Cari Blog Ini

Khamis, 17 Disember 2009

KERJA : TEORI ATAU PRAKTIKAL – YANG MANA SATU DIUTAMAKAN

Awal pagi tadi aku sempat membuka Youtube untuk mencari-cari siaran Suara Siswa yang dipostkan oleh hamba-hamba Allah yang mau share something bermanfaat untuk kita semua. Ingatkan ada la yang latest. Sekali tak ada la pulak. Aku pun buka la satu. Yang aku kira dalam dua bulan lepas ke kalo tak salah.

Maka topik di atas pun menjadi tajuk blog aku ni. Apakah yang kita gunapakai dalam sistem kerja kita di Malaysia? Teori yang dipelajari di Universiti ataupun sekadar praktikal sahaja? Benarkan suasana kerja kita di Malaysia tidak menggalakkan suasana pembelajaran yang benar-benar mengikut teori yang telah dipelajari bertahun lamanya di peringkat Universiti?

Pada hakikatnya, suasana persekitaran kerja di Malaysia memerlukan tenaga mahir yang mempunyai kelulusan setaraf dengan kerja yang dilakukan. Pun begitu, kebanyakan syarikat swasta di negara ini masih lagi mengutamakan pengalaman kerja berbanding kelulusan yang dimiliki seseorang. Jika kita lihat, iklan-iklan pekerjaan di dalam akhbar rata-rata menghendaki seseorang itu sekurang-kurangnya mempunyai pengalaman kerja selama dua tahun dalam bidang kerja yang ditawarkan. Sebagai contoh, sebuah syarikat swasta yang mengiklankan beberapa jawatan kosong di dada akhbar. Salah satu dari jawatan itu adalah Site Supervisor. Antara syarat yang dikemukakan adalah seseorang itu mestilah berumur tidak kurang 18 tahun. Warnagegara Malaysia. Mempunyai diploma dalam Kejuruteraan. Pengalaman kerja sekurang-kurangnya 2 tahun.

Nah. Anda lihat. Di mana kedudukan fresh graduate? Keadaan ni la yang sebenarnya merunsingkan para mahasiswa. Walaupun saya adalah bekas graduan dari IPTA, tapi saya melihat fenomena ni suatu yang serius dan perlu kepada penyelesaian segera. Jika tidak, kadar pengangguran di negara ini akan terus meningkat dari semasa ke semasa.

Pun begitu, beberapa inisiatif kerajaan untuk mengurangkan kadar pengangguran perlu dipuji. Melalui beberapa skim berbentuk latihan keusahawanan & bantuan modal seperti Skim Usahawan Muda dan sebagainya, ia sedikit sebanyak mampu memberi inisiatif kepada graduan untuk memilih sama ada mau mencari pekerjaan di syarikat2, mahupun kerajaan sendiri atau pun berkecimpung dalam industri keusahawanan.

Selain itu, dengan adanya beberapa syarikat pengiklanan jawatan kosong seperti JobsDB, JobStreet, Kareer & sebagainya, ia sedikit sebanyak mampu memberi peluang kepada siswazah dan graduan untuk mencari kerja yang bersesuaian dengan ijazah yang mereka ada. Ini merupakan inisiatif sendiri untuk mencari kerja yang sesuai.

Dan untuk itu, pihak universiti2 awam juga sering mengadakan pameran & acara seperti 'Convo Job Shop' sebagai inisiatif pihak mereka dalam mencarikan peluang pekerjaan kepada siswazah2 mereka yang baru tamat pengajian. Dan syarat2 yang dikenakan juga kini lebih terbuka. Kebanyakan pekerjaan yang ditawarkan sememangnya tidak meletakaan pengalaman kerja sebagai prasyarat. Sebaliknya graduan yang baru tamat pengajian mereka juga boleh memohon.

Itu baru keadaan sewaktu mahu mencari kerja. Bila berada dalam suasana pekerjaan pula, kadang kala situasinya jauh berbeza dengan keadaan sewaktu menuntut di universiti dahulu. Namun, ia mengikut pekerjaan yang dilakukan. Ada juga suasana pekerjaannya tidak banyak berbeza dengan persekitaran pembelajaran. Apa yang pasti, alam pekerjaan adalah suatu cabaran baru yang harus ditempuh oleh graduan.

Dalam pekerjaan yang lari dari kursus yang pernah diambil dahulu, seseorang graduan perlu lagi memulakan proses pelajaran semula. Ini bermakna dia perlu menjalani semula satu tempoh pelajaran untuk memahami tentang pekerjaan yang perlu dijalankan. Sedangkan kehidupan ini jua adalah satu proses pelajaran. Maka, ia adalah sesuatu yang biasa. Cara-cara mengendalikan kerja akan diajarkan oleh tenaga kerja yang berpengalaman bagi membolehkan graduan atau pekerja baru itu tau akan bidang tugasnya.

Pun begitu, terdapat juga segelintir manusia atau golongan yang suka mengambil kesempatan terhadap orang lain. Mereka ini akan cuba untuk membuli pekerja baru melakukan sesuatu kerja yang bukan bidang tugas yang ditetapkan seperti melakukan kerja yang sepatutnya dilakukan oleh orang lain. Budaya buli wujud bukan saja di sekolah, malah ia turut menular di dalam sektor pekerjaan. Jadi, seorang graduan perlu menempuhnya. Dan diharapkan nanti, dia tidak akan melakukan budaya yang sama seolah2 mau membalas dendam terhadap perbuatan rakan sekerjanya satu masa dulu.

Bagi mereka yang bekerja dalam bidang yang dipelajari, ia merupakan satu kredit untuk anda. Apa yang anda pelajari selama ini merupakan satu pelaburan yang berbaloi dan tidak disia-siakan begitu saja. Pun begitu, proses pelajaran tetap berlaku. Terkadang, apa yang kita pelajari di universiti itu tidak sesempurna mana. Tidak semuanya kita pelajari. Dan di alam pekerjaan inilah kita akan belajar semula akan apa yang pernah dipelajari di universiti dulu. Proses pelajaran semula ini amat penting dalam mengendalikan sesuatu pekerjaan itu. Sebagai contohnya, saya belajar dalam bidang Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan bekerja dalam bidang yang sama. Sewaktu belajar dahulu, kebanyakannya merupakan teori2 yang memeningkan kepala. Dan apabila berkecimpung dalam dunia pekerjaan, perkara2 teori ini turut sama saya bawa dan digunapakai. Beberapa penambahan berkenaan dengan software turut didedahkan. Sewaktu belajar dahulu, software seperti MapInfo dan ArcGIS hanyalah didedahakn secara teori sedikit dan praktikal sedikit. Namun, apabila bekerja, pendedahan itu semakin mendalam. Dan fungsi sebenar software itu baru diketahui sewaktu bekerja. Jadi, proses pelajaran juga berlaku.

Jadi, untuk tajuk di atas, teori dan praktikal itu adalah seiring. Namun begitu, ia bergantung terhadap sejauh mana ia digunapakai dalam arena pekerjaan kita. Walau apa pun bidang kerja kita, proses pelajaran tetap akan berlaku juga. Ini sinonim dengan sabda baginda Nabi Muhammad SAW bahawa kehidupan itu adalah satu pelajaran. Sabdanya, "menuntutlah ilmu dari buaian ke liang lahad." Sangat bertepatan dengan kehidupan merupakan satu pelajaran. Tinggal kita saja yang mau menyerap pelajaran itu bagaimana.

Tiada ulasan: