Di
dalam keghairahan kerajaan serta segelintir golongan agamawan dan intelektual
yang menyokongnya, membahaskan tentang kebolehan dan kebaikan cukai, mereka
sering mengetengahkan dalil mengenai tindakan Saidina Umara l-Khattab r.a yang
dikatakan mengenakan cukai, bagi ‘menghalalkan’ apa jua cukai yang dikenakan ke
atas rakyat marhaen. Oleh kerana hal ini dikemukakan oleh golongan agamawan dan
para intelektual yang ada nama yang juga berkelulusan tinggi, maka tidak sikit
bahkan ramai di kalangan umat Islam yang mempercayai hujah mereka tanpa
melakukan penyelidikan yang lebih terperinci sebelum menerima hujah tersebut.
Moga artikel ini sedikit sebanyak dapat merungkai dan memberikan sedikit
pencerahan kepada khalayak umum tentang perkara ini.
Keharaman Cukai (Maks/ Usyur)
Sebenarnya,
banyak hadith yang membicarakan tentang keharaman cukai. Antaranya adalah
hadith yang diriwayatkan oleh Ad-Darimiy, Ahmad dan Abu Ubaidah, dari Uqbah bin
Amir, bahawa dia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Tidak akan masuk syurga orang yang memungut
cukai.” Abu Muhammad mengatakan bahawa yang dimaksudkan dalam hadith
tersebut adalah Asyar. Asyar atau Asyir adalah orang yang
memungut 1/10 (10%) dari barang/komoditi yang dibawa dari luar negara. Muslim
bin Musbih r.a. menuturkan bahawa dia pernah bertanya kepada Ibnu Umar r.a, “Apakah anda pernah mengetahui bahawa Umar
r.a pernah mengambil usyur dari kaum Muslimin?” Ibnu Umar menjawab, “Tidak. Aku tidak pernah mengetahuinya.”
Ibrahim
bin Muhajir berkata, “Aku pernah mendengar Ziyad bin Hudair r.a berkata, ‘Sesungguhnya akulah orang pertama yang
memungut usyur dalam Islam.’ Lalu aku bertanya, ‘Siapakah yang kalian kenakan usyur tersebut?’ Lalu dia menjawab, ‘Aku tidak mengenakan usyur ke atas seorang
Muslim dan mu’ahid pun.’ Aku bertanya lagi, ‘Lalu kepada siapa yang engkau kenakan usyur?’ Dia menjawab, ‘Pedagang-pedagang ahlul harb (kafir harbi)
sebagaimana mereka mengenakan usyur atas kita jika kita mendatangi (masuk ke
wilayah)mereka.’
Ya’qub
bin Abdurrahman Al-Qariyyi dari bapanya berkata, Umar bin Abdul Aziz pernah
menulis surat kepada Adi bin Arthah, “Hilangkan
dari manusia beban fidyah, hilangkan dari manusia beban hidangan dan hilangkan
juga dari manusia beban cukai, kerana ia bukan sahaja cukai tetapi merupakan
bukhsi (pengurangan) sebagaimana yang dinyatakan Allah, “Janganlah kalian
mengurangkan (tabkhasu) bagi manusia hak-hak mereka dan janganlah kalian
membuat kejahatan di muka bumi dengan membuat kerosakan.” [Surah Hud : 85].
Kerana itu, siapa sahaja yang
memberikanmu sedekah, maka terimalah dan siapa sahaja yang tidak memberikannya
kepadamu, maka Allah lah yang Maha Mencukupi.” Quraiz bin Sulaiman juga
berkata, “Umar bin Abdul Aziz pernah
menulis surat kepada Abdullah bin Auf al-Qariyyi yang mengatakan, ‘Pergilah ke suatu rumah yang ada di Rafah
yang dipanggil sebagai baitul maks (rumah cukai), hancurkan rumah tersebut dan
bawalah ke laut, campakkannya dan jangan ditinggalkan sedikit pun (sisanya).’
Kelima-lima
atsar di atas diriwayatkan oleh Abu
Ubaid di dalam kitab al-Amwal. Abu Ubaid berkomentar, “Makna hadith-hadith yang
kami sebutkan yang di dalamnya terdapat orang yang memungut cukai, dibencinya
cukai dan tindakan tersebut dianggap salah, kerana asal kewujudannya (cukai) itu
adalah di zaman Jahiliyyah. Hal itu (pemungutan cukai) banyak dilakukan oleh
segenap raja-raja Arab an non-Arab. Praktik mereka adalah memungut 1/10 dari
harta para pedagang jik mereka bertemu dengannya. Kemudian hal itu dijelaskan
oleh surat-surat Nabi SAW kepada penduduk kota-kota seperti Tsaqif, Bahrain, Dumatul Jandal dan
sebagainya yang telah memeluk Islam, di mana Rasulullah SAW bersabda, “Mereka tidak boleh dipaksa dan tidak boleh
dipungut usyur.”
Dengan
demikian, kita memahami bahawa praktik tersebut (memungut cukai) terjadi
sewaktu zaman Jahiliyah dan hadith-hadith yang membahaskan tentang masalah ini
sangat banyak. Kemudian Allah SWT membatilkan praktik ini dengan kehadiran
RasulNya dan Islam. Hadith yang diriwayatkan dari Rasulullah SAW serta atsar
yang diriwayatkan kedua-dua Umar r.a di atas menunjukkan bahawa cukai tidak
boleh (haram) hukumnya dipungut dari perniagaan orang-orang Islam dan ahlu
zimmah walau sekecil mana pun, termasuklah komoditi yang diimport ke dalam
negara Islam dan komoditi yang dieksport ke negara kafir (Darul Kufur). Hal itu
telah dipraktikkan oleh Khalifah Umara l-Khattab r.a di mana beliau tidak
memungut cukai sedikit pun dari pedagang Muslim dan ahlu zimmah. Tindakan
Khalifah Umar ini didiamkan oleh para sahabat yang dengannya menjadi ijma’ sukuti (kesepakatan yang
didiamkan)dan merupakan dalil syariah kepada kita semua.
Perlu
difahami bahawa cukai(maks) adalah
harta yang diambil dari komoditi yang melewati perbatasan negara, tidak kira
sama ada keluar atau masuk menerusi sempadan negara. Rumah (bangunan) yang
didirikan di perbatasan negara tersebut adalah baitul maks (rumah cukai – kastam
pada masa kini). Cukai dari komoditi tersebut adalah berupa wang yang dipungut
dari penjual di pasar-pasar atau item tertentu yang diambil oleh para pegawai
negara dari penjualan komoditi-komoditi tertentu atau semasa komoditi tersebut
memasuki kota. Bentuk jamak dari perkataan maks
adalah mukus. Dalam bahasa Arab
disebut makasa yang bermaksud jaba mal al-maksi (memungut cukai). Jadi
maks bermaksud levi yang dikenakan ke atas barang perdagangan. Pengharaman
terhadap aktiviti percukaian di dalam Islam adalah umum yang merangkumi umat
Islam dan juga ahlu zimmah (orang kafir yang menjadi warganegara Khilafah).
Hujah Orang yang Membenarkan Cukai
Ada
pihak yang berhujah bahawa boleh mengenakan cukai ke atas kafir zimmi atau
kafir harbi secara mutlak berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Ubaid.
Memang ada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Ubaid di dalam kitabnya al-Amwal.
Hadith tersebut berbunyi, dari Harb al-Tsaqafi dari datuknya (yakni ayah
ibunya) dari Nabi SAW bahawa baginda bersabda, “Tidaklah wajib atas kaum Muslimin usyur. Usyur hanyalah kewajipan atas
orang-orang Yahudi dan Nasrani.” [HR Abu Ubaid]. Sesungguhnya hadith ini
melalui diriwayatkan melalui tiga jalur. Di antaranya ada dua jalur yang
diriwayatkan dari orang yang majhul (tidak dikenali/ tidak jelas). Satu jalur
adalah riwayat dari Harb bin Abdullah al-Tsaqafi yang telah meriwayatkan hadith
tersebut dari datuknya sedangkan di sana para perawi hadith tersebut tidak
pernah mengatakan apa-apa. Mereka diam terhadap masalah tersebut.
Selain
itu, hadith tersebut tidak diambil oleh seorang yang mujtahid pun. Tidak ada
seorang pun dari mereka yang menggunakannya sebagai dalil baik dari pihak yang
mengatakan ketidakbolehan mengambil pungutan tersebut mahupun dari pihak yang
mengatakan kewajipan mengutip cukai 1/40 dari komoditi ahlu zimmah sebagai
polisi politik. Sekiranya hadith tersebut benar menurut mereka sudah pasti
mereka akan menggunakannya dan memakai hadith tersebut sebagai dalil. Dalam hal
ini tiada seorang pun yang menyatakan kesahihan hadith tersebut.
Walaupun
nas-nas di atas sangat jelas mengharamkan maks (cukai) ke atas muslim dan ahlu
zimmah, namun ada pihak yang dengan beraninya berhujah bahawa cukai boleh
dikenakan ke atas Muslim dan ahlu zimmah. Antara hujah yang paling banyak
digunakan oleh mereka adalah tindakan Khalifah Umara l-Khattab yang mengenakan
cukai ke atas Muslim dan non-Muslim. Mereka berhujah bahawa Umar r.a pernah
mengenakan cukai sebanyak 1/40 terhadap komoditi Muslim, 1/20 dari komoditi
ahlu zimmah dan 1/10 dari komoditi kafir harb.
Merungkai Kekeliruan Mengenai
Umar al-Khattab ra.
Mengenai
riwayat yang mengatakan bahawa Khalifah Umar r.a mengenakan usyur 1/40 ke atas
Muslim, 1/20 ke atas ahlu zimmah dan 1/40 ke atas kafir harbi, hal ini perlu
difahami dengan benar kerana ia ada kaitan dengan hukum perdagangan yang
dijalankan oleh Muslim dan dan hubungannya dengan ahlu zimmah dan kafir harbi.
Mengenai cukai yang dikenakan ke atas Muslim dan ahlu zimmah, telah jelas dan
terang akan nas-nas dan dalil yang terdapat di dalam al-Quran serta al-Hadith
tentang pengharamannya. Dan jika kita memiliki akal fikiran yang waras, tidak
mungkin seorang khalifah yang juga sahabat nabi SAW akan melakukan perkara yang
diharamkan Allah dan RasulNya. Sementelah beliau adalah sahabat yang telah
dijanjikan syurga oleh Allah melalui Baginda Rasulullah SAW. Dan juga tidak
mungkin para sahabat yang berada di sekelilingnya akan membiarkan jika Umar
melakukan perkara yang ditegah dan dilarang dalam Islam.
Sebenarnya,
apa yang dikenakan oleh Khalifah Umar r.a ke atas umat Muslim itu adalah
merupakan zakat yang wajib dikeluarkan ke atas setiap harta/komoditi perniagaan
yang dijalankan. Dan apa yang diambil dari kafir harbi itu adalah suatu
keharusan yang tidak dimestikan selayaknya sebagaimana yang kerajaan mereka
kenakan ke atas barang dagangan umat Muslim jika melalui perbatasan mereka.
Juga mengenai hal yang sama dilakukan ke atas ahlu zimmah pula tidak lain
hanyalah sebahagian dari persetujuan dalam perjanjian damai yang perlu mereka
berikan mengikut terma perjanjian yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah
pihak. Atau lebih tepat lagi yang dikatakan oleh mereka yang menyokong
percukaian ke atas ahlu zimmah itu sebenarnya adalah kadar jizyah yang telah
ditetapkan dan semestinya dibenarkan oleh syarak selama mana mereka tidak
melanggari terma perjanjian damai tersebut.
Abu
Ubaid menjelaskan dalam kitabnya, “Apa yang aku sukar fahami adalah berkaitan
pungutan 1/20 oleh Umar ke atas ahlu zimmah. Jadi aku katakan bahawa mereka itu
bukan Islam, kerana di dalam Islam, jika mereka adalah orang Islam, sudah tentu
boleh dipungut sedekah (zakat). Mereka juga bukan penduduk Darul Kufur yang
membolehkan kita pungut dari mereka jumlah yang sepadan sebagaimana yang mereka
pungut dari kita. Jadi aku tidak tahu (harta) apakah itu sehingga aku mengkaji
hadithnya, barulah aku mendapati bahawa beliau (Umar) sebenarnya telah
memeterai perjanjian damai dengan mereka atas syarat ini (iaitu untuk mereka
membayar 1/20 usyur) sebagai tambahan kepada jizyah juga kharaj atas
tanah-tanah yang ada.”
Itu
berkaitan dengan pedagang Muslim atau ahlu zimmah. Adapun yang berkaitan dengan
pedagang kafir mu’ahid (kafir dari negara kufur yang ada perjanjian dengan
negara Khilafah), maka boleh dipungut harta sesuai dengan apa yang dinyatakan
dalam perjanjian antara kita dan mereka. Jika perjanjian tersebut membebaskan
mu’ahid dari usyur masuk, maka mu’ahid berkenaan tidak perlu membayar apa-apa.
Jika naskhah perjanjian menyataka jumlah tertentu (yang perlu dibayar) maka
jumlah tersebut hendaklah dipungut dari mereka. Jadi kesimpulannya, pedagang
kafir mu’ahid dikenakan usyur sesuai dengan apa yang dinyatakan oleh naskhah
perjanjian yang dimeterai oleh Darul Islam dan Darul Kufur yang menjadi tempat
tinggal mereka.
Ada
pun ketentuan bagi pedagang kafir harbi sebenarnya, kita akan memungut usyur
masuk daripada pedagang tersebut sesuai dengan apa yang dipungut daripada pedagang
kita di negaranya. Jadi, jika ada seorang pedagang kafir harbi masuk ke negara
kita dengan izin masuk khusus (pasport atau visa) maka kita memungut usyur
sebanyak mana yang mereka pungut dari pedagang negara Islam (baik pedagang itu
Muslim atau ahlu zimmah).
Hal
ini bersandarkan riwayat dari Abu Mujlis Lahiq bin Humaid yang mengatakan,
‘Mereka bertanya kepada Umar, “Bagaimana kita harus memungut dari ahlu harbi
(warganegara Darul Kufur) jika mereka memasuki wilayah kita?” Umar menjawab,
“Bagaimana mereka memungut dari kalian jika kalian memasuki wilayah mereka?”
Mereka menjawab, “(Mereka memungut usyur )1/10.” Lalu Umar pun berkata, “Kalau
begitu, sebesar itu pula kalian memungut dari mereka.” [Hadith ini disebut oleh
Ibnu Qudamah
Sumber : Sautun Nahdhah Bil: SN372, 3 Safar 1435H/ 6 Disember 2013, bertajuk "Benarkah Umar al-Khattab Mengenakan Cukai ke Atas Rakyat."
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wassalam...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan