Cari Blog Ini

Selasa, 14 Jun 2011

Alexander Zulqarnain? bah. 3

Kempen Penaklukan Ke Atas Empayar Parsi




Pada tahun 334 SM, Alexander dan bala tenteranya melepasi Hellespont. Bala tenteranya seramai 48,100 orang askar, 6100 tentera berkuda dan 120 armada laut dengan kru seramai  38,000 orang yang terdiri dari Macedon dan beberapa negara kota Greek yang lain termasuk dari Thrace, Paionia, dan Illyria.

Perang Granicus
Selepas beberapa kemenangan dalam peperangan dicapai dalam Perang Granicus, Alexander akhirnya berjaya menawan kota Sardis, salah sebuah kota Parsi di Asia Minor. Setelah menawan kota Sardis, beliau bergerak menuju ke pantai Ionia.

Setelah itu, beliau meneruskan perjalanan ke Halicarnassus. Di sana, beliau berjaya dalam pengepungan pertamanya sehingga memaksa musuhnya iaitu Memnon of Rhodes, ketua askar upahan Parsi dan Orontobates, wakil kerajaan atau pelindung kerajaan Parsi dari Caria berundur melalui laut. Alexander kemudiannya melantik Ada(mengambil Alexander sebagai anak angkat), sebagai wakil atau pun gabenor Caria.

Sedikit sejarah mengenai Ada. Beliau merupakan anak kepada Hecatomnus, gabenor Caria, kakak kepada Mausolus, Artemisia, Idrieus, dan Pixodarus. Beliau mengahwini adiknya Idrieus, pemerintah Artemisia yang berjaya pada 351 SM dan kemudiannya mati pada 344 SM. Sepeniggalan suaminya, Ada menjadi gabenor Caria, tetapi kemudiannya digulingkan oleh adiknya, Pixodarus pada tahun 340 SM. Selepas kematiannya (Pixodarus) pada tahun 335 SM, menantunya Orontobates mendapat perkenan dari raja Parsi sebagai satrap (gabenor) Caria yang baru. Sewaktu Alexander The Great memasuki kota Caria pada 334 SM, Ada yang waktu itu penjaga kubu/ kota Alinda, menyerahkan kota tersebut kepada Alexander. Selepas menakluki Halicarnassus (Bodrum sekarang), Alexander menyerahkan kembali kerajaan Caria kepada Ada. Dan sebagai membalas jasa itu, Ada mengangkat Alexander sebagai anaknya yakni anak angkat beliau.

Dari Halicarnassus, Alexander meneruskan perjalanannya menuju ke Lycia yang bergunung ganang serta dataran Pamphylia. Alexander berjaya mengawal kota-kota di persisir pantai dalam usahanya mematahkan serangan Parsi dari arah laut. Disebabkan sepanjang Pamphylia itu tidak mempunyai pelabuhan penting, Alexander meneruskan ekspedisinya ke arah pedalaman. Di Termessus, Alexander menundukkan Pisidia, tanpa  menggempur bandar itu. Di Gordium, ibu kota Phrygia kuno, Alexander berjaya menguraikan Simpulan Gordius (Gordian Knot), satu pencapaian dalam menunggu bakal "raja Asia". Menurut cerita yang paling jelas, Alexander mengisytiharkan bahawa cara untuk membuka simpul itu tidak mustahak, dan menetak simpul itu dengan pedangnya. Satu versi lain mendakwa bahawa baginda tidak menggunakan pedang, tetapi tahu akan cara untuk membukanya.

Pertempuran Issus
Selepas berjaya menakluki Asia Minor (Turki moden) di musim dingin, Alexander menuju ke selatan, menghala ke Genting Cillician pada tahun 333 SM. Alexander dan Darius bertemu buat pertama kalinya dalam Peperangan Issus di mana Darius sendiri mengepalai angkatan perangnya menentang Alexander. Pun begitu, Darius tewas dalam peperangan tersebut sehingga terpaksa berundur dan melarikan diri meninggalkan bondanya, Sisygambis, isteri serta dua orang puterinya bersama-sama harta yang banyak. Berikutan hal itu, bondanya tidak dapat memaafkannya dan tidak mengakunya sebagai anak lantas mengambil Alexander sebagai anak angkat.

Setelah itu, Darius III, raja Parsi mengusulkan perdamaian dengan Alexander. Beliau mengusulkan untuk memperikan sebahagian dari tanah jajahannya dan 10,000 talent sebagai menebus keluarganya kepada Alexander. Namun, Alexander menolak dengan alas an bahawa beliau adalah raja Asia dan hanya beliau saja yang berhak membahagikan sempadan-sempadan wilayah di bawah kekuasaannya.

Penaklukan Tyre
Setelah itu, pada tahun berikutnya iaitu 332 SM, beliau menuju ke persisir pantai Mediterranian dalam usaha penaklukan beliau. Beliau berjaya menakluki sebahagai besar wilayah Levant dan kemudiannya terpaksa menyerang Tyre melalui ‘Pengepungan Tyre.’ Setelah mendapatkan Tyre, Alexander melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap kesemua tentera dan menjual wanita dan kanak-kanak sebagai hamba.

Setelah menghancurkan kekuatan Tyre, Alexander meneruskan perjalanan menuju ke Mesir. Ada sumber mengatakan bahawa selepas Alexander menghancurkan kota Tyre, Alexander mengunjungi Al-Quds dan menemui ketua pendeta Yahudi di sana. Setelah itu barulah beliau menuju ke Mesir. Sewaktu peristiwa kehancuran Tyre, kebanyakan kota di sepanjang menuju ke Mesir menyerah dan memberikan pengiktirafan kepada Alexander kecuali Gaza. Alexander mengerahkan segenap tenaga tenteranya yang menjarah Tyre untuk menghancurkan Gaza. Setelah tiga percubaannya gagal, akhirnya kekuatan Gaza berjaya dilumpuhkan. Dalam penaklukan ini, Alexander mendapat kecederaan yang agak serius. Senasib dengan Tyre, lelaki gaza dibunuh kesemuanya dan wanita serta kanak-kanak dijual di pasaran perhambaan.

Setelah berjaya menjarah Gaza, Alexander menuju ke Jerusalem (Batul Maqdis). Di sana, beliau disambut oleh penduduk kota Jerusalem dengan meriah. Simeon Hatsaddik, pendeta tertinggi Yahudi menyambutnya dengan tangan terbuka. Apabila melihat Simeon Hatsaddik, Alexander turun dari kuda tunggangannya dan menunjukkan rasa hormat. Beliau berkata, “Inilah orang yang sering muncul dalam mimpi-mimpiku di Macedonia dan menyuruhku menakluk Parsi.” Alexander tidak menjarah Jerusalem sebaliknya meninggalkannya dengan aman dan membiarkannya seperti sediakala.

Setelah itu, pada lewat 332 SM, Alexander meneruskan perjalanan menuju ke Mesir. Di Mesir, beliau mendirikan kota yang dinamakan Alexandria atau Iskandariah dan nama tersebut kekal sehingga kini. Beliau dialu-alukan sebagai pembebas Mesir dari cengkaman Parsi. Sepanjang berada di Mesir, Alexander meneruskan perjalanan ke Barat dan sampai di Oasis Siwa. Pendeta Amnon mengisytiharkan beliau sebagai anak Dewa Amon, iaitu Dewa Matahari yang mereka sembah.

Setelah itu, Alexander berpatah balik menuju ke timur. Ada sesetengah pendapat mengatakan bahawa Alexander kembali ke kota Alexandria untuk mengumpulkan kembali bala tenteranya bagi menghapuskan saki-baki kekuatan Empayar Parsi.

Perang Gaugamela
Tahun 331 SM, Alexander meninggalkan Mesir menuju ke Mesopotamia. Di Mesopotami ini, terjadi peperangan Alexander dengan Darius dalam Perang Gaugamela. Dalam peperangan ini, Alexander memenanginya dan Darius melarikan diri setelah pemandu ratanya dibunuh. Alexander mengejarnya hingga ke Arbela. Darius lari menghala ke pergunungan Ectabana (Hamadan moden) sementara Alexander menuju ke Babylon. Sepanjang kempen penaklukan ini, Alexander menang kesemua peperangannya dan berjaya menambah kekuatan tentera melalui bilangan tentera yang mengikutnya setiap kali memasuki sesebuah kota.



Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wassalam...

Tiada ulasan: