Cari Blog Ini

Khamis, 5 Februari 2009

Fenomena Politik Abad Melenium


Semalam merupakan sejarah yang akan terus diingat dalam peradaban politik Malaysia. Menteri Besar Pakatan Rakyat (PR) negeri Perak, Datuk Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak berikutan empat orang wakil rakyat dari kerajaan PR telah keluar parti. Mereka adalah ADUN Behrang, Jamaluddun Mohd Radzi (PKR), ADUN Changkat Jering, Mohd Osman Jailu (PKR), ADUN Jelapang, Hee Yit Fong (DAP), dan ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim. Paling mengejutkan adalah ADUN Bota, yang seminggu lalu melompat ke parti PKR berikutan kecewa dengan apa yang berlaku dalam UMNO sekarang ini. Berikutan itu, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perak, Tan Sri Tajol Rosli Mohd Ghazali meletakkan jawatannya sebagai pengerusi berkuatkuasa serta merta. Pun begitu, seminggu selepas itu, Datuk Nasarudin telah kembali ke pangkuan UMNO semula apabila melihat dua orang ADUN PKR yang juga merupakan EXCO kerajaan negeri bertindak keluar parti. Perbuatannya ini boleh diibaratkan sebagai lalang yang sentiasa bergoyang mengikut arah angin.

Melihatkan keadaan semasa ini, aku terpanggil untuk menulis. Ku kira sudah sampai waktunya rakyat bangkit menyuarakan apa yang mereka pendam selama ini. Aku yakin, pasti ramai yang sudah jelak dengan gelagat pemimpin@wakil rakyat Malaysia waktu ini. Sudah tiada lagi pemimpin yang benar-benar berwibawa yang boleh disanjung dan dicontohi kala ini. Aku sendiri hampa dengan keadaan yang berlaku sekarang. Bayangkan, sejak dari Pilihan Raya Umum ke-13 Mac 2008 lalu, sehingga kini, setiap dari ahli politik kita ini tidak habis-habis membuat kenyataan-kenyataan yang kontroversi dan menyakitkan hati. Ada yang benar, tak kurang juga yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dan menimbulkan ketegangan antara kedua-dua belah pihak. Kemenangan PR di lima buah negeri memperlihatkan akan kepincangan politik nasional kita. BN-UMNO kepanasan punggung dan hati lantaran dihentam oleh kawan dan lawan. Apa tidaknya, kebanyakan dari pemmpin parti komponen BN menekan dan mempersalahkan UMNO atas kekalahan di lima buah negeri ini sehingga memaksa Pak Lah melakukan pelan peralihan kuasa yang aku kira tak pernah berlaku dalam sejarah UMNO. Padahal kalau nak diikutkan, UMNO masih lagi menang di banyak kawasan yang ditandingi dan kebanyakan pemimpin tertinggi parti komponen BN sebenarnya yang kalah. Tapi, memang lumrahnya orang kalau dah kalah, ada saja yang nak disalahkan. Orang sebegini takkan pernah untuk mengakui kelemahan dan kesilapan sendiri kerana menganggap ia satu tindakan bodoh dan memalukan.

Kepincangan ini sebenarnya bukan pertama kali berlaku dalam sejarah Malaysia kita. Sebelum ini ia pernah berlaku di era pemerintahan Tunku Abdul Rahman pada tahun 1970 di mana ia terjadi apabila peristiwa hitam 13 Mei 1969. Pada waktu itu, Negara menjadi huru hara sehingga diperintah darurat. Dan pada PRU di tahun berikutnya, Parti Perikatan kalah teruk di beberapa negeri dan Selangor diperintah oleh sebuah pakatan wakil rakyat bebas dan beberapa wakil rakyat dari bukat Parti Perikatan. Dan ia mengakibatkan Tunku meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Kemudian, pada tahun 1998, sewaktu UMNO berada pada tahap krisis yang kritikal sehingga menyebabkan Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri, sehingga beliau menjadi ikon pemuda yang mahu reformasi dilakukan ke dalam pemerintahan Malaysia. Rusuhan anti kerajaan yang didalangi oleh gerakan pemuda dan mahasiswa menyebabkan Malaysia sekali lagi bergolak. Namun, ia masih lagi terkawal dan bukan macam di beberapa Negara luar seperti Thailand dan Indonesia. Anwar Ibrahim menjadi idola pemuda Negara lantaran karisma yang ditonjolkan. Namun, benarkah dia beekarisma tinggi seperti mana yang diperlihatkan kepada rakyat khususnya golongan muda? Itu satu persoalan yang harus dijawab sendiri oleh anda semua. Ramai yang bersimpati dengan nasibnya sehinggakan tertubuhnya Parti keADILan. Pada PRU 11 tahun 1998, sekali lagi BN kalah dibeberapa buah negeri. Ia adalah di Kedah, Kelantan dan Terengganu. Pun begitu, BN masih menang dengan majority 2/3 bagi membentuk kerajaan di peringkat pusat. Tun Mahathir yang menjadi PM waktu itu tidak pernah dipersoalkan oleh sesiapa pun walau BN kalah di tiga buah negeri. Semua parti komponen masih lagi mempercayainya. Pun begitu, UMNO-BN kembali gemilang pada tahun 2004 di mana BN menang di kesemua negeri kecuali Kelantan. Pun begitu, keadaan di kerajaan Kelantan pimpinan PAS waktu itu bagai nyawa di hujung tanduk di mana kerusi DUN BN dan BA (Barisan Alternatif) adalah seimbang. PAS hanya mempunyai kelebihan satu kerusi berbanding BN. Pun begitu, ia masih bertahan sehingga PRU 12 Mac lalu.

Jika disoroti kembali sejak kebelakangan ini, satu yang aku dapat simpulkan. Bila mana Sultan@raja@Yg Dipertuan Agong hanya berkuasa terhadap hal-hal berkaitan dengan istiadat Melayu atau lebih tepat lagi, mereka ini hanya menjadi symbol tanpa memainkan peranan yang besar dalam Negara, inilah yang bakal berlaku. Sehingga ke suatu tahap menteri yang berkuasa terhadap pemerintahan negeri dan Negara melangkaui bidangnya sehingga sanggup membelakangkan kuasa raja seperti mana yang berlaku di Perak semalam. Pada aku, sepatutnya YAB MB perlu terlebih dahulu mendapatkan perkenan Sultan Azlan Shah untuk membubarkan DUN kerana ia adalah kuasa beliau. Namun, sebagaimana yang dlaporkan media, MB telah bertindak terkehadapan sedikit dan setelah itu baru meminta perkenan dari sultan yang ku kira satu tindakan kurang bijak.

Banyak peristiwa yang berlaku di dalam Negara ini yang menyebabkan kepercayaan rakyat kepada pemimpin semakin terhakis. Rakyat Malaysia khususnya Melayu begitu jelak dengan gelagat sesetengah pemimpin yang tak habis-habis melakukan sesuatu tindakan yang membelakangkan rakyat. Golongan muda lebih-lebih lagi begitu bosan dengan keadaan yang berlaku sekarang. Banyak pihak mahukan pembaharuan pada kepimpinan kini. Apakah Negara kita benar-benar ketandusan pemimpin yang berwibawa? Apa akan jadi pada Negara akhirnya nanti? Aku sendiri pun tak tahu.

Di sini aku ingin membuat satu gesaan agar Majlis Raja-raja Melayu kembali diperkukuhkan. Mulai hari ini, sebagai kepala negeri, buatlah sesuatu agar keadilan dan kerajaan yang diperintah tak kiralah dari BN atau PR benar-benar telus dalam membantu rakyat. Bukannya pemimpin yang hanya mahu mengenyangkan perut sendiri apabila menjadi pemimpin. Satu lagi, aku harap lepas ni, tak ada lagi pemimpin yang macam lalang, tak ada pendirian. Kalau kau betul-betul pemimpin sejati, tolong la jangan buat macam ni. Aku yang rakyat biasa ni pun naik menyampah. Itu bukan tidakan mempertahankan rakyat, itu tindakan nak selamatkan diri sendiri dan nak kenyangkan tembolok sendiri. Pikirlah, korang yang jadi pemimpin akan ditanya di akhirat kelak akan apa yang telah korang buat masa jadi pemimpin dulu. Kalo sangkut, alamat api nerakalah yang lebih layak bagi kamu. Ingat, kita ni bukan akau hidup selamanya. Akhirnya akan jadi makanan cacing dan ulat gak. Bertaubatlah kamu sebelum malaikat Izrail datang memanggil.
wallahu a'alam...

Tiada ulasan: