Cari Blog Ini

Jumaat, 1 April 2011

KEHIDUPAN SETELAH BERGELAR SUAMI

Alhamdulillah. Sudah lebih tiga bulan aku bergelar seorang suami. Sejak tarikh itu (19/12/2010), aku dinobat sebagai seorang suami. Bertambah lagi tanggungjawab yang harusku galas. Menjadi seorang suami bukanlah suatu tugas yang mudah ku rasa. Bebanan tanggungjawab yang ditanggung juga amat besar. Apabila sudah bergelar seorang suami, aku perlu bijak dalam menguruskan rumahtangga.

Benarlah kata guruku. “Seorang suami akan diertanggungjawabkan atas dosa2 ahli keluarga di bawahnya. Isteri & anak-anak.”

Sungguh. Walau terasa berat tugas ini, namun dengan adanya sokongan dari isteri, tanggungjawabku kurasakan ringan sedikit. Apatah lagi, isteriku juga sudah bergelar ‘ustazah’, maka beban kewangan juga berkurangan.

Alhamdulillah. Namun, aku tidak seharusnya alpa dengan keadaan ini. Aku perlu member nafkah lahir & batin pada isteri agar keharmonian rumahtangga dapat dikekalkan. Walau sesekali terdapat perselisihan, akan kami sirami usrah ini dengan nur Islam. Oh Allah, moga Engkau permudahkan perjalanan hidup kami & memberikan kami zuriat keturunan yang baik.

Sekarang, aku menetap di Ulu Yam dan berulang alik ke Kajang. Setiap hari akan melalui keadaan jalanraya yang sesak dengan pelbagai jenis kenderaan. Bas, lori, kereta, motosikal dan sebagainya mewarnai rutinku setiap pagi. Dari Ulu Yam, aku akan bertolak seawall jam 0650 pagi, melalui Jalan Sungai Tua, keluar ke kawasan Selayang, dan menuju ke Jalan Kuching. Sekiranya jalanraya kudapati sesak teruk, aku akan keluar dari Jalan Kuching melalui DUKE (Lebuhraya Ulu Kelang), dan memasuki Jalan Duta. Namun, keadaan tetap juga sama. Masih terperangkap dengan kesibukan jalanraya. Aku perlu bersabar dengan keadaan ini. Sehinggalah susur keluar ke Jalan Mahameru, barulah keadaan jalanraya kembali tenang. Keadaan ini kerana ramai orang berpusu-pusu masuk ke KL. Bilamana jalan menghala keuar dari KL, keadaan akan berubah menjadi tenang. Itulah rutinku setiap pagi.

Bilamana waktu pulang, keadaan yang sama akan berlaku. Aliran trafik menghala keluar dari KL akan sesak sementara menghala ke KL pula akan tenang. Walau aku ikut jalanraya mana sekalipun, keadaannya tetap sama. Kesimpulannya, keadaan trafik di KL memang selalu sesak. Lebih-lebih lagi waktu puncak.

Sesampai saja di rumah ibu mertuaku (aku sementara ini tinggal bersama keluarga mentua), isteriku akan menyambut kepulangan. Bilamana melihat wajah isteri, sedikit sebanyak kekusutan yang melanda kepala otakku akan berkurangan. Apatah lagi melihat senyumannya yang menawan. Ops. Terlebih sudah. Hehe..

Setiap kehidupan di dunia ini akan melalui cabaran. Dan kehidupan rumahtangga juga tidak lari dari cabaran-cabaran itu. Namun, seandainya seoarang suami bijak mengharungi cabaran-cabaran ini, maka keadaan rumahtangga akan harmoni juga. Awal perkahwinanku, aku diuji dengan keadaan ekonomiku yang kurang stabil. Sering kekurangan wang. Namun, Alhamdulillah, Allah tetap memberikan aku rezeki yang terkadang tidak dapat kufikirkan dari mana datangnya sumber wang itu. Yang pasti halal. Seandainya kita sentiasa bersabar dengan setiap ujian, pastinya Allah akan membantu kita. Yang penting kita percaya pada pertolongan Allah. Itu yang aku imani. Allah akan menolong hamba-hambanya yang sabar.

Akhir kalam, aku simpulkan bahawa kehidupan bergelar suami bukanlah suatu yang mudah. Perkahwinan bukan semata menghalalkan apa yang sebelum ini haram bagi kita untuk melakukannya. Bukan sekadar hubungan did ala kelambu, tetapi ia lebih dari itu. Sebuah perkahwinan adalah suatu kontral kita kepada pasangan kita untuk sentiasa taat & patuh pada suruhan agama. Saling mengingati pada perkara agama dan sentiasa berlaku jujur pada pasangan agar tidak ada salah faham atau kecurigaan antara pasangan. Bilamana ia diamalkan, Insyaallah harmoni yang dicari akan diperolehi.

Sekian dulu untuk waktu yang terhad ini. Wassalam.


Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi wassalam...

1 ulasan:

~ida~ berkata...

hehe...tak perasan pula ada entry ni...

akanku sambutmu dengan senyuman seikhlas mungkin..!