Cari Blog Ini

Isnin, 2 Mac 2015

Safiy, Adinda Hanna

Tanggal sepuluh bulan lima tahun dari dua ribu yang ke empat belas,
Kehadiranmu menambah lagi ceria di hati abi dan umi,
Sempurnalah segala sifat anugerah dari Ilahi Tuhan semesta alam,
Membakar lagi semangat kami agar terus menyala dan membara,
Biar badai gelora lautan api di depan, aku sanggup redah demi kasih dan cinta yg tertumpah,
Walau segala macam rintangan dunia menghalang, kami gagahkan langkah untuk terus mara.

Amna Safiyyah nama kuberi,
Sahabat baik yang memberi ketenangan,
Itulah harapan abi padamu,
Agar dirimu menjadi sahabat juga peneman setia kekandamu,
Juga, moga engkau menjadi insan terbaik di akhir zaman ini.

Doa abimu ini,
Moga Tuhan sentiasa bersamamu
Di kala susah dan senang
Jadikan agama sebagai suluh kehidupan
Dan jika engkau merasa tersesat jalan
Pulanglah pada asal agama Tuhan Yang Maha Esa,
Carilah kembali kekuatan diri
Rujuklah pada para murabbimu
Agar engkau tidak tersesat lagi
Supaya nanti kembalimu pada jalan Ilahi...

Sabtu, 9 Ogos 2014

KEMELUT DALAMAN PKR : REAKSI DARIPADA PELBAGAI PERSPEKTIF

Assalamualaikum dan sala sejahtera kepada semua pembaca blog ini. Dah lama tak update blog ni… Dah terlalu banyak sawangnya yang mungkin juga dihinggapi pelbagai binatang buas agaknya… hehe
Dalam entri kali ni, saya ingin mengulas sedikit berkenaan isu MB Selangor dan juga yang berkaitan dengannya..
Setelah meneliti dan menilai dari kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh pelbagai pihak termasuk, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Sri Khalid Ibrahim (TSKI), pimpinan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) termasuk kenyataan Mursyidul Amnya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan banyak lagi, maka ini adalah merupakan apa yang aku fahami dari apa yang aku lihat, dengar dan baca.. Ini hanyalah sekadar kenyataan pribadi aku semata-mata... Mungkin ada kekurangan di mana-mana sudut yang tidak dapat aku ketahui..
Ia bermula bila Anwar Ibrahim (DSAI) mengumumkan bahawa isteri beliau, Wan Azizah (DSWA) sebagai calon MB yang baharu. Ia menimbulkan ketidaksenangan di kalangan ahlinya sendiri dan juga menyebabkan ramai yang tidak puas hati. Selepas PRK Kajang yang dimenangi oleh DSWA, aku telah mengesyaki bahawa beliau bakal menjadi MB baharu Selangor. Dan sebenarnya aku telah agak dari mula “Kajang Move” dimulakan. Bila mana DSAI mengumumkan dirinya sebagai calon PRK Kajang selepas perletakan mantan ADUNnya. Percaturan Rafizi Ramli terhadap Kajang Move ini turut mengheret dirinya ke dalam kemelut dalaman PKR.
Pada awal tahun lalu, DSAI pernah memberi gambaran bahawa TSKI tidak akan disingkirkan dari jawatan MB yang dipegangnya sekarang. Namun, segalanya berubah bila Kajang Move dimulakan dengan mengumumkan DSAI diangkat sebagai calon PRK tersebut. Bila DSAI disabitkan bersalah dalam kes liwatnya, ini membuatkan beliau hilang kelayakan untuk menjadi calon. DSWA dicalonkan dan memenangi PRK tersebut walaupun dengan majoriti yang berkurangan.
Ingatkan masalah ini hanya berakhir di situ saja, namun ia semakin menampakkan tanda-tanda keretakan yang semakin ketara. Dan pengumuman DSWA sebagai calon MB yang baharu semakin memburukkan keadaan.

Dari pihak pucuk pimpinan tertinggi PKR, mereka meletakkan TSKI sebagai orang yang patut disingkirkan dari jawatan yang dipegang sekarang. Walau diakui beliau merupakan MB Selangor paling berjaya dalam sejarah negeri terkaya ini, namun segalanya tampak berbeza kini. Beliau disabitkan oleh Lembagai Disiplin PKR dan integritinya diragui.
Dalam kenyataan balas kepada pucuk pimpinan PAS dan DAP, PKR menyatakan bahawa TSKI telah mengkhianati partinya dan mempunyai masalah hutang dengan Bank Islam yang kini telah pun diselesaikan di luar mahkamah walaupun Bank Islam berhak dan mempunyai kes yang kukuh untuk menang. Segalanya dinyatakan dengan panjang lebar tentang kesalahan beliau yang dikatakan tidak telus.
Pemeteraian Penstrukturan Air Selangor dan Perjanjian Langat 2 yang ditandatangani TSKI turut dipersoal. Ini kerana ia berlaku begitu pantas sedangkan selama ini kerajaan Selangor bermati-matian menolak usul dari kerajaan Pusat yang menyebabkan projek Langat 2 yang sepatutnya bermula 2008 tertangguh sehingga 2014.
Kenyataan media yang dibuat oleh pucuk pimpinan tertinggi PAS yang memohon agar TSKI dikekalkan sebagai MB menimbulkan lagi kekeliruan dan kekecohan juga keresahan di kalangan rakyat Malaysia khususnya Selangor. Pimpinan akar umbi PKR dari beberapa negeri juga turut tidak bersetuju dengan tindakan pucuk pimpinan mereka yang ingin menukar MB Selangor ini. Beberapa siri kenyataan media sama ada yang menolak mahupun menyokong tindakan ini dilihat seolah-olah memperlihatkan masalah dalaman PKR yang begitu meruncing dan tiada kesepakatan bersama. Terbaru sidang media yang dijalankan oleh Zuraida Kassim selaku orang kuat PKR negeri bersama Xavier Jayakumar yang berlaku sedikit kekecohan berikutan kenyataan mulut dan juga bertulis yang tidak seiring menambah lagi kekalutan. Ada yang mencadangkan Azmin Ali selaku MB.

Kesimpulan awalnya, dapat dirumuskan bahawa PKR sememangnya mempunyai masalah dalaman yang serius hinggakan antara ahli MT juga ada yang tidak senada dan selagu. Azmin Ali selaku Timbalan Presiden dilihat lebih dominan berbanding Presiden DSWA. Azmin Ali dilihat sebagai lidah nombor 2 dalam PKR selepas DSAI.
Jika benar TSKI tidak telus seperti mana yang didakwa dalam kenyataan bertulis PKR kepada PAS dan DAP, maka sewajarnya beliau meletak jawatan dan memberi jalan kepada orang lain untuk meneruskan tugas-tugas MB Selangor. Dan seharusnya pengganti beliau itu seorang yang berkelayakan dari segi personaliti, kepimpinan, etika, dan yang penting jauh dari segala macam kontroversi yang boleh mencalarkan imej Menteri Besar dan negeri Selangor.
Seharusnya kemelut yang melanda PKR perlu diselesaikan dengan kadar segera. Apa yang lebih penting, PKR perlu dilihat sebagai parti yang benar-benar memperjuangkan keadilan dan tidak dilabel sebagai parti memperjuangkan kroni seperti mana Barisan Nasional seperti mana yang didakwa mereka. Dan apa yang lebih penting, PKR tidak dilabel sebagai Parti Keluarga Anwar kerana asal mula parti ini ditubuhkan adalah selepas DSAI dipecat dari jawatan TPM oleh Tun Mahathir dan disabit pula kes liwat yang menelanjangkan keperibadian beliau.

Selain itu, peranan PAS juga wajar dipertimbangkan. Saya tidak mahu melihat lagi kenyataan yang tidak menunjukkan kesepakatan dalam Pakatan Rakyat (PR) sepertimana yang berlaku sebelumnya. Shamsul Iskandar Mat Akin dan beberapa lagi pucuk pimpinan PKR yang sering dilihat cuba menonjolkan diri sebagai lebih hebat dari orang lain.

Semoga kesudahan yang baik akan berlaku dalam pemerintahan kerajaan negeri Selangor di masa akan datang. Itu doa saya. Sekian, wassalam.
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wassalam...

Sabtu, 15 Februari 2014

RENUNGAN DINIHARI...

Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh. Salam satu Ummah, dan salam satu dunia.. buat siapa saja insan yang membaca blog kurang mendapat tempat ini.. Moga kita semua masih dalam lindungan dan limpah kurnia dariNya.

Sebelum mata ini beristirehat, ingin saya ajak paa pembaca sekelian merenung kembali akan perilaku dan tindak tanduk kita pada hari ini. Adakah kita telah menyakiti hati sesiapa secara sengaja atau tanpa sedar? Mungkin ada sedikit sebanyak silap kita di mana-mana. Saya juga tidak pasti. Yang pasti, mungkin kita ada melakukan kesilapan di mana-mana. 

Satu perkara yang saya ingin katakandi sini, perasan tak kita sebenarnya mata yang Allah anugerahkan buat kita ini sebenarnya adalah mesin perakam? Percaya atau tidak, mata kita yang melihat segala bentuk kejadian dan peristiwa yang berlaku di seluruh dunia adalah mesin perakam seperti video recorder yang merakam setiap apa saja perkara yang kita tonton setiap hari. Dan atas sebab itu juga Allah mempertanggungjawabkan setiap apa yang kita pernah lihat sewaktu soal jawab di negeri Mahsyar nanti.

Mata merupakan satu anugerah yang tidak ternilai harganya. setiap biji bola mata kita ini amat penting untuk kita merakam dan bertindak mengikut apa yang termampu oleh kita. Yang penting, kita sentiasa berusaha untuk mengajak atau mencegah kemungkaran yang berlaku di hadapan mata kita. Atau mungkin juga, setiap tindak tanduk perilaku tidak elok yang kita lakukan yang disaksikan oleh mata kita, kita akan disoal di hadapan Allah Subhana wa Ta'ala kelak.

Jadi, gunakanlah pancaindera yang bisa melihat ini ke arah kebaikan dan menghalang segala jenis kemungkaran. Wallahu a'alam....

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wassalam...

Jumaat, 7 Februari 2014

HANNA : KEKASIH DUNIA AKHIRAT

Julai haribulan empat tahun 2012
Kehadiranmu menceriakan suasana hidupku
kemungilan wajahmu menawan sanubariku
hingga tak terungkap kalam
melainkan zikrullah dan alhamdulillah
tanda syukur pada Ilahi atas kuniaNya ini

Kekuranganmu tidak menggusarkan
Malah menambah selautan kasih padamu
Engkau sumber kekuatan pada diriku
agar menjadi manusia yang setia hingga hujungnya

Bila engkau berduka
aku turut merasainya
derita yang kau rasakan itu
membuatku tak jemu menghibur
walau pun aku tak pasti
apakah kau dapat merasai hiburan itu

Kini usiamu silih berganti
tahun sudah dua kali berlalu pergi
maka engkau pula bakal menginjak dewasa
moga kau akan terus tabah
mengharungi sisa ujian di dunia
hingga suatu masa Tuhan akan mengambil kita
untuk di hisab di negeri kekal abadi sana




Tribute to anakanda A'isyah Hanna yang telah menginjak usia setahun tujuh bulan. Moga menjadi insan terbilang.. Ameen

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wassalam...

Rabu, 5 Februari 2014

KETAMADUNAN MELAYU DAN LEGASINYA...

Assalamualaikum wa rahmatullah wa baraktuh. Salam hormat kepada pembaca blog tak seberapa ni. Alhamdulillah, sedar tak sedar, kita telah masuk di bulan kedua dalam tahun 2014 dan telah 36 hari meninggalkan tahun 2013. Segala cerita suka dan duka tahun lalu akan menjadi sejarah dalam hidup kita untuk dikongsikan kepada anak cucu suatu hari nanti.

Hari ini, terdetik untuk membuka dan membaca blog yang ada dan telah disarankan oleh rakan Blogger APIEY. Saya menelusuri Blog www.lokalgenius.blogspot.com dan menemui sesuatu yang berharga di dalamnya. 

Secara generalnya, boleh dikatakan bangsa Melayu bukanlah sebuah bangsa yang mundur dan terkebelakang seperti mana yang sering dilontarkan oleh segolongan orang Melayu sendiri dan juga dimomokkan oleh penjajah bagi meracuni pemikiran orang Melayu agar tidak melawan dan menentang mereka. 

Sebenarnya, Melayu itu sendiri telah melalui suatu revolusi yang sangat besar dalam sejarahnya dan telah 'spread out' sehingga ke Hawaii di Pasifik berhampiran Amerika dan juga Madagascar di Afrika. Dan jika kita ke Afrika Selatan, kita akan dapati terdapat sekelompok minoriti Melayu yang telah pun berkahwin campur dengan masyarakat tempatan masih lagi ada saki baki mereka yang mengamalkan tradisi hidup Melayu yang dibawa mereka dari Nusantara. Mereka ini adalah saki baki golongan penentang British dan Belanda yang dibuang kerana melawan penjajahan.

Dalam blog ini apa yang saya dapati adalah ia menceritakan tentang keunikan dan sejarah ketamadunan Melayu dari zaman awal Masihi (atau mungkin sebelum itu lagi) sehinggalah era kejatuhannya sewaktu penjajahan dari Barat bermula di Nusantara. Sejarah kerajaan Srivijaya, Chola, Sri Lanka dan berbagai lagi dapat ditemukan.

Apa yang menarik perhatian saya adalah entri blog ini yang dikongsikan sahabat APIEY entri bertajuk "MELAYU NUSANTARA : MISTERI YANG TIDAK TERJAWAB" yang juga dipetik dari sumber INDONESIA melaporkan bahawa hasil dari kajian dan pemerhatian pengkaji arkeologi di tapak Candi Penataran yang terletak di Pula Jawa. Ia membongkar akan kewujudan relief (ukiran) yang dikatakan menyerupai relief yang didapati pada tinggalan kota Maya dan Aztec. Malahan lagi banyak juga relief-relief yang menyerupai simbol-simbol dari tamadun lain seperti tamadun China, India malahan Simeria atau Sumeria. Selain Candi Penataran, relief di Candi Cheto juga memaparkan hal yang sama. Mungkin juga ini petanda bahawa tamadun Melayu telah melangkaui era kehebatannya yang tersendiri. Namun, ia masih lagi belum dapat dibuktikan secara jelas dan tepat bagaimana perkara ini boleh terjadi. 

Dalam siri 'The Ancient Alien", History Channel ada menyatakan tentang kaitan tamadun Malayan atau Melayu dalam kehebatan tamadun Aztec dan Maya. Dikatakan bahawa Tamadun Maya dan Aztec mendapat sentuhan dari bangsa yang datang dari Malayan dan mengajar mereka teknologi yang dapat kita tontoni dan lihat pada hari ini. Dan hal ini tidakalah mustahil namun perlu kepada kajian yang mendalam bagi mengesan artifak-artifak yang berguna bagi membuktikan kesahihannya. Jika tidak, ia akan terus kekal misteri dan teori semata-mata.

Maka, diharap ada pihak sama ada individu atau mana-mna kerajaan yang mahu membiayai ekspedisi kajian ini yang tentunya akan menelan kos yang bukan sikit tetapi banyak bagi memberi manfaat kepada kita semua. Wallahu a'alam.

sumber bahan : http://www. lokalgenius.blogspot.com

Relief di Candi Penataran yang mirip bangsa Maya/Aztec

Relief yang sama dapat di lihat di Mexico City

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wassalam...