Assalamualaikum dan sala
sejahtera kepada semua pembaca blog ini. Dah lama tak update blog ni… Dah
terlalu banyak sawangnya yang mungkin juga dihinggapi pelbagai binatang buas
agaknya… hehe
Dalam entri kali ni, saya ingin
mengulas sedikit berkenaan isu MB Selangor dan juga yang berkaitan dengannya..
Setelah meneliti dan menilai dari
kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh pelbagai pihak termasuk, Parti Keadilan
Rakyat (PKR), Tan Sri Khalid Ibrahim (TSKI), pimpinan Parti Islam Se-Malaysia
(PAS) termasuk kenyataan Mursyidul Amnya, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan
banyak lagi, maka ini adalah merupakan apa yang aku fahami dari apa yang aku
lihat, dengar dan baca.. Ini hanyalah sekadar kenyataan pribadi aku
semata-mata... Mungkin ada kekurangan di mana-mana sudut yang tidak dapat aku
ketahui..
Ia bermula bila Anwar Ibrahim
(DSAI) mengumumkan bahawa isteri beliau, Wan Azizah (DSWA) sebagai calon MB
yang baharu. Ia menimbulkan ketidaksenangan di kalangan ahlinya sendiri dan
juga menyebabkan ramai yang tidak puas hati. Selepas PRK Kajang yang dimenangi
oleh DSWA, aku telah mengesyaki bahawa beliau bakal menjadi MB baharu Selangor.
Dan sebenarnya aku telah agak dari mula “Kajang Move” dimulakan. Bila mana DSAI
mengumumkan dirinya sebagai calon PRK Kajang selepas perletakan mantan ADUNnya.
Percaturan Rafizi Ramli terhadap Kajang Move ini turut mengheret dirinya ke
dalam kemelut dalaman PKR.
Pada awal
tahun lalu, DSAI pernah memberi gambaran bahawa TSKI tidak akan disingkirkan
dari jawatan MB yang dipegangnya sekarang. Namun, segalanya berubah bila Kajang
Move dimulakan dengan mengumumkan DSAI diangkat sebagai calon PRK tersebut.
Bila DSAI disabitkan bersalah dalam kes liwatnya, ini membuatkan beliau hilang
kelayakan untuk menjadi calon. DSWA dicalonkan dan memenangi PRK tersebut
walaupun dengan majoriti yang berkurangan.
Ingatkan
masalah ini hanya berakhir di situ saja, namun ia semakin menampakkan
tanda-tanda keretakan yang semakin ketara. Dan pengumuman DSWA sebagai calon MB
yang baharu semakin memburukkan keadaan.
Dari pihak
pucuk pimpinan tertinggi PKR, mereka meletakkan TSKI sebagai orang yang patut
disingkirkan dari jawatan yang dipegang sekarang. Walau diakui beliau merupakan
MB Selangor paling berjaya dalam sejarah negeri terkaya ini, namun segalanya
tampak berbeza kini. Beliau disabitkan oleh Lembagai Disiplin PKR dan
integritinya diragui.
Dalam
kenyataan balas kepada pucuk pimpinan PAS dan DAP, PKR menyatakan bahawa TSKI
telah mengkhianati partinya dan mempunyai masalah hutang dengan Bank Islam yang
kini telah pun diselesaikan di luar mahkamah walaupun Bank Islam berhak dan
mempunyai kes yang kukuh untuk menang. Segalanya dinyatakan dengan panjang
lebar tentang kesalahan beliau yang dikatakan tidak telus.
Pemeteraian
Penstrukturan Air Selangor dan Perjanjian Langat 2 yang ditandatangani TSKI turut
dipersoal. Ini kerana ia berlaku begitu pantas sedangkan selama ini kerajaan
Selangor bermati-matian menolak usul dari kerajaan Pusat yang menyebabkan
projek Langat 2 yang sepatutnya bermula 2008 tertangguh sehingga 2014.

Kenyataan
media yang dibuat oleh pucuk pimpinan tertinggi PAS yang memohon agar TSKI
dikekalkan sebagai MB menimbulkan lagi kekeliruan dan kekecohan juga keresahan
di kalangan rakyat Malaysia khususnya Selangor. Pimpinan akar umbi PKR dari
beberapa negeri juga turut tidak bersetuju dengan tindakan pucuk pimpinan
mereka yang ingin menukar MB Selangor ini. Beberapa siri kenyataan media sama
ada yang menolak mahupun menyokong tindakan ini dilihat seolah-olah
memperlihatkan masalah dalaman PKR yang begitu meruncing dan tiada kesepakatan
bersama. Terbaru sidang media yang dijalankan oleh Zuraida Kassim selaku orang
kuat PKR negeri bersama Xavier Jayakumar yang berlaku sedikit kekecohan
berikutan kenyataan mulut dan juga bertulis yang tidak seiring menambah lagi
kekalutan. Ada yang mencadangkan Azmin Ali selaku MB.

Kesimpulan
awalnya, dapat dirumuskan bahawa PKR sememangnya mempunyai masalah dalaman yang
serius hinggakan antara ahli MT juga ada yang tidak senada dan selagu. Azmin
Ali selaku Timbalan Presiden dilihat lebih dominan berbanding Presiden DSWA.
Azmin Ali dilihat sebagai lidah nombor 2 dalam PKR selepas DSAI.
Jika benar
TSKI tidak telus seperti mana yang didakwa dalam kenyataan bertulis PKR kepada
PAS dan DAP, maka sewajarnya beliau meletak jawatan dan memberi jalan kepada
orang lain untuk meneruskan tugas-tugas MB Selangor. Dan seharusnya pengganti
beliau itu seorang yang berkelayakan dari segi personaliti, kepimpinan, etika,
dan yang penting jauh dari segala macam kontroversi yang boleh mencalarkan imej
Menteri Besar dan negeri Selangor.
Seharusnya
kemelut yang melanda PKR perlu diselesaikan dengan kadar segera. Apa yang lebih
penting, PKR perlu dilihat sebagai parti yang benar-benar memperjuangkan
keadilan dan tidak dilabel sebagai parti memperjuangkan kroni seperti mana
Barisan Nasional seperti mana yang didakwa mereka. Dan apa yang lebih penting,
PKR tidak dilabel sebagai Parti Keluarga Anwar kerana asal mula parti ini
ditubuhkan adalah selepas DSAI dipecat dari jawatan TPM oleh Tun Mahathir dan
disabit pula kes liwat yang menelanjangkan keperibadian beliau.
Selain itu,
peranan PAS juga wajar dipertimbangkan. Saya tidak mahu melihat lagi kenyataan
yang tidak menunjukkan kesepakatan dalam Pakatan Rakyat (PR) sepertimana yang
berlaku sebelumnya. Shamsul Iskandar Mat Akin dan beberapa lagi pucuk pimpinan
PKR yang sering dilihat cuba menonjolkan diri sebagai lebih hebat dari orang
lain.
Semoga
kesudahan yang baik akan berlaku dalam pemerintahan kerajaan negeri Selangor di
masa akan datang. Itu doa saya. Sekian, wassalam.
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wassalam...