempen penaklukan yang panjang, tentera Alexander memberontak tidak mahu meneruskan perjalanan ke timur. Lagi pula, sungai itu memanjang dan terlalu jauh ke timur. Lagi pun, akibat dari pertempuran yang dahsyat dengan Porus mengurangkan keberanian dan semangat mereka untuk terus tinggal di India.

Dengan kekuatan tentera yang serba kekurangan, iaitu seramai dua puluh ribu askar infantri, dua ribu tentera berkuda, mereka menentang Alexander yang menyuruh mereka untuk menyeberangi Sungai Gangga yang lebar dan dalam itu. Dan juga kekuatan musuh yang menggerunkan dengan tentera gajah dan berkuda yang siap menunggu mereka di seberang sana. Ia mengecutkan perut mereka. Selain itu, mereka mendengar khabar angin yang mengatakan bahawa raja Gangerta dan Praesii menunggu mereka dengan kekuatan tentera sebanyak lapan puluh ribu tentera berkuda, dua ratus ribu tentera berjalan kaki, lapan ribu askar pemanah dan enam ribu gajah perang. Suatu angka yang cukup menggerunkan sesiapa saja.

Alexander bercakap dan cuba meyakinkan tenteranya untuk mara. Pun begitu, Coenus menasihat dan merayu kepadanya agar membatalkan hasrat itu dan berundur. Dia berkata, “Mereka mahu pulang ke tanah air, berjumpa ibu bapa, isteri dan anak mereka.”

Alexander melihat pada ketidakmahuan setiap anak buahnya untuk berperang lagi. Beliau mengubah keputusan untuk berundur dan menuju ke selatan, berjalan di sepanjang Sungai Indus. Mereka berjaya menawan puak Malli(di moden Multan) dan beberapa lagi puak India sepanjang perjalanan mereka.

Alexander mengarahkan generalnya Craterus dan sebahagian besar tentera ke Carmania(di selatan Iran kini) dan memerintahkan juga seangkatan armada laut di bawah Laksamana Nearchus menakluki persisir Teluk Parsi. Sementara itu beliau mengetuai tentera selebihnya menuju ke selatan yang penuh cabaran melalui Gedrosia(moden Makran, selatan Pakistan) untuk kembali semula ke Parsi. Alexander sampai di Susa pada tahun 324 SM. Pun begitu, beliau kehilangan ramai tenteranya kerana keadaan padang pasir yang teruk dan sukar dilalui.



Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wassalam...

Khamis, 16 Jun 2011

Alexander Zulqarnain? bah.4

Kempen Penaklukan ke Atas Parsi    Episod 2

Duit syiling perak Alexander
Setelah menelusuri Babylon, Alexander meneruskan perjalanan ke Susa. Susa merupakan salah satu ibu kota kerajaan Achaemenid Parsi. Di Susa, Alexander menawan segala perbendaharaannya. Alexander mengerahkan sebahagian besar angkatan perangnya menuju ke Persepolis yang merupakan ibu kota pentadbiran Parsi melalui ‘jalan diraja’. Alexander mengerahkan sebahagian pasukan terpilih untuk meneruskan kemaraan ke Persepolis sementara dia dan beberapa lagi pasukan tenteranya menghadapi tentera Parsi yang diketua oleh Ariobarzanes di ‘Gerbang Parsi’. Alexander berjaya mengalahkan pasukan pertahanan Persepolis tersebut dan berjaya merampas perbendaharaannya. Beliau menduduki Persepolis selama lima bulan. Selama lima bulan tersebut, terjadi suatu kebakaran di bahagian timur Istana Xerxes. Tidak dapat dipastikan sama ada kebakaran itu disengajakan ataupun tidak. Ada teori mengatakan bahawa kebakaran itu disengajakan kerana membalas dendam di atas kebakaran Akropolis Athens dalam Perang Parsi Kedua. Buku Arda Wiraz yang merupakan karya Zoroaster yang disusun pada abad ke-3 atau ke-4, juga menggambarkan arkib-arkib yang mengandungi "semua Avesta dan Zand yang ditulis di atas kulit-kulit lembu, dan dengan dakwat emas" telah dimusnahkan; bagaimanapun, kenyataan ini sering diterima oleh para cendekiawan dengan sedikit skeptisisme, kerana secara amnya, Avesta telah dianggap selama berabad-abad bahawa ia diturunkan secara lisan oleh puak Magi.

Alexander kemudiannya bersiap sedia untuk meneruskan pemburuan ke atas Darius semula. Mulanya beliau menuju ke Media kemudian ke Parthia. Pada waktu itu, Darius telah diculik oleh Bessus yang mengkhianatinya dan kemudian dibunuhnya. Setelah membunuh Darius, Bessus mengisytiharkan dirinya sebagai pengganti Darius dengan memakai gelaran Artaxerxes V dan meneruskan kempen gerilanya ke atas Alexander di Asia Tengah. Dengan kemangkatan Darius ini, Alexander menamatkan misi membalas dendamnya ke atas Parsi dan membiarkan Darius disemadikan bersama-sama para pemerintah dinasti Achaemenid dengan upacara penuh hormat. Beliau menyatakan di mana Darius sewaktu saat kematiannya menyatakan Alexander sebagai penerus kegemilangan dinasti Achaemenid. Dengan kemangkatan Darius ini juga, beerti dinasti Achaemenid telah pun berkubur.

Dengan kematian Darius, Alexander mengisytiharkan penamatan perang balas dendam, dan melepaskan sekutu-sekutunya daripada perkhidmatan dalam kempen Liga. Bagaimanapun, sesiapa yang ingin berkhidmat semula sebagai askar upahan dalam angkatan tentera maharajanya akan dibenarkan.

Langkah seterusnya, Alexander memulakan kempen untuk memburu Bessus yang merupakan halangan terakhir dari saki baki pemerintahan Parsi yang ada. Selama tiga tahun kempen memburu Bessus ini membawa Alexander untuk menjelajah ke seluruh pelosok Asia Tengah dan membawanya merentasi Media, Parthia, Aria (Afghanistan Barat), Drangiana, Arachosia (Afghanistan Tengah dan Selatan), Bactria (Afghanistan Utara dan Tengah), dan Scythia. Dan selama itu juga, Alexander menemukan kota-kota baru yang diberi nama Alexandria termasuk moden Kandahar di Afghanistan kini dan juga Alexandria Eschate (Alexandria paling jauh) yang kini terletak di Lembah Ferghana, Tajikistan moden.


Pada tahun 329 SM, Bessus dikhianati oleh rakan pelindungnya sendiri, Spitamenes, Satrap of Sogdiana yang kemudiannya menyerahkan Bessus kepada Ptolemy, salah seorang komander kepercayaan Alexander. Setelah itu, Bessus dibunuh. Sewaktu Alexander melakukan penyerbuan ke atas Jaxartes menggunakan tentera berkuda, Spitamenes melancarkan pemberontakan Sogdiana. Alexander berjaya mengalahkan tentera Scythia itu dalam ‘Peperangan Jaxartes’ dan dengan pantas melakukan kempen menghapuskan penentangan Spitamenes. Dalam ‘Perang Gabai’ Alexander berjaya menewaskan Spitamenes. Setelah mengalami kekalahan dalam ‘Peperangan Gabai’, Spitamenes dikhianati oleh orangnya sendiri yang setelah itu mengusulkan perdamaian dengan Alexander.

Adat 'proskinesis' yang diamalkan 
budaya Parsi
Setelah itu, Alexander mengamalkan beberapa unsur pakaian dan adat resam Parsi di dalam istananya, terutamanya adat proskinesis, iaitu ciuman tangan yang orang Parsi berikan kepada orang atasan sebagai simbol rasa hormat, tetapi amalan itu tidak disetujui oleh orang Yunani. Orang-orang Yunani menganggap bahawa perbuatan itu hanya dikhaskan untuk dewa-dewa, dan percaya bahawa Iskandar bermaksud hendak menjadikan dirinya sebagai dewa. Ini menyebabkan baginda bukan sahaja kehilangan sebahagian besar sokongan daripada teman-teman senegerinya, tetapi juga menyebabkan komplot terhadap nyawanya. Philotas, seorang teman pasukan askar berkudanya, dihukum mati atas tuduhan penderhakaan kerana tidak sengaja telah gagal menarik perhatian Iskandar terhadap komplot itu. Parmenion, ayahanda Philotas yang merupakan ketua angkatan tentera di Ecbatana, dibunuh atas perintah Iskandar kerana baginda bimbang bahawa Parmenion mungkin akan membalas dendam terhadap kematian anaknya.

Setelah itu, kebanyakan orang memperkatakan tentang penderhakaan terhadap Alexander dan ramai juga dari kalangan mereka dihukum mati. Clietus, yang pernah menyelamatkan Alexander di Granicus turut menjadi korban. Beliau dibunuh Alexander di Maracanda akibat sedikit perselisihan ketika mabuk.

Kemudian, sewaktu kempen penaklukan di Asia Tengah, komplot pembunuhan kedua terhadap Alexander tercetus. Kali ini, Callisthenes of Olynthus pula menjadi dalangnya. Callisthenes merupakan pembantu peribadi Alexander yang juga salah seorang ahli sejarah yang menentang penggunaan proskinesis. Callisthenes ada menulis sedikit sejarah mengenai Alexander dan karya-karyanya dikenali dengan pseudo-Callisthenes. Callisthenes banyak menceritakan mengenai pengalaman-pengalaman kempen penaklukan Alexander sebelum kematiannya. Kebanyakan ahli sejarah berpendapat bahawa Callisthenes tidak terlibat dalam komplot membunuh Alexander ini yang sebenarnya direkayasa. Pun begitu, terdapat bukti mengatakan bahawa Callisthenes yang merupakan guru kepada budak suruhan Alexander pasti akan menyuruh mereka membunuh maharaja mereka.


Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wassalam...

Selasa, 14 Jun 2011

Zulqarnain Qurani

Di sini aku selitkan sedikit berkenaan tentang Zulqarnain dan ayat Quran dari surah Al-Kahfi, iaitu ayat di mana Nabi Muhammad SAW diminta oleh arab Quraisy bercerita tentang seseorang yang mengembara ke timur dan barat. Lalu Allah mengutuskan wahyu ini sebagai jawapan kepada persoalan mereka dan menjawab beberapa pertuduhan dari Yahudi yang mengatakan baginda adalah nabi palsu.




Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: "Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya"

Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya.

 
Lalu ia menurut jalan (yang menyampaikan maksudnya).


Sehingga apabila ia sampai ke daerah matahari terbenam, ia mendapatinya terbenam di sebuah matair yang hitam berlumpur, dan ia dapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar). Kami berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya): "Wahai Zulkarnain! Pilihlah sama ada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka".
 
Ia berkata: "Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya; kemudian ia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya. 


Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya; dan kami akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati".


Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain.


Sehingga apabila ia sampai di daerah matahari terbit, ia mendapatinya terbit kepada suatu kaum yang kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya. 

Demikianlah halnya; dan sesungguhnya Kami mengetahui secara meliputi akan segala yang ada padanya.

kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain.


Sehingga apabila ia sampai di antara dua gunung, ia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan.


Mereka berkata: "wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?"


Dia menjawab: "(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh. 

Bawalah kepadaku ketul-ketul besi"; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, ddia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: "Tiuplah dengan alat-alat kamu" sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: "Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya".


Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya. 



(Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: "Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar". 



Maka, inilah adalah sebahagian dari tujuan beberapa artikel mengenai Alexander diutarakan. Walau siapa pun dia Zulqarnain yang disebut di dalam Al-Quran, ia menunjukkan kepada kita bahawa Al-Quran tidak pernah sama sekali menciplak mana-mana karya Yunani dari barat seperti mana yang dididakwakan oleh para orientalis. Jadi, sama-samalah kita menghayati isi kandungan Al-Quran untuk diaplikasikan dalam kehidupan harian kita. Insyaallah.

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wassalam...

Alexander Zulqarnain? bah. 3

Kempen Penaklukan Ke Atas Empayar Parsi




Pada tahun 334 SM, Alexander dan bala tenteranya melepasi Hellespont. Bala tenteranya seramai 48,100 orang askar, 6100 tentera berkuda dan 120 armada laut dengan kru seramai  38,000 orang yang terdiri dari Macedon dan beberapa negara kota Greek yang lain termasuk dari Thrace, Paionia, dan Illyria.

Perang Granicus
Selepas beberapa kemenangan dalam peperangan dicapai dalam Perang Granicus, Alexander akhirnya berjaya menawan kota Sardis, salah sebuah kota Parsi di Asia Minor. Setelah menawan kota Sardis, beliau bergerak menuju ke pantai Ionia.

Setelah itu, beliau meneruskan perjalanan ke Halicarnassus. Di sana, beliau berjaya dalam pengepungan pertamanya sehingga memaksa musuhnya iaitu Memnon of Rhodes, ketua askar upahan Parsi dan Orontobates, wakil kerajaan atau pelindung kerajaan Parsi dari Caria berundur melalui laut. Alexander kemudiannya melantik Ada(mengambil Alexander sebagai anak angkat), sebagai wakil atau pun gabenor Caria.

Sedikit sejarah mengenai Ada. Beliau merupakan anak kepada Hecatomnus, gabenor Caria, kakak kepada Mausolus, Artemisia, Idrieus, dan Pixodarus. Beliau mengahwini adiknya Idrieus, pemerintah Artemisia yang berjaya pada 351 SM dan kemudiannya mati pada 344 SM. Sepeniggalan suaminya, Ada menjadi gabenor Caria, tetapi kemudiannya digulingkan oleh adiknya, Pixodarus pada tahun 340 SM. Selepas kematiannya (Pixodarus) pada tahun 335 SM, menantunya Orontobates mendapat perkenan dari raja Parsi sebagai satrap (gabenor) Caria yang baru. Sewaktu Alexander The Great memasuki kota Caria pada 334 SM, Ada yang waktu itu penjaga kubu/ kota Alinda, menyerahkan kota tersebut kepada Alexander. Selepas menakluki Halicarnassus (Bodrum sekarang), Alexander menyerahkan kembali kerajaan Caria kepada Ada. Dan sebagai membalas jasa itu, Ada mengangkat Alexander sebagai anaknya yakni anak angkat beliau.

Dari Halicarnassus, Alexander meneruskan perjalanannya menuju ke Lycia yang bergunung ganang serta dataran Pamphylia. Alexander berjaya mengawal kota-kota di persisir pantai dalam usahanya mematahkan serangan Parsi dari arah laut. Disebabkan sepanjang Pamphylia itu tidak mempunyai pelabuhan penting, Alexander meneruskan ekspedisinya ke arah pedalaman. Di Termessus, Alexander menundukkan Pisidia, tanpa  menggempur bandar itu. Di Gordium, ibu kota Phrygia kuno, Alexander berjaya menguraikan Simpulan Gordius (Gordian Knot), satu pencapaian dalam menunggu bakal "raja Asia". Menurut cerita yang paling jelas, Alexander mengisytiharkan bahawa cara untuk membuka simpul itu tidak mustahak, dan menetak simpul itu dengan pedangnya. Satu versi lain mendakwa bahawa baginda tidak menggunakan pedang, tetapi tahu akan cara untuk membukanya.

Pertempuran Issus
Selepas berjaya menakluki Asia Minor (Turki moden) di musim dingin, Alexander menuju ke selatan, menghala ke Genting Cillician pada tahun 333 SM. Alexander dan Darius bertemu buat pertama kalinya dalam Peperangan Issus di mana Darius sendiri mengepalai angkatan perangnya menentang Alexander. Pun begitu, Darius tewas dalam peperangan tersebut sehingga terpaksa berundur dan melarikan diri meninggalkan bondanya, Sisygambis, isteri serta dua orang puterinya bersama-sama harta yang banyak. Berikutan hal itu, bondanya tidak dapat memaafkannya dan tidak mengakunya sebagai anak lantas mengambil Alexander sebagai anak angkat.

Setelah itu, Darius III, raja Parsi mengusulkan perdamaian dengan Alexander. Beliau mengusulkan untuk memperikan sebahagian dari tanah jajahannya dan 10,000 talent sebagai menebus keluarganya kepada Alexander. Namun, Alexander menolak dengan alas an bahawa beliau adalah raja Asia dan hanya beliau saja yang berhak membahagikan sempadan-sempadan wilayah di bawah kekuasaannya.

Penaklukan Tyre
Setelah itu, pada tahun berikutnya iaitu 332 SM, beliau menuju ke persisir pantai Mediterranian dalam usaha penaklukan beliau. Beliau berjaya menakluki sebahagai besar wilayah Levant dan kemudiannya terpaksa menyerang Tyre melalui ‘Pengepungan Tyre.’ Setelah mendapatkan Tyre, Alexander melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap kesemua tentera dan menjual wanita dan kanak-kanak sebagai hamba.

Setelah menghancurkan kekuatan Tyre, Alexander meneruskan perjalanan menuju ke Mesir. Ada sumber mengatakan bahawa selepas Alexander menghancurkan kota Tyre, Alexander mengunjungi Al-Quds dan menemui ketua pendeta Yahudi di sana. Setelah itu barulah beliau menuju ke Mesir. Sewaktu peristiwa kehancuran Tyre, kebanyakan kota di sepanjang menuju ke Mesir menyerah dan memberikan pengiktirafan kepada Alexander kecuali Gaza. Alexander mengerahkan segenap tenaga tenteranya yang menjarah Tyre untuk menghancurkan Gaza. Setelah tiga percubaannya gagal, akhirnya kekuatan Gaza berjaya dilumpuhkan. Dalam penaklukan ini, Alexander mendapat kecederaan yang agak serius. Senasib dengan Tyre, lelaki gaza dibunuh kesemuanya dan wanita serta kanak-kanak dijual di pasaran perhambaan.

Setelah berjaya menjarah Gaza, Alexander menuju ke Jerusalem (Batul Maqdis). Di sana, beliau disambut oleh penduduk kota Jerusalem dengan meriah. Simeon Hatsaddik, pendeta tertinggi Yahudi menyambutnya dengan tangan terbuka. Apabila melihat Simeon Hatsaddik, Alexander turun dari kuda tunggangannya dan menunjukkan rasa hormat. Beliau berkata, “Inilah orang yang sering muncul dalam mimpi-mimpiku di Macedonia dan menyuruhku menakluk Parsi.” Alexander tidak menjarah Jerusalem sebaliknya meninggalkannya dengan aman dan membiarkannya seperti sediakala.

Setelah itu, pada lewat 332 SM, Alexander meneruskan perjalanan menuju ke Mesir. Di Mesir, beliau mendirikan kota yang dinamakan Alexandria atau Iskandariah dan nama tersebut kekal sehingga kini. Beliau dialu-alukan sebagai pembebas Mesir dari cengkaman Parsi. Sepanjang berada di Mesir, Alexander meneruskan perjalanan ke Barat dan sampai di Oasis Siwa. Pendeta Amnon mengisytiharkan beliau sebagai anak Dewa Amon, iaitu Dewa Matahari yang mereka sembah.

Setelah itu, Alexander berpatah balik menuju ke timur. Ada sesetengah pendapat mengatakan bahawa Alexander kembali ke kota Alexandria untuk mengumpulkan kembali bala tenteranya bagi menghapuskan saki-baki kekuatan Empayar Parsi.

Perang Gaugamela
Tahun 331 SM, Alexander meninggalkan Mesir menuju ke Mesopotamia. Di Mesopotami ini, terjadi peperangan Alexander dengan Darius dalam Perang Gaugamela. Dalam peperangan ini, Alexander memenanginya dan Darius melarikan diri setelah pemandu ratanya dibunuh. Alexander mengejarnya hingga ke Arbela. Darius lari menghala ke pergunungan Ectabana (Hamadan moden) sementara Alexander menuju ke Babylon. Sepanjang kempen penaklukan ini, Alexander menang kesemua peperangannya dan berjaya menambah kekuatan tentera melalui bilangan tentera yang mengikutnya setiap kali memasuki sesebuah kota.



Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wassalam...

Selasa, 7 Jun 2011

Alexander Zulqarnain bah. 2

Alexander Menjadi Raja Macedonia


Kerajaan Macedonia

Pada tahun 336 SM, sewaktu menghadiri upacara perkahwinan anak perempuannya bersama Olympias, Cleopatra dan Alexander I of Epirus(adik kepada Olympias), Raja Philip II dibunuh oleh ketua pengawal pribadinya sendiri, Pausanias. Sewaktu ingin melarikan diri, Pausanias dibunuh pula oleh pengikutnya termasuk dua orang pengikut Alexander, Perdiccas dan Leonnatus yang menjadi perisik bagi Alexander. Melihatkan situasi ini, Alexander diangkat oleh pihak tentera dan dewan senat Macedonia sebagai raja Macedonia yang baru menggantikan bapanya yang mangkat seala usia dua puluh tahun.

Alexander memulakan zaman pemerintahannya dengan mempertahankan empayar Macedonia dan menghapuskan pemberontakan oleh puak-puak pemberontak yang sememangnya telah lama mahu merdeka dari Macedonia terutamanya puak Thracia dan kota-kota di Yunaniseperti Thebes, Athens dan Thessaly. Sebelum itu, beliau memastikan kedudukannya sebagai raja selamat terlebih dahulu dengan membunuh sepupunya sendiri, Amyntas IV, dan dua orang putera Macedonia dari Lyncentis, Putera Lyncentis ketiga, Alexander Lyncentis dipastikan dibuang daerah agar kedudukannya sebagai raja Macedonia yang baru tidak terancam.

Bagi memastikan Alexander mendapat kuasa, ibunya Olympias membunuh isteri Philips yang baru, Cleopatra Eurydice dan anak perempuannya, Europa dengan membakar mereka hidup-hidup. Ini membuatkan Alexander marah kepada ibunya. Alexander mengarahkan supaya Attalus dan seluruh keluarganya dibunuh kerana menganggap Attalus boleh mengancam dirinya dan terlalu bahaya untuk hidup. Sewaktu itu, Attalus merupakan ketua turus angkatan perang di Asia Minor (sekarang adalah sebahagian besar negara Turki). Alexander juga membunuh Arrhidaeus yang sememangnya pesakit mental yang dikhuatiri akan meracuni ibunya, Olympias.

Berita kemangkatan Raja Philip tersebar ke serata negeri-negeri jajahan Macedonia seperti Thebes, Athens, Thessaly dan juga puak Thracia yang berada di utara Macedonia. Ini menaikkan semangat mereka untuk melepaskan diri dari cengkaman kekuasaan Macedonia. Mendengarkan hal ini, Alexander bertindak pantas dengan menghantar bala tenteranya seramai 3,000 menghala ke selatan, iaitu Thessaly. Walaupun penasihatnya menasihati agar menggunakan diplomasi, namun Alexander berkeras untuk menggunakan cara ketenteraan.

Apabila mengetahui tentera Thessaly sedang berada di antara pergunungan Olympas dan Ossa, Alexander mengarahkan tenteranya supaya bergerak segera dan menetap di pergunungan Ossa. Keesokan harinya, tentera Thessaly mendapati tentera Macedonia sudah berada di pergunungan Ossa, mereka serta merta menyerahkalah dan menyerahkan segala kelengkapan mereka kepada ketenteraan Alexander. Oleh itu, Alexander memperoleh kekuatan ketenteraan baru dan terus bergerak menuju ke Pelopponesus.

Alexander berhenti di Thermopylae dan diiktiraf sebagai ketua bagi Liga Amphictyonic. Setelah itu, beliau bergerak menujuke Corinth. Apabila berada di Athens, pihak kota Athens mengusulkan perdamaian. Alexander  memberi pengampunan kepada pemberontak dan meneruskan perjalanan ke Corinth. Setibanya di Corinth, beliau menemui Diogenes the Cynic. Di sana, beliau diberi gelaran Hagemon dan seperti ayahandanya, beliau melantik beberapa orang komander perang untuk menghadapi tentera Parsi.

Sewaktu berada di Corinth, beliau mendengar perkhabaran mengenai satu ketumbukan tentera puak Thracia sedang melakukanpemberontakan di utara Macedonia. Mendengarkan berita itu, Alexander bergerak menghala ke utara untuk menumpaskan pemberontakan tersebut.

Pada musim bunga tahun 335 SM, Alexander bergerak menghalang pemberontakan bagi memastikankeselamatankerajaannya di persempadanan utara. Bermula di Amphipolis, beliau menuju ke arah timur kerajaan ‘Thracia merdeka’ ini. Tentera Alexander menumpaskan tenteraThracia di pergunungan Haemus dan mara ke Triballi. Mereka menumpaskan pasukan tenteraTriballi di sungai Lyginus. Selanjutnya, tiga hari berselang, pasukan tentera Alexander mara ke sungai Danube bagi menghadapi puak Getae di seberang sungai Danube. Di waktu malam, tentera Alexander menyeberangi sungai Danube. Ini memaksa puakGetae berundur dan meninggalkan kota mereka kepada Alexander.

Setelah itu, tersebarnya berita mengenai penentangan secara terbuka oleh Clietus, Raja Illyria dan Glaukias, raja Taulanti. Alexander mengarahkan tenteranya supaya menghala ke barat menuju ke Ilyria untuk menumpaskan kedua-dua kerajaan tersebut. Ini memaksa Clietus dan Glaukias agar menerima kekuasaan Macedonia ke atas kerajaan mereka. Dengan tertumpasnya kedua-dua kerajaan ini di tangan Alexander, Macedonia kini selamat dari sebarang anasir yang boleh menggugat kestabilannya di utara.

Sewaktu Alexander meraikan kejayaan kempen di utara, Thebes dan Athens kembali melakukan memberontak. Ini menyebabkan Alexander menyingkatkan kempen penaklukannya di utara dan terus menuju ke selatan demi menghapuskan sisa-sisa pemberontakan ini.

Pemberontak kota Thebes ingin melakukan suatu pemberontakan secara besar-besaran melibatkan kota-kota di sekitarnya. Pun begitu, kota-kota lainnya tidak mahu mengikut para pemberontak ini dan sekaligus gagal membina kekuatan tentera yang kukuh. Alexander datang ke Thebes menghancurkan pemberontakan ini dan kota Thebes bermandikan darah pemberontak dan kesemua pemberontak berjaya di bunuh. Wilayah Thebes dibahagikan kepada beberapa kota Boetian agar tiada lagi unsur-unsur pemberontakan boleh berlaku. Melihat kepada apa yang berlaku di Thebes, pemberontak di kota-kota lain termasuk Athens tidak berani melakukan pemberontakan sekali gus mewujudkan keamanan di kawasan jajahan Macedonia di Yunani. Setelah keamanan ini dicapai, Alexander berasa lapang untuk meneruskan kempennya menakluk dunia dan meninggalkan kerajaan pusat Macedonia kepada Antipater sebagai wakilnya di sana.



(Dipetik dari sumber wikipedia mengenai Alexander The Great dalam bahasa Inggeris)


Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wassalam...

Isnin, 6 Jun 2011

Komentar : "Secangkir Teh Pengubat Letih"

Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh. Selawat dan salam buat junjungan besar Muhammad Sallallahu 'alaihi wa salam, serta keluarga baginda, sahabat-sahabat baginda, para tabi'in, tabi' tabi'in, dan ulama' pewaris nabi. Salam sejahtera buat sahabat-sahabat bukan Islam walau di mana jua anda berada. Semoga kebaikan dan rahmat Islam itu kita perolehi walau di ceruk mana di bumi Allah ini kita berada.

Hari ni, baru sahaja selesai membaca sebuah buku nukilan Ustaz Hasrizal Abu Jamil, "Secangkir Teh Pengubat Letih". Aku baca buku ni selama tiga hari untuk menghabisi dan menghayati isi kandungan buku ini. Memang ku akui, buku ini membuat aku berfikir sejenak mengenai keadaan ummah ini selepas era kejatuhan Khalifah Uthmaniyyah. Buku ini berkisar tentang pengalaman penulis sendiri (Ustaz Hasrizal) ke Turki selama 21 kali dan membicarakan sudut pandang penulis berkenaan Turki dan menyorot sedikit keadaan sejarah saat ketika empayar kekhalifahan Bani Uthmaniyyah.

Menyingkap Zaman Kegemilangan Khalifah Uthmaniyyah

Sewaktu zaman kegemilangan kerajaan Islam Khalifah Uthmaniyyah, Islam begitu subur. Khalifah Bani Uthmaniyyah bermula sekitar 1299 masihi di mana Osman I, anak Ertuğrul. Ia bermula sewaktu kekaisaran Byzantin mula melemah dan berpecah kepada beberapa kabilah dan salah satu kabilah itu berada di  daerah Eskişehir, bahagian barat Anatolia atau kini Turki moden.

Sewaktu peperangan antara pihak Rom (dinasti Byzantin) dan pihak kesultanan Seljuk, Ertuğrul bersekutu dengan Seljuk. Ertuğrul berjaya memperoleh kemenangan dan kemudiannya, kesultanan Seljuk waktu itu menghadiah daerah Eskişehir kepada beliau. Apabila Ertuğrul meninggal dunia, Osman I menggantikan ayahandanya sehingga pada tahun 1299, beliau mengisytiharkan diri sebagai Khalifah pertama kerajaan Islam Bani Uthmaniyyah. Ini selepas kejatuhan kesultanan Seljuk.



Dengan tertubuhnya kerajaan Islam Bani Uthmaniyyah ini, ia menjadi pesaing kepada kerajaan-kerajaan Kristian di Eropah. Ia menjadi kuasa baru yang mengancam kekuasaan kerajaan Kristian Eropah dan membimbangkan kerajaan Kristian utama iaitu Kaisar Rom Byzantin. 
Kota Constantinople era pemerintahan 
Byzantin

Apabila Sultan Muhammaad Al-Fatih memerintah, bagindalah Sultan yang bertanggungjawab melenyapkan kekaisan Byzantin dengan menakluki kota Constantinople pada 1453 dan menukar namanya kepada Istanbul. Ia menjadi titik tolak kepada tersebarnya Islam ke Eropah. Islam berkembang ke serata dunia melalui Khalifah Islam Bani Uthmaniyyah. 

Pengembangan Empayar ini berlaku antara1453 - 1683. Ia merupakan suatu tempoh yang panjang. Selepas kejayaan penaklukan Constantinople, empayar Islam Uthmaniyyah berkembang hingga ke Balkan. Sepanjang abad ke-16, empayar Uthmaniyyah berkembang hingga ke Afrika Utara di barat dan Parsi di sebelah timur. Pada tahun 1514, Sultan Selim I mengalahkan tentera Parsi dalam peperangan Chaldiran di Anatolia bagi memastikan keselamatan empayar Uthmaniyah. Melalui Sultan Sulaiman al-Qanuni (Suleiman the Magnificent) atau Suleiman I, tentera Uthmaniyyah mara ke utara hingga ke Belgrade (1521), mengalahkan Hungary pada 1526 dan menyerang Vienna pada 1529.

Selepas kemangkatan Suleiman I pada 1566, empayar Uthmaniyyah mengalami kemerosotan. Ia berlaku kerana perebutan kuasa dan rasuah yang menyelubungi kekhalifahan Uthmaniyyah. Selepas kekalahan dalam peperangan di Vienna pada 1683, empayar Uthmaniyah mula merosot. Bermula dengan perisytiharan kemerdekaan oleh Hungary 1686 lalu mewujudkan kesatuan kerajaan bersama Austria, perpecahan sedikit demi sedikit mula berlaku. Abad ke-17 menyaksikan pengecilan wilayah Khalifah Uthmaniyyah. Kebangkitan dari Parsi yang menuntut kemerdekaan sedikit sebanyak melemahkan empayar Uthmaniyyah. Konspirasi bagi menjatuhkan Uthmaniyyah ini didalangi oleh umat Islam sendiri yang bersekongkol dengan Barat hinggalah kepada penggulingan Sultan Abdul Hamid II pada 1909 melalui konspirasi yang didalangi Yahudi. Emmanuel Carasso, seorang Yahudi warga Itali dan wakil rakyat Salonika (Thessaloniki) di Parlimen Othmaniyyah (Meclis-i Mebusan), Aram Efendi, wakil rakyat Armenia, Laz Arif Hikmet Pasha, anggota Dewan Senat yang juga pemimpin Armada Othmaniyyah, serta Arnavut Esat Toptani, wakil rakyat bandar Daraj di Meclis-i Mebusan. Sejak itu, baginda digantikan dengan sultan-sultan boneka sehinggalah Revolusi Turki berlaku pada 1924 oleh Mustafa Kamal Attarturk.

"Secangkir Teh Pengubat Letih"


Berkenaan dengan buku "Secangkir Teh Pengubat Letih", ia banyak mengupas mengenai isu-isu semasa di Turki moden dan pengalaman penulis, Ustaz Hasrizal ke sana. Bertemu sahabat dan berkenalan dengan warga Turki. beliau sedikit sebanyak mengupas isu semasa Turki lebih-lebih lagi berkenaan dengan isu pemakaian hijab di kalangan rakyat Turki dan bagaimana wanita Muslim di sana tabah dalam menjalani kehidupan di dalam sebuah negara pengamal dasar sekular yang begitu taksub dan fanatik.


Penulis menceritakan bagaimana warga Turki begitu tabah dan ramah dengan 'orang luar' sehingga sanggup mempelawa mereka ke kediaman tempat mereka tinggal. Penulis juga menceritakan tentang pengalaman bagaiamana dia kehilangan dompet akibat diseluk saku sehingga menemukannya semula di masjid. Sesuatu yang amat sukar untuk berlaku di Malaysia.


Mengupas isu berkenaan pemakaian hijab, menurut penulis, wanita Islam di sana begitu tegar dalam melaksanakan hukum Islam dari rela membuang hijab semata-mata menunaikan tuntutan diri. Sehinggakan ada segelintir wanita di sana menggantikan hijab dengan snow cap dan berbagai cara lagi untuk menutup kepala mereka dan membolehkan mereka menghadiri peperiksaan di sana. Di Turki, pemakaian tudung@hijab tidak mendapat restu pemerintah yang begitu sekular. Walaupun Turki diperintah oleh AKP pimpinan Erdogan yang menghala ke Islamik, namun, mereka seolah-olah tiada kuasa ke atas negara pemerintahan mereka. Ini kerana Turki diperintah oleh tiga kuasa yang mana parti pemerintah perlu mendapat mandat daripada dua kuasa lagi untuk melaksanakan sesuatu dasar. Seperti pemakaian hijab ini, pihak Tentera yang merupakan salah satu dari kuasa pemerintah begitu tegar melarang penggunaan hijab di universiti. Para pelajar di sana terpaksa membuka hijab sekiranya ingin menghadiri peperiksaan. Ini memaksa sebahagian pelajar terpaksa menyimpan hasrat untuk memperoleh segulung ijazah kerana lebih sayangkan iman mereka.


Begitu sabarnya orang Islam Turki menjalankan kehidupan seharian mereka. Menjalankan tanggungjawab sebagai Muslim walau dihalang dengan berbagai karenah birokrasi pihak penguasa di Universiti dan jabatan-jabatan kerajaan. Mereka tegar mempertahankan aqidah mereka dan begitu teliti dari segi pelbagai aspek hinggakan dari segi nama juga mereka begitu teliti. Saya masih terbayang akan tulisan Abu Saif mengenai perbualannya dengan bapa kepada sahabatnya tentang nama Mehmet dan Muhammad. Menurut beliau, mereka begitu menjaga keperibadian Rasulullah sehingga tidak menamakan anak mereka dengan nama Muhammad sebaliknya menukargantikan nama itu dengan nama Mehmet yang seerti juga dengannya. Mereka berkata, "Sekiranya kami menamakan dengan nama Muhammad tetapi perangainya buruk, sudah tentu ia akan seolah-olah menggambarkan yang nabi Muhammad itu seorang yang buruk akhlaknya di mata bukan Islam."


Aku berdoa moga Allah mengurniakan rahmat dan taufiq ke atas bumi Anatolia ini. Semoga suatu hari nanti, Islam di sana akan menag juga mengatasi kesekularan masyarakat dan pentadbirannya di sana nanti. Semoga Daulah Islamiyah akan tertegak kembali di kota Istanbul dan sinarnya menerangi dunia seluruhnya. Amiin.. InsyaAllah...

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wassalam...