Cari Blog Ini

Isnin, 29 Mac 2010

KENYATAAN YANG MENYAKITKAN

Semalam aku bermimpi lagi. Mimpi yang sama. Mengundang seribu satu persoalan. Berlegar-legar di segenap ruang minda. Menambah serabut di kepala yang sememangnya begitu serabut. Mimpi itu seolah-olah memberi petanda. Ya. Petanda yang sesuatu perkara bakal melanda hidupku seterusnya mungkin mengubah perjalanan hidup.

Bunyi nada dering telefon bimbitku mematikan lamunan. Terhenti buat sementara waktu. Ija ditalian. Ah. Apa pula dia ni. Macam ada hal besar saja.

"Assalamualaikum. Johan, aku ada berita tergempar untuk kau ni. Tapi aku harap kau dapat bertenang dan bersabar ya." Kata-kata Ija di talian benar-benar membikin dia tak keruan. "Ana. Ana kemalangan malam tadi. Sekarang masih di Hospital Serdang."

Benar ramalanku. Ana, kekasihnya terlibat dalam kemalangan sewaktu pulang dari majlis sempena ulang tahun rakannya, Jue. Jue atau Juliana merupakan sahabat baik Ana sejak di university lagi. Mereka rakan sekelas.

"Aku nak ke sana sekejap lagi. Kau dating ya." Ija mematikan talian. Aku terduduk di birai katil. Ya Tuhan. Bagaimana ini boleh berlaku? Ana. Bagaimana keadaanmu. Moga-moga kau taka pa-apa.

Bingkas aku menyiapkan diri. Membersih diri seadanya. Kemudian, mengenakan kemeja t yang baru dibeli semalam ketika keluar bersama Ana di Alamanda, Putrajaya.

Enjin kereta mengaum. Kereta Proton Persona 1.6 Manual yang ku beli sejak lima bulan lalu bergerak menuju ke destinasi. Hospital Serdang. Perjalanan memakan masa kira-kira sepuluh minit saja dari Kajang. Tempat kediamanku.

dalam perjalanan, fikiranku menerawang jauh. Teringat kembali kisah sewaktu aku dan Ana sama-sama menuntut ilmu di Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM dua tahun lalu. Kami menuntut di satu fakulti, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan. Dia mengambil jurusan Sains Politik sedang aku jurusan Sains Kemanusiaan. Kami mula berkenalan pada satu program anak angkat anjuran Majlis Perwakilan Pelajar dan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan di Kampung Tanjung Sepat, Banting. Aku merupakan salah seorang urusetia program dan dia merupakan antara peserta.waktu itu, aku di tahun dua sedang dia di tahun satu. Dia diletakkan di bawah jagaanku bersama keluarga angkat yang sama.

Kali pertama aku memandangnya membuatkan hatiku terpikat. Dia sememangnya gadis yang cantik. Wajahnya bujur sirih. Matanya agak sepet. Seperti anak Cina. Rambutnya dibiarkan panjang lepas ke bahu. Agak tinggi juga. Mempunyai lesung pipit yang dalam.

"Saya Suhana Alia bt Mohamad Ali, berasal dari Sagunting, Sabah. Saya belajar dalam jurusan Sains Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM. Bercita-cita menjadi penganalisis politik seperti pensyarah saya, Dr Agus Salim." Tutur bicaranya tidak menggambarkan dia dari Sabah. Lancer sekali.

Sejak itu, aku mula mendekatinya. Awalnya sebagai seorang rakan biasa. Kemudian, menjadi kekasih. "Abang Johan, kenapa abang suka berkawan dengan saya?" pertanyaan itu terpacul dari mulutnya pada suatu petang ketika kami sama-sama menelusuri pantai Morib.

"Abang jatuh hati pandang pertama sejak mula terpandang wajah Ana. Ana cantik." Wajahnya berona merah. Menahan malu. Aku hanya tersenyum.

"Eleh. Tipu la. Ana tak percaya. Masakan abang jatuh hati sedangkan ramai lagi perempuan di UKM tu lebih cantik dari Ana."

"Sungguh. Abang tak tipu. Kalau tak percaya, ambil lah kapak, belah dadaku. Kau akan lihat betapa namamu berada dalam hati ini." Ana ketawa kecil mendengar kata-kataku.

"Nakal." Dia tersenyum menampakkan baris gigi yang tersusun rapi. Putih berseri.menyerlahkan lagi keayuannya.

Tiiiittttt!!! Aku tersedar dari lamunan yang panjang. Sebuah kereta Perodua Myvi membunyikan hon kerana keretaku begitu rapat menghimpitnya di sebelah kiri. Aku mengucap panjang. Dadaku berombak kencang. Nyaris-nyaris saja aku kemalangan akibat terlalu khayal.

Papan tanda menunjukkan simpang ke Hospital Serdang berada 500 meter di hadapan. Aku memberikan isyarat ke kiri. Setelah pasti tiada kenderaan yang hampir di belakang, aku membelok ke kiri dengan berhati-hati. Dada-dadaku bagaikan berdebar-debar. Seolah-olah ada sesuatu yang tidak enak bakal ku dengari. Aku memikirkan nasib Ana.

"Johan. Keadaan Ana sangat kritikal!" kata-kata Ija membuatkan diriku cemas. Seorang doktor berada di situ. Ku rasakan dia adalah doktor yang merawat Ana.

"Benar kata kawan kamu tu. Keadaan pesakit amat kritikal. Hanya keajaiban boleh memberikannya nyawa. Berdoalah kepada Tuhan semoga dia sihat seperti sediakala." Dr T. Murugan. Itulah nama yang tertera pada lencana di bajunya.

"Apa yang boleh saya bantu tuan doktor?" aku cuba membantu setakat yang aku mampu. Tidak lama kelibat papa dan mama Ana kelihatan dari jauh. Tergambar wajah cemas mereka.

"Ana kehilangan banyak darah. Dia memerlukan penderma dari darah jenis AB positif. Ada sesiapa di sini yang mempunyai darah jenis AB positif?" Dr Murugan bertanya kepada yang ada di ruang menunggu di wad kecemasan itu.

"Kami ni ibu bapanya. Tuan boleh ambil darah kami berdua jika perlu." Bapa Ana bersuara. Dia begitu risau memikirkan keadaan anak tunggalnya itu.

"Sebelum saya memasukkan darah kepadanya, saya perlu memeriksa jenis darah tuan puan. Jadi, boleh ikut saya."

"Saya mau ikut sama doktor. Mungkin darah saya sama jenis dengannya." Johan cuba membantu sedaya mungkin.

"Baiklah. Semua ikut saya. Kita buat pemeriksaan darah."

Tuan Ali dan Puan Mariam, ibu bapa Ana serta aku mengikuti Dr Murugan. Kami mau mendermakan darah kami kepada Ana. Ana memerlukan pertolongan kami. Aku berdoa pada Allah moga Ana tidak mati. Aku begitu takut kehilangannya. Aku terlalu sayang padanya.

"Tuan doktor, keadaan pesakit bertambah tenat. Nadinya tidak berfungsi!" jururawat menerpa masuk ke bilik derma darah. Aku tersentak mendengar kata-kata jururawat itu. Aku seolah dapat merasakan yang Ana akan pergi meninggalkan aku. Dr Murugan bergegas ke bilik kecemasan apabila diberitahu jururawat itu.

"Maafkan saya. Dia telah tiada lagi. Harap kamu semua dapat bersabar." Kata-kata doktor benar-benar membuatkan diriku lemah. Aku terduduk di kerusi bilik. Ana, wanita pertama yang aku sayang kini telah tiada. Ya Allah. Terasa begitu berat ujianMu ini.

Papa dan mama Ana tidak dapat menahan tangis. Air mata berguguran menangisi pemergian anak kesayangan mereka. Anak tunggal hasil perkongsian mereka selama dua puluh tahun kini telah pergi menyahut seruan Ilahi.

"Pakcik, makcik. Jangan terlalu bersedih. Ini ujian Allah. Saya harap pakcik dan makcik dapat terima dengan berlapang dada. Kita semua adalah milik Allah. Tiada yang kekal di dunia ini melainkan Dia. Bersabarlah. Ada hikmah tersembunyi yang Allah nak tunjuk pada kita semua." Aku cuba menenangkan mereka. Walau dengan nada sebak, aku harus menegur mereka. Ku lihat Puan Mariam seolah tidak dapat menerima kenyataan itu. Tapi, aku faham. Sedangkan aku yang tiada ikatan yang sah pun sedih hati dengan pemergiannya, inikan pula dia. Ibu yang mengandungkannya sembilan bulan. Yang melahirkan dengan jerih payah. "Makcik,sudahlah tu. Kita doakan moga-moga dia ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. Sabar ye makcik."

"Benar kata dia Yam. Hidup ini mesti diteruskan walaupun tanpa dia." Tuan Ali bersuara. Dia faham benar akan perasaan isterinya itu. Namun, mereka mesti menerima kenyataan dengan berlapang dada.

Pihak polis telah pun tiba. Kelihatan dua orang anggota polis lengkap berpakaian rasmi menuju ke arah kami. Ada sesuatu yang ingin diberitahu.

"Encik Mohamad Ali dan Puan Mariam?" salah seorang dari mereka berbicara. Aku hanya memerhati sahaja. Menanti baris perkataan yang bakal dilontarkan.

"Ya saya. Ada apa tuan?" papa Ana menyahut. Dia berdebar-debar.

"Kami mau mengambil keterangan encik dan puan tentang kemalangan yang melibatkan anak encik dan puan. Saya ingin memaklumkan bahawa dalam kemalangan melibatkan anak encik, ia juga melibatkan seorang lelaki bernama Safuan bin Hamdan. Encik dan puan kenal lelaki ini?" angota polis bernama Kamal berpangkat Inspektor bertanya. Aku semakin keliru. Siapa Safuan ni pula? Tuan Ali dan Puan Mariam menggelengkan kepala. Mereka hanya kenal aku seorang sebagai teman lelaki Ana.

"Kami difahamkan Safuan yang memandu kereta anak encik dan dia didapati hilang kawalan ketika sedang memandu laju. Sebelum saya terlupa, adakah kereta Proton Perdana ini milik anak encik atau bukan?" Proton Perdana? Aku semakin keliru. Seolah-olah drama Gerak Khas pula.

"Anak saya memandu Proton Satria Neo. Apa nombor platnya, tuan?" Tuan Ali semakin tidak keruan. Dia bagai tidak percaya akan apa yang sedang didengarnya.

"WKT 2006. Encik tau kereta ini?" Tuan Ali terkesima. Itu adalah keretanya yang hilang dua bulan yang lalu bersama pemandunya. Dia telah membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Baru Bangi. Bagai tidak percaya.

"Itu kereta saya yang hilang dua bulan lepas, tuan. Setahu saya, kereta itu hilang bersama-sama pemandunya. Pemandu saya bernama Ahmad bin Sahlan. Dia sudah menjadi pemandu saya selama lima tahun. Ada tuan dapat berita darinya."

"Menurut maklumat yang saya terima, pihak polis ada menjumpai mayat seorang lelaki di pinggir hutan di Dengkil pada tiga hari lepas. Dari kad pengenalannya tertera, Ahmad bin Sahlan. Kami telah memaklumkan pada keluarganya dan mayatnya telah pun dituntut. Ada sesiapa berdendam dengan encik ke?" Inspektor Kamal menyoal lagi. Rakannya seorang lagi hanya diam memerhatikan soal siasat itu. Aku tak sangka ia sudah menjadi kes jenayah. Sememangnya aku tak pernah kenal Safuan bin Hamdan ini. Dari kad pengenalan yang ditunjukkan, usianya sebaya denganku. Tapi, dari raut wajahnya, aku seperti pernah melihat wajahnya.

"Encik. Saya rasa saya kenal lelaki ini." Aku tiba-tiba bersuara. Ya. Baru aku ingat. Lelaki inilah yang mengganggu Ana beberapa bulan lalu. Dia sememangnya menaruh harapan pada Ana tetapi tidak dilayan. Aku pernah menyelamatkan Ana dari gangguan lelaki itu. Waktu itu, Ana hampir-hampir mau dinoda lelaki terbabit. Tetapi aku sampai tepat pada masanya. Tak sangka, begini akhirnya kisah hidup Ana tamat.

"Lelaki ni lah yang cuba memperkosa Ana tiga bulan lalu tetapi berjaya saya selamatkan. Saya ada menyuruh Ana membuat laporan polis. Tapi Ana tidak mau. Ana malu. Saya hanya menuruti saja. Tak sangka ia boleh berlarutan begini." Aku bersuara lagi. Menjelaskan apa yang ingin diketahui pihak polis. "Jadi, bagaimana lelaki ini tuan? Dia selamatkah?"

"Dia juga terbunuh dalam kemalangan. Dan mayatnya belum dituntut oleh sesiapa lagi setakat ini." Rakan Inspektor Kamal bersuara.

"Jadi, kalau tak apa-apa lagi, saya beransur dulu. Saya kira, kes ini sudah selesai. Terima kasih atas kerjasama kamu semua. Assalamualaikum." Inspektor Kamal bersama rakannya beredar. Aku termenung. Masih tidak percaya akan semua ini. Ia seolah-olah mimpi.

"Johan. Kamu tak apa-apa? Pakcik mau menguruskan jenazah Ana." Tuan Ali mengajak aku ke kamar mayat. Aku tidak mau. Aku katakan padanya yang aku akan menyusul di rumah saja.

'Ana, mengapa semua ini berlaku padamu? Aku rasa bersalah kerana tidak dapat menyelamatkanmu. Maafkan aku sayang.' Maafkan aku. Tak semena-mena air mata bercucuran. Sudah lama ku tahan, tapi akhirnya ia keluar jua.

Tiba-tiba terasa bahuku disapa. Lembut ku rasa sapaannya. Aku menoleh seakan tidak percaya. 'Ana. Benarkah apa yang ku lihat.' Aku bagai tidak percaya. Ana ada di hadapanku. Meremang bulu romaku. Ana mengusap lembut bahuku sambil tersenyum.

'Abang, jangan ditangisi pemergian Ana. Ana telah bebas kini. Ana rasa gembira sekali. Ana mau mengadap Tuhan. Kalau abang bersedih, Ana lebih-lebih lagi. Abang lepaskanlah Ana pergi dengan aman. Semoga abang ketemu insan yang lebih baik dari Ana. Selamat tinggal sayang.'

Aku tersedar dari mimpi. Hanya sekadar mimpi. Tapi ia cukup terkesan dalam jiwaku. Jam menunjukkan pukul dua pagi. Ana telah selamat dikebumikan siang tadi. Wajahnya begitu mendamaikan ku rasa. Bagaikan bercahaya wajahnya.

'Semoga kau tenang di sana, sayang. Aku doakan kau bahagia bersama orang-orang yang beriman di sana.' Doaku di dalam hati.