Cari Blog Ini

Rabu, 31 Disember 2008

RITMA KEHIDUPAN

2

PAGI ini, udara terasa nyaman. Segarnya dapat terasa pada kedinginan embun pagi. Sejuknya menusuk hingga ke tulang sum-sum. Dia masih lagi membaca akhbar pagi itu. Akhbar Berita Harian menjadi bacaan rutinnya pada setiap pagi sebelum memulakan tugas. Sudah sedekad lebih dia menjadi pembaca setia pada akhbar ini. Ya. Sedekad lebih sudah. Dia juga masih lagi tetap membaca walau harganya kian naik. Masih tetap membaca.

Bip... bip... bunyi mesej masuk ke ruang peti masuk telefon bimbitnya. Dia agak basi-basi membuka mesej itu. Dia tersenyum sendirian. Insan itu menghantarkan mesej ikonik yang melucukan. Demi menghibur dirinya. Tertera gambar tikus, ikan, monyet, dan badak. Tertera tulisan;

Mereka Semua Rindukan Awak. Tolong la Balik Semula ke Zoo. Huhuhu...


Senyuman pagi yang menceriakan hidup. Senyuman dari seorang insan yang pernah hampir hilang harapan kerana terputus ikatan cinta manusiawi. Namun, segalanya berubah setelah itu. Setelah dia menemui semula rasa dan pedoman hidup. Dengan izin Zat Yang Maha Kuasa, dia diberi peluang ketiga untuk kembali pada-Nya. Allah masih menyayangi dirinya. Dia diberi ilham untuk mencari sebuah laman web yang indah. Indah dengan ukhwah dan mahabbah illa Allah. Laman yang dapat mendidik dan membimbing jiwa ke arah keredhaan Rabbul ‘alamin. Dan melalui laman ini jualah dia dipertemukan dengan insan itu. Sehingga kini, masih utuh ikatan persahabatan yang dibina hampir tiga tahun. Tanpa ada cinta manusiawi dan duniawi. Cinta mereka adalah cinta sahabat yang bersulamkan kecintaan yang kukuh terhadap Zat Yang Maha Esa.

Dia bergegas menulis khidmat pesanan ringkas. Dia telah bulatkan tekadnya. Dia perlu segera memberitahunya. Lantas sms itu ditaip dengan pantas, tanpa ada rasa ragu.

saya telah fikir dengan sedalamnya. Saya telah buat keputusan...

Dia menekan butang hantar. Setelah itu, menunggu balasan dari pesana yang dihantar dengan penuh debar. Adakah insan itu akan sudi untuk menerima tekadnya itu. Dia tidak pasti.

APA YANG TELAH AWAK PUTUSKAN...

SAYA TELAH PUTUSKAN UNTUK... MEMETIK BUNGA DI TAMAN...

SAYA TAK FAHAM... CAN YOU JUST STRICT TO THE POINT...

SAYA TELAH MEMBUAT KEPUTUSAN UNTUK MELAMAR SESEORANG...

TAPI TAK TAU SAMADA DIA SETUJU ATAU TIDAK...

SIAPA?

HMMM... AWAK KENAL ORANGNYA...

SIAPA?

ORANG TU DEKAT DENGAN AWAK...

BOLEH TAK AWAK BERTERUS TERANG? SAYA RIMAS DAN RESAH sebegini.

BAIKLAH KALAU BEGITU. SAYA NAK MELAMAR AWAK. AWAK SETUJU TAK?

Buat seketika, keadaan sunyi sepi. Dia tak keruan dengan suasana itu. Dia inginkan kepastian dari insan itu. Resahnya menjadi-jadi. Segera ditekan punat telefon bimbitnya dan menghantar pesanan ringkas.

BAGAIMANA? MASIH BERFIKIR?

MMM... SAYA SERAHKAN KEPADA ALLAH. AWAK DATANG SAJA KE

RUMAH. BIAR ORANG TUA SAJA YANG BINCANGKAN. KITA MOHON

PADANYA AGAR IA MENJODOHKAN KITA.

KIRANYA AWAK SETUJU?

YA. SERAHKAN PADA YANG LEBIH TUA.

Alhamdulillah... dia bersyukur kerana telah dipermudahkan Allah akan urusan ini. Dan dia menuju ke bilik air mengambil wudhu’. Matanya berkaca. Dia terharu kerana saatnya telah tiba. Dia harus segera memberitahu akan hal itu kepada ibu dan bapanya. Air wudhu’ itu serasa damai. Sejuk menusuk kalbunya. Meresap ke dalam jiwanya. Kalimah Allah menerawang dan membekas dalam fikiran, serta lubuk sanubari.

Dia mengambil ketayap putih pemberian nenda sewaktu menunaikan umrah tiga tahun lalu. Waktu itu, dia masih lagi bekerja sebagai Pegawai Sistem Maklumat Geografi (GIS – Geographical Information System) di Pusat R & D, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam. Dia masih ingat, waktu itu, dia mengambil cuti kecemasan dan pulang sendirian dengan menaiki kereta jenama Atoz, dari sahabatnya, Aminuddin.

Dia bersolat sunat wudhu’, diikuti solat sunat syukur, dan kemudian solat sunat hajat memohon agar dipermudahkan jalan baginya membina mahligai bahagia demi cinta pada Tuhan Yang Satu. ‘Ya Allah, kau permudahkanlah urusanku ini. Kau berilah petunjuk pada kedua ayah bondaku agar mereka menerima akan hajatku ini. Aku mohon ya Allah, Ya Rabbul Izzati. Moga kedua ayah bondanya jua menerima akan pelamaranku ini. Moga semuanya berjalan lancar. Amiin, ya Rabbal ‘Alamiin..’

Setelah itu, dia menekup muka hingga ke dada. Dia melangkah menuju ayah dan bondanya. Dia menarik nafas dalam-dalam. Dia tidak terus berkata. Sebaliknya hanya merenung pada ayah bonda dengan penuh harap.

“Lain benar renungan kau, Johan. Mesti ada hal ni.” Ayah memula bicara. Dia masih lagi membisu.

“Kalau kau ada hajat, beritahulah kami. Senang kami uruskannya.” Ibu pula menyampuk. Dia menarik nafas dalam untuk meluahkan hajatnya itu.

“Ibu, Ayah, saya dah buat keputusan. Saya takkan berpatah arah. Tekad saya telah bulatkan. Saya ingin menikah..” mendatar saja kata-katanya. Tapi, penuh dengan makna.

“Benar kau telah nekad? Ayah tak mahu kau berpatah arah sebelum tiba harinya. Malu keluarga kita nanti.”

“Benar, ayah. Keputusan saya muktamad. No turning back.”

“Macam mana ni, ayahnya? Saya ni ikut saja keputusan awak.”

“Kau nak menikah dengan siapa? Kau telah ada calonnya? Kalau kau belum, ayah boleh carikan. Ada juga anak kawan ayah tu yang masih bujang, kalau kau mahu.”

“Soal calon, ayah tak perlu risaukan. Duit, segala perbelanjaan juga tak perlu ayah khuatir. Saya kira, wang saya sudah cukup untuk belanja perkahwinan dan kenduri walimahnya sekali. Ayah hanya perlu setuju atau tidak saja.”

“Siapa? Dengan si Fatimah yang selalu kau sebut itu ke?”

“Insyaallah, ayah. Bagaimana?”

“Andai wanita itu pilihan kau, ayah tak kisah. Dari apa yang kau pernah katakan, pada ayah, dia memang calon selayaknya bagi dirimu, anakku. Moga dia akan menjadi isteri yang solehah yang bisa melahirkan zuriat pembela agama dan nusa ini.”

“Syukurlah andai begitu telah suratannya. Bila kau mahu ke sana?” ujar ibunya.

Dia menadah tangan ke langit tanda syukur bahawa doanya termakbul. Tinggal tarikh untuk ke sana belum ditetapkan.

“Saya fikir elok saja kita pergi pada hujung minggu ni. Saya akan mohon cuti pada hari jumaat hingga isnin ini. Mudah sedikit urusannya.”

Tidak sabar rasanya untuk bersua dengan insan itu. Adiknya yang bongsu juga tidak sabar-sabar mahu bercuti. Memang sudah lama keluarga mereka tidak bercuti. Setelah menghantar adiknya, Zuhairi ke Kedah kerana melanjutkan pengajian di Kolej Tentera Udara berdekatan dengan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Kepala Batas, mereka sekeluarga tidak pernah mengadakan percutian ke mana-mana. Sebab itu jualah adiknya yang kecil sekali itu begitu teruja.

Hari Jumaat, bersamaan dengan 24 Jun 2010, mereka sekeluarga telah bertolak ke negeri sang penyu, Terengganu Darul Iman. Johan amat berdebar sewaktu memandu. Bapa di sebelah menenangkan jiwanya. Dia hanya banyak membisu sambil tasbih dan zikir tidak lekang dari bibirnya. Ia sentiasa basah dengan kalimatullah. Nasib baik dia telah mengambil alamat insan itu sebelum berangkat.berbekalkan alamat dan alat Global Positioning System (GPS) keretanya, dia memandu mengikut panduan arah alat itu. Syukurlah. Dengan adanya kecanggihan teknologi terkini, dia tidak perlu risau lagi. Langkah kerajaan mahu mewajibkan setiap kenderaan di negara ini dipasang dengan alat GPS adalah satu langkah yang dia kira amat tepat. Ini kerana kadar kemalangan yang tinggi di negara ini juga berpunca dari sikap pemandu yang lalai dalam aspek perancangan perjalanan dan pengurusan kenderaan. Sebelum bertolak, dia telah memastikan kederaannya diservis dengan baik di bengkel Zaki milik sahabatnya. Segala peralatan kereta yang perlu diganti telah diganti. Kini, dia dalam perjalanan.

Dia rasakan seolah-olah bermimpi sahaja akan memandu ke negeri angin lalu itu. Seolah-olah terawang-awangan. Namun, dia tidak bermimpi. Inilah realitinya. Dengan memandu 90 kilometer perjam, dia menggunakan laluan kedua di lebuhraya.

Kereta Toyota Wish miliknya meluncur laju di lebuhraya.kereta yang dibeli dengan harga 60 ribu ringgit dengan menukar beli kereta Perodua Kenari miliknya dahulu pada tahun lepas. Ia adalah hasil dari wang simpanan hasil dari pengusahaan penanaman serai peha ayam dan serai wangi yang diusahakan di atas tapak rumah abangnya. Selain itu, dia dan keluarga juga berjaya menjadi pengusaha ternakan ikan keli dalam kanvas dengan purata pendapatan mencecah puluhan ribuan ringgit di mana modal yang dipinjamkan dari bank juga telah dapat dilangsaikan tidak sampai dua tahun mengusahakan perusahaannya. Namun, tugasan selaku Pegawai GIS Daerah Sabak Bernam masih tetap diteruskan kerana minatnya terhadap bidang ini. Pada waktu ini juga, dia telah berjaya untuk menamatkan pengajian jarak jauh secara elektronik (e-PJJ) tidak sampai empat tahun seperti kebiasaan penuntut jarak jauh sepertinya. Dia hanya mengambil masa tiga tahun untuk menghabiskan Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan Remote Sensing di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor Darul Takzim. Dia juga menjadi salah seorang penuntut cemerlang kerana berjaya menghabiskan pengajian kurang setahun dari masa yang ditetapkan dengan cemerlang. Dia akan menghadiri sidang Konvokesyen UTM pada tahun hadapan iaitu pada bulan Mei.

Alat GPS menunjukkan destinasi yang dituju adalah kurang 20 kilometer sahaja lagi. Dia mengambil telefon dan mendail nombor telefon insan itu. Dia menggunakan alat bebas tangan supaya dapat fokus terhadap pemanduan sambil mengurangkan kelajuan. Dia hanya menyampaikan bahawa dia telah hampir.

Kini dia telah pun tiba di rumah insan itu. Salam disambut dari tuan rumah. Mereka dijemput masuk. Dia hanya membisu sambil muka tertunduk ke lantai. Membisu seribu bahasa. Sesekali mata mereka bertemu pada satu titik. Insan itu hanya tertunduk sambil di bibir mengulum senyum. Bagai bergembira dengan hari indah yang bakal tiba. Mereka seolah berdialog. Tanpa bicara bibir. Namun, mereka berbicara dengan bahasa hati. Dengan tautan hati.

Kata telah disepakati. Majlis akad nikah akan dilangsung pada 10 Oktober. Bertepatan dengan tarikh pilihannya seperti mana yang telah dimaklumkan pada bapa.

Sebelum bertolak pulang, sekali lagi mata dua insan ajnabi itu bertembung. Agak lama. Namun, setelah itu mereka memandang ke arah lain. Hatinya bermonolog. Bagai berdialog.

‘Apa perasaanmu? Dapat kau rasai akan debarannya?’

‘Ya. Memang begitulah. Kau pula?’

‘Aku jua merasakan debaran itu. Keputusan yang kupilih ini bakal merubah hidupku seluruhnya.’

‘Kau menyesal akan keputusanmu?’

‘Tidak. Bahkan aku amat beruntung.’

‘Beruntung? Maksudmu?’

‘Ya. Beruntung kerana berjaya memiliki cintamu.’

‘Jangan terlalu yakin. Kau perlu ingat akan tujuan akad ini nanti. Bukan sekadar tuntutan nafsu perlu dilunasi, tuntutan agama yang lebih utama. Kau perlu ingat itu.’

‘Ya aku tahu. Tapi rasa beruntung itu memang ku rasakannya. Malah bertambah rasa itu. Thanks for that note. I’m appreciate it.

‘Tak perlu berterima kasih denganku. Syukurlah pada Dia kerana Dia lah yang telah mempertemu kita berdua.’

‘Ya. Kau benar. Ya Allah, aku bersyukur pada-Mu kerana mempertemukan dua hati ini. Ya Allah, satukanlah jiwa kami berdua dalam menyulami cinta-Mu. Janganlah Kau pisahkan hati kami. Andai jannah-Mu yang Kau beri pada kami di hari pembalasan kelak, kau satukanlah semula kami berdua di sana.’

‘Amin, ya Rabbal ‘alamin.’

‘Aku mahu pulang. Doakan keselamatan diriku serta keluarga.’

‘Doaku sentiasa mengiringi dirimu.’

Setelah itu, Johan masuk ke dalam perut kereta. Sebelum berpisah, bakal bapa mentuanya berpesan, “Pandu cermat. Ingatlah orang tersayang. Ingat, kau tu sudah tidak lama lagi mahu menikah. Ingat, orang di sini menunggu.” Dia hanya mampu tersenyum. Merah padam mukanya menahan malu.

“Baiklah, pakcik. Saya akan pandu cermat. Lagi pula, kereta ni bukan ada saya seorang. Penuh kereta ni dengan ayah, ibu, dan adik saya. Terima kasih pakcik atas ingatan pakcik itu. Doakan keselamatan kami.” Dia membalas. Tidak mahu bakal bapa mentuanya melihat akan muka yang merah padam menahan malu. “Saya pulang dulu, pakcik.” Sambil melambaikan tangannya, dia memberi salam, tanda mahu pulang.

Setelah itu, kereta Toyota Wish miliknya semakin mengecil dan menghilang dari pandangan. Insan itu hanya berdiri sambil hatinya berdoa. ‘Ya Allah, Kau selamatkanlah perjalanan bakal suamiku itu. Aku bermohon ya Allah.’ Dia berdoa dalam penuh harapan. Tidak mahu sesuatu menimpa bakal suaminya itu.


BERSAMBUNG...

Tiada ulasan: